- HLYM telah melancarkan Buku Panduan Kesedaran Keselamatan Penunggangan bagi memupuk kesedaran keselamatan terutamanya di kalangan pemilik motosikal baharu.
- Makalah ini akan disertakan dengan setiap motosikal baharu yang dibeli melalui wakil pengedar.
- Wakil pengedar bertanggungjawab dalam memberi taklimat kepada setiap pemilik baharu mengenai keselamatan, yang terdapat dalam makalah berkenaan.
Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah melancarkan sebuah program keselamatan dalam satu usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran keselamatan di kalangan penunggang motosikal. Teras program ini adalah satu makalah kesedaran keselamatan baharu yang berjudul, “Buku Panduan Kesedaran Persediaan Penunggangan” (KPP).
Pengarah Urusan HLYM, Dato’ Jim Khor berucap sewaktu pelancaran tersebut, mengatakan bahawa makalah berkenaan akan disertakan dengan setiap pembelian motosikal Yamaha baharu yang dibeli melalui wakil pengedar yang sah, di seluruh negara. Dengan kerjasama Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), dia turut menegaskan yang ianya tanggungjawab setiap wakil pengedar untuk memberikan taklimat kepada para pembeli motosikal baharu tentang isi-isi penting yang ada dalam makalah tersebut. HLYM akan mengedar kira-kira 20,000 naskhah ke wakil pengedar rasmi setiap bulan untuk diberikan kepada penunggang yang membeli motosikal mereka sebelum ini.
Makalah ini mengandungi aspek yang penting dan ringkas mengenai kelengkapan menunggang, pemeriksaan sebelum menunggang, diagnosis kendiri motosikal yang ringkas, tip penunggangan dan keterangan mengenai saman dan denda yang boleh dikenakan ke atas mereka yang melanggar undang-undang.
“Tumpuannya adalah terhadap keselamatan pengguna kami yang akan senantiasa menjadi keutamaan terpenting syarikat kami dan HLYM akan terus memberi kesedaran mengenai keselamatan jalan raya melalui pelbagai program di masa akan datang. Berdasarkan pemahaman kami, kami sedari bahawa sesetengah pemilik motosikal baharu tidak begitu arif dengan keperluan keselamatan asas sewaktu di atas jalan raya. Kami berharap dengan adanya Program KPP ini, kami dapat mendidik mereka dengan maklumat yang betul supaya mereka dapat menjadi contoh yang baik buat pengguna jalan raya yang lain,” Tambah Dato’ Jim Khor.
Pelancaran program ini telah dirasmikan oleh Datuk Mohamad Dahlan Md Maamor, Setiausaha Politik bagi pihak Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke. Pelancaran juga telah disaksikan oleh Dato’ Jim Khor dan Encik Wee Hong, Pengerusi MMSDA.