Motosikal Konsep Peugeot P2X Roadster Dan Café Racer Diperkenalkan Di Paris Motorshow

  • Motosikal konsep Peugeot P2X Roadster dan Café Racer telah diperkenalkan di acara Paris Motorshow baru-baru ini.
  • Rangkaian P2X terdiri daripada motosikal roadster 125cc dan café racer 300cc.
  • Skuter jenama Peugeot kini telah berada di 60 buah negara di seluruh dunia.

Benar, Peugeot juga turut menghasilkan motosikal dan ianya mendapat sambutan di Eropah. Kini, Peugeot telah memperkenalkan motosikal konsep, Peugeot P2X, di acara pertunjukan motosikal, Paris Motorshow.

Terdapat dua buah model dalam rangkaian ini, iaitu motosikal roadster 125cc yang boleh dilihat di bawah, dan sebuah motosikal café racer.

Kedua-dua model ini dijana oleh enjin satu silinder, sejukan cecair, DOHC, bersama dengan fork terbalik dan penyerap hentakan belakang berganda.

Motosikal roadster 125cc telah mengambil ilham daripada motosikal Peugeot 515 yang dikeluarkan pada tahun 1930-an. Perincian yang ada pada motosikal ini termasuklah logo “Legend” Peugeot Motorcycles pada panel sisi dan roda krom berjejari.

Motosikal café racer 300cc pula diperkemaskan dengan warna perlumbaan Peugeot. Selain itu, ia mempunyai palang pemegang ‘clip-on’, roda ditempa, dan pelana penunggang tunggal.

Kedua-dua motosikal ini dilengkapi dengan ABS bagi kedua-dua roda hadapan dan belakang. Terdapat pemapar TFT berwarna 5 inci, lengkap dengan pautan i-Connect Bluetooth untuk pemautan telefon pintar dan GPS.

“Menyertai kepulangan semula Peugeot dalam dunia motosikal adalah suntikan lebih banyak emosi dalam misi reka bentuknya, yang telah
dipertanggungjawabkan kepada saya oleh syarikat Perancis yang berusia 120 tahun ini,” ujar Damien Basset, Ketua Jabatan Reka Bentuk di Peugeot Motorcycles.

“Kami telah memberikan sepenuh perhatian pada saiz dimensi motosikal bandaraya ini, mengkaji setiap milimeter bagi setiap permukaannya. P2X adalah motosikal Peugeot yang baharu.”

Peugeot telah membina motosikal pertama mereka pada tahun 1898, namun, ianya tidak dikilangkan. Pengilangan motosikal mereka bermula pada tahun 1901. Mahindra telah memperolehi 51% saham kawalan pada tahun 2014. Peugeot kini telah menghasilkan motosikal dan kenderaan tiga roda berkapasiti dari 50cc hingga 500cc. Skuter Peugeot kini telah berada dalam 60 buah negara.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]