Konvoi “Explore the Unexplored” Modenas Dominar

  • Modenas telah menganjurkan satu konvoi “Explore the Unexplored” Dominar bagi membolehkan para penunggang Dominar D400 merasai sendiri kehebatan elemen sport-tourer jentera tersebut.
  • Tunggangan pertama ini adalah dari Kuala Lumpur menuju Ipoh.
  • Konvoi ini telah berhenti di beberapa buah tempat tarikan ramai bagi membolehkan para penunggang untuk menangkap gambar bagi projek #motography.

Tidak dapat dinafikan lagi yang Malaysia mempunyai pelbagai tarikan yang unik, dan cara yang terbaik untuk menikmati perjalanan ke destinasi-destinasi adalah dengan menunggang motosikal, dan ianya satu keuntungan buat kita penunggang motosikal semua. Dan inilah sasaran Modenas sewaktu mereka menganjurkan Konvoi ” Explore the Unexplored” Modenas Dominar dari Kuala Lumpur ke Ipoh pada tempoh hari (19 Ogos 2018).

Tunggangan ini juga merupakan sebahagian daripada projek #motography Bajaj dan Modenas, di mana gambar-gambar yang telah diambil oleh para peserta telah dikongsi dalam satu pangkalan data buat para pemilik bajaj yang lain dari seluruh dunia yang ingin datang menunggang di Malaysia.

 

Selain daripada itu, konvoi ini khusus untuk pemilik Modenas Dominar D400, atas sebab label sport-tourer motosikal tersebut.

Sekumpulan 12 orang penunggang telah mendaftarkan diri untuk konvoi yang pertama ini dan telah hadir seawal 6.30 pagi untuk pendaftaran, sarapan pagi, dan taklimat. Pihak penganjur telah membekalkan baju-T dan stiker khas kepada setiap peserta bagi memperingati tunggangan ini. Mereka telah diberi taklimat mengenai projek #motography dan konvoi ini.

Kekal tulus dengan semangat ‘sport-touring’, ada sebahagian daripada peserta hadir dengan penghadang angin yang lebih besar beserta dengan pannier dan juga ‘top case’ GIVI.

Konvoi bermula dari ibu pejabat Modenas dan menuju ke Lebuhraya Utara Selatan dalam perjalanan mereka ke pintu keluar Sungai Buaya untuk satu tunggangan singkat ke Empangan Selangor di Kuala Kubu Bahru untuk hentian penggambaran mereka yang pertama. Konvoi ini kemudiannya bergerak dengan tertib ke lokasi seterusnya dan para marsyal telah memastikan yang konvoi tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Matahari mula memancar terik di atas kepala peserta sewaktu mereka cuba mencari sudut terbaik untuk menangkap gambar motosikal mereka yang terbaik.

Dari Kuala Kubu Bahru mereka menuju semula memasuki lebuh raya di pintu masuk Serendah, di mana kumpulan tersebut menuju ke R&R Tapah untuk isian semula. Setelah siap isian semula mereka meneruskan penunggangan ke Ipoh untuk makan tengah hari.

Jamuan tengah hari yang amat menyelerakan telah dinikmati di Indulgence Restaurant yang telah memenangi berbilang anugerah.

Berlatarbelakangkan sebuah banglo dari zaman kolonial, suasana dan makanan restoran tersebut sangat kami alu-alukan setelah berada di bawah sinaran terik matahari.

Jerebu telah mula menghilang diganti dengan awan yang biru.

Pihak penganjur kemudiannya telah menjemput para penunggang menyertai permainan yang telah diadakan di halaman restoran tersebut.

Permainan pertama memerlukan para penunggang untuk menunggang seperlahan yang mereka mampu sejauh 50 meter bagi menguji kemahiran mereka mengawal dan mengimbangi motosikal.

Permainan kedua melibatkan penunggang dan pembonceng. Pembonceng perlu membaling satu belon berisi air melepasi utas tali yang berada tinggi di atas ‘litar’ dan menangkapnya semula tanpa memecahkannya, manakala penunggang pula perlu menunggang seperlahan yang dia mampu.

Para pemenang telah menerima hadiah berupa kad petrol Petronas bernilai RM50.

Tunggangan diteruskan semula, menuju ke hentian terakhir di Kellie’s Castle. Di sini, para penunggang sekali lagi telah mengambil gambar untuk dimuatnaik ke laman sesawang mini #motography. Mereka kemudiannya bersurai selepas itu.

Pada masa yang akan datang, akan ada pelbagai lagi konvoi sebegini yang akan diadakan, jadi, pastikan anda tidak ketinggalan sekiranya anda seorang pemilik motosikal Modenas Dominar D400. Selain itu, sila ikuti laman Facebook rasmi Dominar Malaysia untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Galeri Gambar

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.