BMW R NineT Urban G/S: Motosikal Retro Paling Liar, Ranggi Yang Boleh Anda Miliki Sekarang!

  • Motosikal BMW R nineT Urban G/S adalah ‘cucu;’ kepada model BMW R80 G/S yang asal dari tahun 1980.
  • Ia dijana oleh enjin 1,170cc dan bercirikan posisi duduk yang tekad, memberikannya pengendalian dan prestasi yang baik.
  • Berharga RM87,900, model ini cukup istimewa sekali.

“THE FUTURE BELONGS TO THOSE WHO PREPARE FOR IT TODAY” – MALCOLM X

Pasti ada pereka di BMW yang merupakan seorang peminat Malcolm kerana berdasarkan reka bentuk motosikal BMW R NineT Urban G/S ini, ianya agak jelas sekali yang ada yang mengikuti pesanan aktivis tersebut dan telah bersiap sedia untuk masa hadapan pada tahun 1980. Dan kami berasa amat berterima kasih kepadanya.

Benarkan saya menjelaskannya:

Gambar di atas adalah BMW R80 G/S yang asal yang telah membuat kemunculannya pada tahun 1980. Ianya pelopor bagi ke semua motosikal BMW GS moden. Dan gambar di bawah pula adalah terjemahan moden baharu motosikal tersebut. Tidak jauh berbeza langsung rupa bentuknya. Dalam mereka bentuk model Urban G/S ini, BMW telah memberikan kepada satu kelas sarjana dalam reka bentuk motosikal moden klasik tanpa memkompromikan kemodenannya dengan terlalu banyak.

Orang ramai suka akan model Urban G/S ini. Tidak kiralah di hentian lebuh raya, di stesyen minyak untuk isian semula, mahu pun di kedai dim sum di Ipoh, orang ramai tertarik dan mahu melihatnya dengan lebih dekat dan mengambil gambarnya. Mereka barang kali sudah biasa dengan motosikal superbike, tetapi, ada kemungkinan besar yang mereka belum pernah melihat sesuatu seperti Urban G/S ini.

“Moto apa ni bang?”

“Kenapa saya jarang tengok moto macam ni?”

Ini moto baru ke abang ‘repair’ moto lama?”

“Apa! harganya RM87,900 sahaja?! Baik aku angkat yang ni dari %&^^@ ^$%$! BMW kot!”

Ini hanyalah antara beberapa soalan yang telah diajukan kepada saya sewaktu menunggang motosikal ini.

Saya telah menunggang uji motosikal ini lebih daripada seminggu – dalam bandar, di atas lebuh raya, di jalan kampung dan jalan tanah merah. Keluar lepak dengan kawan, ke mamak untuk beli makanan. Jauh mahu pun dekat. Dan walaupun pelananya tidak sesuai untuk perjalanan jarak jauh, yang mana saya perlu kata, teramatlah tidak selesa selepas melebihi jarak 100km, faktor keseronokan dan gayanya membuatkannya amat berbaloi.

Jika anda penggemar kancah permotosikalan negara, sudah pasti yang anda sedia maklum yang arena motosikal retro semakin berkembang pesat. Hampir setiap pengeluar motosikal ada model retro pada waktu ini. Pasaran untuk segmen motosikal ini semakin membangun, dan model Urban G/S ini membayangkan yang ianya akan terus kekal di sini.

Di atas motosikal Urban G/S ini, anda akan duduk menegak, seperti mana yang akan anda lakukan di atas motosikal motard naked. Palang pemegangnya yang lebar dan posisi duduk kaki ke hadapan memberikan anda keyakinan, bagaikan anda boleh memacu motosikal ini memasuki selekoh, pulas pendikit dengan keras, dan gelongsorkan bahagian belakangnya. Macam sebuah motosikal motard atau dirt bike

via GIPHY

 

Ia juga turut memiliki kuasa bagi menyokong rasanya yang tekad itu. Menjana motosikal Urban G/S ini adalah enjin ‘boxer’, empat lejang, sejukan udara dan cecair yang dilengkapi dengan DOHC, dan empat injap jajaran jejari bagi setiap silinder dengan syaf pengimbang berat tengah. Ini bermakna yang ia telah menangani engkolan sisi ke sisi yang selalu dikaitkan dengan tatarajah enjin ‘boxer’, sekurang-kurangnya tidaklah seganas enjin ‘boxer’ yang terdahulu. Anda masih boleh merasakan gegaran sisi kiri-ke-kanan klasik ‘boxer’ sewaktu anda menghidupkan enjinnya, yang mana ianya hebat sekali dan penulis berharap yang BMW tidaklah menghapuskan terus perwatakan yang sinonim dengan motosikal janaan enjin ‘boxer’ ini.

Dengan kapasitinya pada 1,170cc, motosikal Urban G/S ini menghasilkan 110hp dan 116Nm tork yang boleh anda nikmati. Dengan beratnya pada 221kg sahaja, ia bergerak dengan amat pantas sekali bagi mencapai kelajuan tertingginya, sekitar 230km/j. Tetapi oleh kerana ianya tanpa sebarang skrin dan penepis angin yang kecil di atas lampu hadapannya itu lebih sebagai perhiasan, anda perlu tunduk rapat dan memegang kemas motosikal dengan tangan dan mengepit dengan peha anda. Saya hanya mampu mencapai kelajuan 218km/j sebelum ia menjadi terlalu tidak selesa dan menakutkan.

Suspensinya yang tinggi menambah lagi ciri motosikal motard pada model Urban G/S ini, cocoklah dengan tujuannya sebagai sebuah motosikal yang boleh melakukan apa sahaja dalam bentuk R80 G/S yang asal. Kekal tulus dengan reka bentuk asal bermakna yang ia tidak jauh terpesong daripada reka bentuk asal dan tujuannya, namun, BMW telah melakukan tugas yang baik sekali menambah elemen yang menyeronokkan padanya. Ianya gabungan enjin yang berkuasa, posisi duduk yang hebat, dan suspensi yang ditala hebat dan lembut yang menjadikan motosikal Urban G/S ini jentera yang ‘buas’, lebih-lebih lagi di selekoh.

Dan yang terbaiknya lagi, anda tidak perlu risau akan sebarang kepincangan tugas elektronik pada motosikal ini, kerana, ianya tidak terlalu dibebani dengan kelengkapan elektronik pun. Malah, ia tidak mempunyai tolok bahanapi, sebaliknya hanya memberi amaran yang bahanapi anda berkurangan dan memulakan kiraan sebaik sahaja tangki anda hanya boleh pergi sejauh 50km lagi, mencukupi memandangkan yang motosikal ini dibina untuk kawasan dalam bandar. Namun, di atas lebuh raya, ia agak merisaukan, lebih-lebih lagi jika anda jenis yang risaukan jarak yang perlu direntasi.

Selain daripada itu, ia tiada mod penunggangan elektronik, pengaturcara suspensi elektronik, mahu pun kawalan bersiar. Yang ia ada dari segi elektronik adalah brek ABS, sebuah sistem pengurusan enjin digital, sebuah sistem suntikan paip masukan elektronik, dan beberapa buah pengesan di sekeliling motosikal. Ianya sebuah motosikal ‘back to basic’ yang sejati, yang ada aura ranggi Steve McQueen, yang mahu dimiliki semua tetapi hanya dianugerahkan kepada mereka yang terpilih.

Saya seronok menunggang uji motosikal R nineT Urban G/S ini, namun, ianya tidak sesuai dengan jenis perjalanan yang saya lalui. Ia menangani jalan raya dalam bandar dan jalan kampung dengan baik sekali, namun tidak sesuai sekiranya digunakan untuk penunggangan jarak jauh di atas lebuh raya. Jadi, adakah saya akan membelanjakan wang untuk memilikinya? Jika saya ingin memiliki motosikal R nineT, saya akan pilih model standard kerana kusyen tambahan pada pelananya. Namun, jika anda mahukan rekaan yang ranggi, kuasa mengagumkan dan tampak bergaya di dalam bandar, dan asalkan anda tidak menunggang terlalu jauh, lupakan yang lain dan dapatkan Urban G/S ini. Tetapi jangan kata kami tidak memberi amaran kepada anda mengenai pelananya itu.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.