Sepuluh Tip Menunggang Dari Sepuluh Penunggang Professional (Bahagian 2)

Advertisements
Kevin Schwantz – Sumber imej: bikes.suzuki.co.uk
  • Di sini kami senaraikan lima lagi tip penunggangan dari para penunggang professional.
  • Penunggang professional mula menunggang menggunakan teknik yang sama seperti semua penunggang.
  • Teknik-teknik asas ini kemudiannya telah diasah bagi disuaikan mengikut jenis motosikal yang mereka kemudi.

Sambungan bagi bahagian 1, kami senaraikan lima tip penunggangan yang berikutnya dari siri artikel Sepuluh Tip Menunggang Dari Sepuluh Penunggang Professional. Seperti mana yang telah kami siarkan dalam edisi sebelum ini, penunggang motosikal professional mungkin mempunyai gaya penunggangan yang berbeza namun kita perlu menyedari bahawa teknik penunggangan mereka ini telah diasah daripada teknik asas yang sama untuk penunggangan motosikal.

Sepuluh Tip Menunggang Dari Sepuluh Penunggang Pro (Bahagian 1)

Sebagai contoh, gaya seretan siku Marc Marquez telah diasahnya sewaktu dia menunggang dalam siri Moto2. Gaya kelajuan dalam selekoh yang tinggi yang dipamerkan oleh Jorge Lorenzo pula telah diterapnya dari siri GP 250cc.

Jadi, di sini kami senaraikan beberapa tip asas. Semoga ia dapat membantu kita semua.

6. JOHN KOCINSKI – “PASTIKAN TAYAR SUDAH CUKUP PANAS”

John Kocinski -Sumber imej: www.greatprints.co.uk

Memberikan tekanan yang keras pada tayar yang baharu atau masih sejuk boleh mendatangkan kemudaratan, tetapi John telah berjaya mengatasi masalah ini sewaktu dia berlumba di Amerika Syarikat sebelum menyertai Kejohanan Dunia GP 250cc. Dia akan tampil di atas grid dengan tayar ‘slick’ yang masih segar dan suci dan kemudiannya mengerjakan tayar hadapan buat beberapa kali sewaktu pusingan pemanas badan. Kocinski akan menggelongsor tayar hadapan sesuka hatinya dan ini adalah hasil latihan litar tanah merah yang telah dia perolehi dari gurunya, Kenny Roberts Sr.

Sentiasa serasikan tayar baharu anda dan panaskannya dahulu sebelum anda meluru masuk pantas ke dalam selekoh pertama.

7. KEVIN SCHWANTZ – “PANDANG KE TEMPAT YANG INGIN DITUJUI”

Kevin Schwantz – Sumber imej: bikes.suzuki.co.uk

Ini mungkin kedengaran seperti satu nasihat yang remeh dari salah seorang penunggang GP paling popular, tetapi, mengaku sahajalah: Kita akan masih tetap memandang ke bahagian luar selekoh apabila kita panik atau tayar menggelongsor dengan tidak dijangka.

Motosikal akan menuju ke mana sahaja hala tuju anak mata kita, dan kita seharusnya perlu mengekalkan pandangan ke arah yang ingin kita tujui, walaupun pada masa kita rasa yang ianya tidak boleh dikawal. Ada sebab mengapa teknik ini diajar di setiap sekolah menunggang lanjutan.

8. KEITH CODE – “PASTIKAN LAPANGAN PANDANGAN YANG LUAS”

Keith Code

Bercakap mengenai ‘pandangan’, Keith Code, pengasas bagi California Superbike School, dan juga penulis buku, “A Twist of the Wrist” dan “A Twist of the Wrist Vol. II”, yang mana dianggap sebagai ‘kitab’ cara untuk menunggang motosikal melalui selekoh. Anak didiknya termasuklah para penunggang GP yang hebat seperti Wayne Rainey, Doug Chandler, dan lain-lain lagi.

Dalam merumuskan keseluruhan ajarannya, dia menulis, “Keseluruhan kemahiran menunggang terbaik anda hanyalah sebaik kemahiran visual anda.”

Selain daripada melihat ke mana arah tuju anda, kita juga perlu memastikan lapangan pandangan laluan di hadapan kita yang luas. “Memastikan lapangan pandangan yang luas” bermakna anda perlu menggunakan pandangan sisi bagi mencegah pandangan anda daripada mengecil. Seperti mana namanya itu, “tunnel vision” membuatkan kita terasa seperti meneropong melalui satu terowong yang kecil pada ketika deria anda mengaburi segalanya selain daripada lapangan pandangan yang kecil yang berada betul-betul di hadapan, selalunya pada kelajuan tinggi.

Benar, ianya mengujakan kerana ia terasa seperti pandangan yang akan anda dapat sewaktu Millennium Falcon memasuki kelajuan cahaya, tetapi ianya teramatlah merbahaya di atas jalan raya mahu pun litar.

“Tunnel vision” memperdaya kita, membuatkan kita terfikir yang kita bergerak jauh lebih pantas dari keadaan yang sebenar dan ‘kelajuan palsu’ ini mengaburi kita sewaktu mendekati selekoh atau halangan. Di atas litar, kita akan membrek terlalu keras, terlalu cepat dan kehilangan halaju dan juga masa. Di atas jalan raya pula, digandingkan dengan penetapan sasaran, kita mungkin terasa seperti sudah ketiadaan brek atau jalan raya dan dengan itu cuba mengelak atau merempuh halangan tersebut.

Sebaliknya, memastikan pandangan yang luas ‘memperlahankan’ masa, memberikan kita kesedaran yang lebih baik mengenai keadaan sekeliling, dengan itu membuka ruang di sekeliling kita dengan lebih berkesan. Di atas jalan, ianya salah satu teknik keselamatan yang paling penting di mana kita boleh mengagak kedudukan kenderaan lain atau halangan yang mula memasuki atau berada dalam laluan kita.

9. DOUG CHANDLER – “JANGAN BUAT APA-APA”

Doug Chandler – Sumber imej: todayinmotorcyclehistory.blogspot.com

Kami faham akan perasaan ini, Kita sedang syok menyelusuri beberapa buah selekoh yang mengancam dan secara tiba-tiba, tayar belakang menggelongsor. Naluri kita secara serta-merta akan melepaskan pendikit dan ianya akan menyebabkan bahagian belakang terus tergelincir. Ada masanya motosikal hampir-hampir melemparkan kami terus.

Melepaskan pendikit dengan tiba-tiba sewaktu tayar sedang menggelongsor ini bertentangan dengan dinamik motosikal dan akan menyebabkan berlakunya kemalangan. Tip dari penunggang professional: Tayar yang menggelongsor tidak bermakna anda akan terjatuh.

Seperti mana yang telah kami sebut sebelum ini, Doug Chandler memulakan kerjaya penunggangannya dengan siri perlumbaan “American National Dirt-Track” dan kejohanan supermoto sebelum beralih ke Superbikes dan GP 500cc dunia, jadi, menggelongsorkan tayar itu adalah perkara yang amat biasa baginya.

Jadi, apa yang perlu kita lakukan sewaktu tayar sedang menggelongsor? Menurut Chandler, tidak perlu lakukan apa-apa sekalipun. Kita hanya perlu mengekalkan tahap pulasan pendikit, terus memandang ke arah tuju melalui selekoh dan kekalkan kedudukan badan yang relaks. Anggap sahaja tayar yang sedang menggelongsor itu sedang mencari posisi yang stabil kerana ianya akan mendapat semula cengkamannya secara semula jadi. Tayar yang menggelongsor juga akan memperlahankan diri. Melawan gelongsoran itu hanya akan memburukkan keadaan kerana kita menidakkannya daripada menjalankan tugasnya.

Sudah pasti, ini memerlukan sedikit keberanian, namun ianya boleh diasah dengan latihan. Mengawal naluri anda dan gelongsoran tayar boleh dipelajari di Most Fun Gym.

10. DARIO MARCHETTI – “GUNA KEDUA-DUA BREK”

Dario Marchetti

Anda mungkin tidak pernah dengar akan namanya sebelum ini, tetapi, Dario Marchetti adalah Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih bagi “Ducati Riding Experience Racetrack Academy” (DRE). Dia pernah bertanding dalam GP 250, GP 500, Superbikes, Endurance, selain memenangi “Battle of the Twins” di atas sebuah Ducati di Daytona pada tahun 2004, 2006, dan 2007.

Dia, serta panel jurulatih DRE yang lain, terdiri daripada penunggang ternama seperti Carlos Checa, Manuel Poggiali, dan juara serantau yang lain.

Di antara pelbagai nasihat yang diberikannya sewaktu tunggang uji Ducati Panigale V-4 baru-baru ini di Litar Antarabangsa Sepang, dia telah menjelaskan secara teliti akan penggunaan kedua-dua brek. Menggunakan brek belakang bersama dengan brek hadapan menstabilkan bahagian belakang, terutamanya sewaktu pembrekan yang keras. Ianya amat berguna terutamanya sewaktu keadaan jalan yang basah atau pun tidak diketahui.

Dia juga berkata, “Jika kita tidak perlu menggunakan brek belakang, Ducati tidak akan memasangnya.”

Benar katanya, kerana penunggang Ducati MotoGP, Jorge Lorenzo dan Andrea Dovizioso juga menggunakan brek belakang tuil ibu jari di atas jentera Desmosedici mereka.

Hebat sangat ke Ducati Panigale V4 ni?

Advertisements