Moto2: Enjin Moto2 Triumph Diserahkan Bagi Musim 2019

Sumber imej: MCN
  • Triumph telah menyerahkan enjin-enjin Moto2 kepada rakan kerja teknikal mereka sewaktu hujung minggu GP Aragon yang lalu.
  • Rakan kerja teknikal mereka, ExternPro, akan membina dan menyelenggara enjin-enjin tersebut sepanjang musim.
  • Penyerahan itu menandakan berakhirnya fasa pembangunan dan bermulanya era baharu Moto2.

Triumph dengan secara rasminya telah menyerahkan kumpulan pertama enjin-enjin yang bakal menjana keseluruhan jentera Moto2 bagi musim 2019. Enjin-enjin tersebut telah dipersembahkan kepada rakan kerja teknikal Triumph, ExternPro, yang akan membina dan menyelenggara ke semua enjin berkenaan. Upacara tersebut telah diadakan di tapak ExternPro di Litar Motorland Aragon sewaktu hujung minggu perlumbaan yang lalu.

Penyerahan ini menandakan berakhirnya fasa pembangunan enjin bagi musim 2019. Enjin-enjin tersebut akan dibina oleh ExternPro dipasang pada setiap casis yang dibina oleh para pembina yang ada dalam Moto2, iaitu Kalex, Speed Up, Tech 3, NTS, serta KTM.

Walaupun ini adalah pengakhiran fasa pembangunan enjin perlumbaan, ia juga merupakan permulaan era baharu enjin Triple 765cc Triumph dalam kelas pertengahan dan kehadiran semula jenama yang bertapak di Hinckley itu dalam sukan permotoran, sekalipun hanya sebagai pembekal enjin.

Enjin-enjin baharu ini akan diuji sepenuhnya buat pertama kalinya di Ujian Musim Sejuk Moto2 yang akan bermula dari 23 hingga 25 November 2018 di Jerez,Sepanyol.

Ketua Pegawai Produk Triumph, Steve Sargent telah berkata, “Keterujaan dan maklum balas positif telah jelas diserlahkan oleh para pelanggan, para peminat Triumph di seluruh dunia, dan di paddock Moto2 telah menunjukkan betapa hebatnya kerjasama ini untuk Triumph.”

“Bagi saya, ini baru permulaannya sahaja, di mana kami akan terus menyokong program enjin ini dan menerapkan pengajaran utama ke dalam pembangunan motosikal kami, terutamanya dalam rangkaian Street dan Speed Triple peneraju segmen kami.”

Seperti mana yang telah kami laporkan sebelum ini, enjin ‘inline-Triple’ 765cc Moto2 Triumph ini menggunakan kebanyakan bahagian standard yang ada pada model Street Triple, termasuklah omboh, ‘cam’, aci engkol, dan palang penyambung. Enjin tersebut kemudiannya akan dilengkapi dengan ECU Magneti Marelli standard yang disediakan oleh Dorna, yang mana bercirikan kawalan cengkaman, kawalan mulaan, dan quickshifter dengan ‘autoblipper’ buat kali pertama dalam Moto2.

Rahsia Enjin Moto2 765 Triumph Didedahkan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.