WorldSBK 2018: Jonathan Rea Dan Kawasaki Memenangi Kejohanan Ke-empat Berturut-Turut!

  • Penunggang bagi pasukan Kawasaki, Jonathan Rea, telah mendominasi musim WorldSBK 2018 setakat ini.
  • Dia telah memenangi perlumbaan ke-lapan berturut-turut di Litar Magny-Cours, Perancis.
  • Kemenangan ini bermakna dia telah berjaya merangkul kejohanan musim ini dengan baki empat perlumbaan.

Juara bertahan bagi kejohanan Superbike World Championship (WorldSBK), Jonathan Rea bersama dengan pasukannya, Kawasaki Racing Team (KRT) telah berjaya menggondoli takhta kejuaraan mereka buat kali ke-empat berturut-turut.

Kejohanan bagi tahun 2018 ini telah berjaya dirangkul di Litar Magny-Cours di Perancis pada hujung minggu ini di mana Rea telah memenangi Perlumbaan 1, dan hujung minggu bertambah maknanya buat Rea, di mana dia juga turut memenangi Perlumbaan 2, dan dengan itu telah mencipta rekod baharu pelumba paling kerap menaiki podium, iaitu sebanyak 131 kali, sebelum ini dipegang oleh Carl Fogarty. Ianya kemenangan ke-lapan berturut-turut buat Rea dan kemenangan kali ke-14 secara keseluruhan untuk tahun ini.

Berdasarkan keputusan ini, Rea dan Kawasaki bertindak cemerlang dan melakukan kesilapan paling sedikit yang boleh dimanipulasi oleh penunggang-penunggang lain. Penunggang kelahiran Ireland Utara hanya dua kali menamatkan perlumbaan di luar kedudukan podium dan hanya sekali bersara dari perlumbaan. Selain daripada 14 kemenangan tersebut, dia menamatkan tiga perlumbaan di tempat yang ke-dua dan sekali di tempat yang ke-tiga.

Dari segi statistik, Rea telah memenangi 63% perlumbaan dan berada di atas podium sebanyak 86% selepas 24 perlumbaan bagi musim ini. Rea kini berpeluang untuk menetapkan rekod baharu bagi kemenangan terbanyak dalam satu musim.

Rea merupakan pelumba kedua yang telah memenangi empat kejuaraan WSBK, selepas Carl Fogarty, namun begitu, dia adalah penunggang yang pertama telah mencapai rekod kejuaraan ini secara berturut-turut.

Ada di kalangan peminat WorldSBK yang mengatakan pencapaian mengagumkan Rea ini adalah kerana pasukan lain tidak mendapat sokongan penuh pengilang dan jentera yang dikemudi para pesaingnya agak ketinggalan zaman. Jika ini adalah benar, kita akan lihat sendiri perbezaannya apabila jentera Ducati Panigale V4 baharu tampil pada tahun hadapan, dikemudi oleh Chaz Davies dan Alvaro Bautista. Honda juga dikatakan akan tampil dengan motosikal CBR1000RR janaan enjin V4 baharu.

Walau apa pun jua, kita tidak dapat nafikan yang Jonathan Rea adalah penunggang WorldSBK terbaik, bukan sahaja pada musim ini, tetapi, buat empat musim berturut-turut. Tahniah diucapkan kepada Rea dan pasukan Kawasaki Racing Team (KRT)!

Sumber imej: WorldSBK

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.