IMU (Inertial Measurement Unit) Standard Dalam MotoGP Bermula Musim 2019

  • Pemegang hak MotoGP, Dorna, akan memperkenalkan IMU standard bermula dari musim 2019.
  • IMU (Inertial Measurement Unit) bertindak mengukur tindak balas motosikal untuk strategi kawalan cengkaman.
  • Dorna mengesyaki ada pasukan yang menggunakan IMU yang dibuat khas bagi mempertingkatkan lagi kawalan cengkaman mengikut parameter ECU standard.

Adakah anda masih ingat lagi tentang MotoGP musim 2016. Ianya bermula dengan penuh keterujaan, kerana selain daripada bertukar kepada tayar Michelin, ianya merupakan tahun di mana Dorna akhirnya berjaya dalam pengusulan mereka untuk melengkapkan ke semua pasukan dengan perisian dan ECU isuan Dorna.

Dorna mengharapkan dengan penggunaan perisian dan ECU standard bakal merapatkan jurang antara pengeluar dan pasukan berbeza, memberikan kembali kawalan ke tangan penunggang, berbanding hanya bergantung pada algoritma yang ada dalam sebuah kotak hitam dalam jentera mereka.

Perubahan itu telah membuahkan musim MotoGP yang paling mengujakan dan tidak dapat diramal kesudahannya, yang mana ianya telah menyaksikan 9 orang pemenang perlumbaan yang berbeza, antaranya ialah Jack Miller dan Cal Crutchlow di atas jentera satelit Honda mereka.

Pada musim 2016 inilah di mana telah meningkatnya tahap penonton perlumbaan MotoGP, kepada satu jumlah yang lebih besar lagi. Kita menonton MotoGP kerana ingin menyaksikan aksi memintas, perlumbaan yang sengit dan kehuru-haraan, seperti mana yang telah berlaku di Pulau Phillip, Australia, tahun lalu dan di Assen, Belanda, pada bulan lepas (sejumlah 175 aksi memintas).

Sumber imej: MotoGP

Kini, Dorna akan mengawal selia dengan lebih ketat lagi bantuan elektronik penunggang. Keputusan ini diambil kerana mereka mengesyaki yang ada sesetengah penunggang dan pasukan yang telah mendapat manfaat yang tidak adil daripada penggunaan IMU (Inertial Measurement Unit) yang dibuat khas.

Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan IMU? Anda mungkin pernah mendengar nama kelengkapan ini, lebih-lebih lagi pada motosikal berkuasa tinggi, seperti KTM 1290 Super Duke dan 1290 Super Adventure, Ducati Panigale V4, dan MV Agusta F3 800, dan juga yang lain-lain.

IMU Yamaha R1M 2015

IMU terdiri daripada giroskop dan akselerometer yang mengumpul maklumat dari tindak balas casis motosikal. Ianya seakan- akan sistem imbangan dan sensori dalam otak anda. IMU lazimnya adalah sebuah sistem 6-paksi dan mengukur: ‘Pitch’ (pergerakan ke atas dan bawah ke hadapan dan belakang, junaman bahagian hadapan sewaktu pembrekan atau sewaktu berlaku wheelie), ‘yaw’ (sisi ke sisi, paksi depan ke belakang, gelongsoran roda belakang), ‘roll’ (sudut condong, menyelekoh) Maklumat ini dihantar ke ECU untuk memproses strategi kawalan cengkaman dan menentukan agihan kuasa enjinnya itu. Ianya dari kemajuan yang dicapai dari IMU inilah yang membolehkan wujudnya teknologi seperti Cornering ABS yang sensitif pada sudut condong (walaupun ABS diharamkan dalam MotoGP), kawalan cengkaman, kawalan wheelie, kawalan pembrekan enjin, dan juga kawalan mulaan.

Sebagai contoh, jika penunggang menyondong motosikal sepenuhnya sehingga bahagian belakangnya mula menggelongsor sewaktu dia memulas pendikit, ECU akan bertindak atas isyarat IMU dan mengurangkan tork enjin dengan sepatutnya. Namun, bukankah ianya sama seperti kawalan cengkaman tanpa IMU? Tanpa IMU, ECU tidak mengetahui sama ada motosikal tersebut sedang condong atau bergerak lurus dan akan memintas apabila tayar tergelingcir. IMU ini lebih sensitif kerana mengukur menggunakan 6 paksi yang dinyatakan sebelum ini, dan dengan itu lebih tepat dari segi tahap bantuan.

Dan inilah yang merisaukan Dorna. Sesebuah pasukan tertentu, sebagai contoh, boleh menggunakan data IMU bagi menyelaraskan penggunaan tayar. IMU semasa ke semuanya dibuat khas mengikut motosikal tertentu yang ada di paddock MotoGP, dan ini bermakna yang ia boleh dilaraskan bagi menghantar sebarang maklumat tertentu ke perisian kawalan cengkaman standard dalam ECU standard. (Perisian standard bermakna pasukan perlu mengikut parameter yang telah diprogramkan tidak seperti sewaktu pasukan bebas menggunakan program mereka sendiri.)

Menggunakan IMU untuk tujuan ini sudah semestinya haram, tetapi, ianya amat sukar untuk diperiksa. Dengan itu, IMU isuan standard boleh menangani masalah ini.

Satu soalan yang menarik telah dibangkitkan mengenai hal ini, dan ianya mengenai pasukan pengilang Movistar Yamaha, yang sedang mengharungi musim yang sukar. Bukannya rahsia bahawa masalah Rossi dan Viñales adalah berpunca dari elektronik, jadi, adakah ia berkaitan dengan IMU mereka kerana mereka seringkali telah kehausan tayar di penghujung perlumbaan?

Barang kali, tetapi, ia juga mungkin disebabkan kerana pasukan lain telah mendapatkan khidmat bekas pekerja Magneti-Marelli, atau menghantar kru mereka untuk latihan di Magneti-Marelli bagi mempelajari algoritma perisian standard tersebut serta cara pemetaannya yang lebih berkesan (Magneti-Marelli adalah pembekal perisian dan juga ECU). Yamaha sebaliknya, bertegas ingin merungkai rahsia kotak hitam itu sendiri untuk kepentingan jabatan kajian dan pembangunan mereka. Ianya tidak mustahil untuk dilakukan, namun, akan mengambil sedikit masa.

Jadi, inilah sebabnya ianya lebih baik untuk memiliki sedikit kawalan berbanding tiada kawalan langsung. Pengkritik mungkin mengatakan keputusan ini membantutkan pembangunan teknologi motosikal, tetapi, kita sebagai penonton suka menyaksikan perlumbaan yang sengit.

Kesimpulannya, kami tidak benar-benar pasti apakah kesan penggunaan IMU standard nanti, namun begitu, yang pasti, musim hadapan sudah pasti akan lebih menarik lagi!

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.