BMW Motorrad Nightfuel Johor Bahru – Life’s a Party

  • Edisi kelima acara BMW Motorrad Nightfuel telah diadakan di Puteri Harbour, Johor Bahru.
  • BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan model F 850 GS sewaktu acara tersebut.
  • Hampir 600 orang penunggang dan penggemar motosikal telah mengambil bahagian.

BMW Motorrad Malaysia telah menganjurkan edisi kelima acara gaya hidup mereka – BMW Motorrad Nightfuel – di Johor Bahru pada hujung minggu yang lalu.

Hampir 600 orang penunggang dan penggemar motosikal telah menyertai pesta ini dari seluruh negara bagi meraikan gaya hidup pemilikan motosikal BMW. Acara ini telah diadakan di marina Puteri Harbour yang indah pemandangannya, beserta dengan kapal layar mewah.

Bagi para penunggang dari Lembah Klang, acara tersebut bermula dengan satu konvoi besar-besaran para pemilik BMW yang telah berhimpun secara beramai-ramai di kawasan R&R Dengkil. Para penunggang telah dimaklumkan oleh wakil pengedar BMW Motorrad masing-masing.

Hampir ke semua jenis model motosikal BMW telah menghadirkan diri, dari model K 1600 B yang baharu, ke R 1200 RT, S 1000 RR, S 1000 R, S 1000 XR, pelbagai varian model R nineT, dan semestinya pelbagai model R 1200 GS dan R 1200 GS Adventure.

Mujur sekali cuaca kekal cerah sepanjang jalan ke Johor Bahru walaupun sudah memasuki musim tengkujuh. Sewaktu hujan mulai turun, para penunggang sudah pun mendaftar masuk dan berehat di bilik hotel masing-masing.

Di tapak acara selepas itu, para penunggang telah mendapatkan baju-T BMW Motorrad Nightfuel, hadiah, gelang tangan, dan tiket cabutan bertuah di gerai pendaftaran. BMW Motorrad telah menggalakkan peserta untuk membuat pra-pendaftaran atas talian bagi memastikan peserta mendapat baju-T dalam saiz yang mereka mahukan dan mengelakkan mereka daripada terpaksa beratur panjang seperti mana yang berlaku sewaktu acara Nightfuel di Putrajaya pada awal tahun ini.

Para peserta kemudiannya boleh bergerak bebas dan membelek kelengkapan menunggang BMW Motorrad yang baharu di dalam kontena ‘pop-up’. Sebuah model R nineT Racer telah dipamerkan di atas sebuah bumbung kontena tersebut.

Mereka juga berpeluang untuk menyertai permainan “Match and Win”. Sekumpulan tiga orang peserta perlu melengkapkan gambar sama ada sebuah S 1000 RR HP4 Race, atau R 1200 GS Rallye di bawah 1 minit 3 saat untuk memenangi topi ‘baseball’ eksklusif BMW Motorrad setiap seorang.

Selain itu, BMW Motorrad Malaysia juga telah memperagakan ‘demo bikes’, yang mana para peserta boleh duduk di atasnya dan mengambil gambarnya.

Tambahan pula, mereka juga telah digalakkan untuk menandatangan sebuah “BMW Motorrad Community Top Box”. Kotak tersebut kemudiannya akan dipasang kepada sebuah motosikal BMW dan dibawa ke merata-rata tempat. Projek terakhir yang sama seperti ini adalah penandatanganan pada tangki bahanapi motosikal R nineT Scrambler yang telah kami tunggangi ke Distinguished Gentleman’s Ride 2018 di Melaka pada minggu sebelumnya.

Dan sudah semestinya, ada makanan dan minuman. Seperti mana acara Nightfuel sebelum ini, telah terhidang pelbagai makanan tempatan yang terkenal, selain daripada daging grill dan BBQ. Laksa Johor dan Briyani Gam menjadi pilihan buat kali ini.

Tiada alkohol yang telah disediakan.


Kugiran tempatan, Nine Lives, kembali menghiburkan hadirin dengan lagu klasik rock yang boleh sahaja berada dalam senarai Top 10 Lagu Menunggang.

Encik Owen Riley, Ketua BMW Motorrad Malaysia telah mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan aluannya dan mengadakan tiga sesi cabutan bertuah, memberikan hadiah yang terdiri daripada kelengkapan eksklusif BMW Motorrad.

BMW Motorrad Malaysia sering kali menggunakan acara BMW Motorrad Nightfuel ini sebagai pentas untuk melancarkan model terkini dan untuk malam ini, ianya adalah motosikal yang telah dinanti-nantikan, F 850 GS. BMW sedar bahawa segmen kembara 800cc adalah satu kategori yang cukup mencabar dan yakin yang F 850 GS mampu membawa cabaran jenama tersebut di kancah ini.

BMW F 850 GS 2018 Diperkenalkan Di BMW Motorrad Nightfuel Johor Bahru

Pesta ini berterusan selepas pelancaran tersebut dengan sesi cabutan bertuah yang ketiga dan terakhir, sebelum ianya diakhiri pada jam 11 malam.

GALERI GAMBAR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.