Rumusan Pusingan 2 Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018

  • Pusingan 2 Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 telah berlangsung dengan jayanya, dengan perlumbaan yang hebat sepanjang hari.
  • Terdapat juga pelbagai drama semasa ke semua perlumbaan.
  • Cuacanya kekal elok sepanjang hari Ahad di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Berbanding hari yang sebelumnya (Sabtu, 28 Julai 2018), hari Ahad bermula dengan cerah dan panas untuk hari terakhir Pusingan 2 Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018. Hujan telah diramalkan untuk hujung minggu ini, namun hanya awan tebal yang ada di sekitar kawasan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), tanpa mencerobohi ruang udaranya.

 

Tanpa sesi Latihan Bebas, jadual waktu telah diawalkan untuk hari tersebut. Selain itu, perlumbaan bagi keseluruhan kategori juga telah dianjak ke masa yang berbeza bagi mengurangkan keterbiasaan yang mungkin dirasai para penunggang.

SUPERSPORT – Dominasi Muhammad Helmi Azman

Para penunggang Supersport adalah kumpulan yang pertama memasuki litar pada jam 10 pagi. Matahari telah memanaskan tarmac dengan secukupnya bagi membolehkan sesiapa sahaja merasakan bahang darinya.

Muhammad Helmi Azman (#32) dari pasukan SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing telah memenangi Perlumbaan 1 pada hari Sabtu dan dia berazam untuk mengulangi kemenangan itu pada hari Ahad.

Dia meluru pantas dari posisi gridnya menuju Selekoh 1 di hadapan kumpulan penunggang, manakala penunggang Moto3 negara, Adam Norrodin (#70) dari pasukan SIC Junior ZK Racing Team telah terjebak dengan pertarungan dengan 4orang penunggang yang lain.

Muhammad Helmi telah merebut peluang ini dengan mengukuhkan lagi tempatnya di hadapan dengan mencatat masa 1.3 saat bagi setiap pusingan lebih pantas berbanding penunggang di tempat kedua, dan kemudiannya mencatatkan masa pusingan terpantas 2:12.451. Sewaktu perlumbaan berbaki tiga pusingan, barulah dia mulai mengawal penunggangannya.

Adam telah bertarung untuk menduduki tempat keempat, dan terpaksa bersaing sengit dengan Liam Taylor MacDonald (#37) dari New Zealand. Adam akhirnya berjaya memintas MacDonald dan mula mencatat masa yang pantas dalam cubaan untuk menjarakkan diri. Dia berjaya melakukannya dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua atas podium, 10 saat di belakang Muhammad Helmi, manakala MacDonald melintasi garisan penamat 10 saat di belakang Adam.

Bahang telah memberi kesan terhadap tayar di mana motosikal mulai menggelongsor pada tahap akhir perlumbaan.

SUPER 250 – Surya Narayana terkandas

Ianya satu lagi perlumbaan mengujakan yang dinanti-nantikan selepas aksi atas litar yang hangat pada hari sebelumnya. Namun, untuk kali ini, aksinya jauh lebih menggila dari yang dijangkakan.

Pendahulu kejohanan, Surya Narayana (#9) dari Indonesia telah mengalami masalah mekanikal, menyebabkan jenteranya hampir terbabas di Selekoh 8.

Ini telah membolehkan para penunggang yang lain menentukan rentak mereka dan bertarung hebat sesama mereka. Luth Harith B. Erwan (#71), teman sepasukan Surya di Promax NJT IKBN Jitra Racing telah menunggang dengan pantas dan menjarakkan diri pada pusingan terakhir dengan mencatatkan masa pusingan perlumbaan terpantas dan memenangi perlumbaan ini dengan beza masa hanya 1.748 saat di hadapan Jailani Kosman (#55). Muhammad Aiman Thiruddin mengekori rapat di belakang untuk mendapat tempat ketiga, dengan beza masa di bawah satu saat di belakang Jailani (72).

Telah berlaku pelbagai aksi yang mengujakan antara para penunggang di mana mereka saling bertembung siku dan lutut. Salah seorang penunggang telah tersasar jauh keluar litar di laluan lurus Mula/Tamat.

SUPERSTOCK – Dendam Amirul Hafiq Azmi dilunas

Azroy Hakeem (#32) berjaya menjarakkan diri pada perlumbaan hari sebelumnya, namun dia tidak berjaya melakukannya pada hari Ahad.

Dia bermula dengan pantas dan berada jauh di hadapan penunggang lain selepas Pusingan 1 dan nampaknya, Perlumbaan 2 juga bakal menjadi miliknya.

Namun, tanpa disedari oleh Azroy, Amirul Hafiq Azmi (#80) sedang mara dengan pantas selepas grid kelayakan yang kurang memberangsangkan. Dia mulai memintas para penunggang satu demi satu, tetapi berhadapan saingan hebat dari tempat kelima hingga kedua. Dia kemudiannya mula memburu Azroy setelah memintas ke semua penunggang yang lain.

Amirul menunggang dengan rentak yang hebat dan telah berada di belakang Azroy sewaktu pusingan kelima. Bagaimana pun, dia hanya mengekori penunggang di hadapannya dengan rapat. Tampak jelas sekali Azroy lebih pantas di Sektor 1, di mana dia menjarakkan diri setiap kali mereka melalui Selekoh 1 hingga 3, namun, Amirul akan dapat merapatinya semula dan mula memaksa Azroy melakukan kesilapan.

Peluang keemasan tiba di pusingan terakhir sewaktu Azroy kelihatan telah membrek terlalu awal untuk Selekoh 4. Amirul membrek lebih lambat berbanding pesaingnya itu dan meluru pantas ke hadapan untuk memenangi perlumbaan. Nota kaki; pasukan TOC-HKM Racing Team adalah juara bertahan dalam siri perlumbaan Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 ini.

Di tempat ketiga adalah Ahmad Khan yang telah bertarung dengan tiga orang penunggang lain untuk meraih tempatnya di atas podium.

IDEMITSU ASIA TALENT CUP (ATC) – Medan pertarungan penunggang muda

Jika Kejohanan Dunia Moto3 mempamerkan perlumbaan yang paling mendebarkan sewaktu hujung minggu MotoGP, ATC juga sama mendebarkan. Para penunggang remaja berhati kering ini tidak gentar berlumba sepenuh hati mereka. Ianya satu tambahan yang cukup mengujakan bagi siri perlumbaan Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 ini!

Dalam Pusingan 1 sahaja, pendahulu perlumbaan telah bertukar tangan berbilang kali. Akhirnya, Haruki Noguchi berjaya menjarakkan diri apabila penunggang dari Australia, Bill Van Eerde (#19) dan Takuma Matsuyama (#11) mulai bertarung sesama mereka. Van Eerde berjaya mengakali Matsuyama dan mulai memecut, mencatatkan masa yang amat pantas, 2:18.890, meninggalkan Matsuyama yang mulai diekori oleh Sho Nishimura (#3).

Sewaktu Van Eerde mengejar Noguchi, dia telah dikejar Nishimura, menjadikannya pertarungan tiga penjuru. Nishimura kemudiannya telah melakukan aksi memintas yang mengagumkan, melangkaui kedua-dua penunggang dan mendahului ketika Sektor 4 di pusingan terakhir. Dengan Noguchi dan Van Eerde di dalam ‘slipstream’, Nishimura merapati sisi kiri ‘backstraight’ yang menuju Selekoh 15 yang terakhir, yang mana akan membolehkannya mempertahankan laluannya dengan kemas melewati selekoh.

 

Sewaktu mereka bersedia untuk membrek di selekoh akhir, Van Eerde meluru ke arah kanannya untuk memasuki semula garisan perlumbaan biasa dan meluru masuk selekoh. Tindakannya yang berani itu telah mem’block-pass’ Noguchi dan meletakkannya betul-betul di ‘slipstream’ Nishimura sewaktu mereka memecut laju ke arah garisan penamat.

Pertaruhan Van Eerde membuahkan hasil di mana di telah meluncur laju memintas Nishimura dan menang dengan perbezaan masa hanay 0.012 saat, dengan Noguchi 0.102 saat di belakang Nishimura untuk mendapat tempat ketiga.

Van Eerde pernah berlumba dalam beberapa buah perlumbaan Asian RC Cup pada tahun lalu.

SUPERBIKE – Keunggulan Azlan Shah terserlah

Tidak syak lagi yang Azlan Shah Kamaruzaman (#25) dan Chia Motor PJ Kawasaki adalah gabungan yang perlu diakali dalam kategori Superbike di Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018. Pengalaman dan gabungan mereka telah membolehkan mereka menggondoli anak tangga teratas pada Pusingan 1, dan penguasaan mereka berterusan pada Pusingan 2 dengan merangkul Petak Pertama dan kemenangan sewaktu Perlumbaan 1 pada hari Sabtu.

Perlumbaan 2 bermula dengan Azlan meluru pantas ke hadapan, diikuti pesaing terdekatnya, Rajini Krishnan (#67) dari India, memasuki Selekoh 1. Namun Azlan tersasar dari penanda pembrekannya dan hampir memasuki perangkap kerikil di Selekoh 9, dan ini membolehkan Rajini merampas tempat pendahulu.

Azlan masih berada di kedudukan keduan sewaktu mereka memulakan Pusingan 2, namun, kini, tiba giliran Rajini pula tersasar memasuki perangkap kerikil di Selekoh 9, membolehkan Azlan memintasnya dan dia jatuh ke tempat kelima.

Dari ketika itu, Azlan mula mencatat masa pusingan di bawah 2:10, lebih pantas dari penunggang yang lain.

Pada masa yang sama, Amirul Hafiq Azmi (#80) dari pasukan TOC-HKM Racing Team telah bersaing dengan penunggang lain sebelum dia mula memburu penunggang Switzerland, Jonathan Serrapica (#48) untuk tempat kedua. Amirul berjaya memintas Serrapica di Selekoh 7 pada Pusingan 6.

Rajini berjaya mendapatkan rentaknya semula pada ketika itu dan berjaya memintas Serrapica pada Pusingan 8 dan mengejar Amirul dan memintasnya pada Pusingan 9, meletakkannya di tempat kedua.

Dengan Azlan berada 20 saat di hadapan, ia tampak seperti Rajini akan menamatkan perlumbaan ini di tempat kedua. Tetapi, dia sekali lagi tersasar di Selekoh 9 pada pusingan terakhir dan telah dipintas oleh Amirul yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan Serrapica, yang mendapat tempat ketiga, menyebabkannya jatuh ke tempat keempat.

TOC DESMO CUP – Peragaan Thundering Twin

Ke semua enam orang peserta memulakan perlumbaan namun dua orang penunggang kemalangan, meninggalkan hanya empat orang penunggang untuk terus berlumba.

Di penghujungnya, Zulkiply Yahya (#12), telah berjaya memenangi perlumbaan,diikuti oleh Sarul Fahmi Mohd. Zaini (#11), dan Syamsul Bakhtiar Esa (#14) di tempat ketiga.

Tamatnya perlumbaan tersebut menutup tirai Pusingan 2 MSBK 2018.

Kesimpulan

Pusingan 2 Pirelli Malaysia Superbike Championship 2018 telah menyaksikan aksi yang tidak dapat dilupakan pada seluruh hujung minggu itu. Dengan adanya Idemitsu Asia Talent Cup dan TOC Desmo Cup sudah pasti telah menarik minat dan juga meningkatkan prestij siri perlumbaan ini.

Setelah berehat selama dua bulan, nampaknya, kebanyakan pasukan telah memperbaiki tahap mereka dengan ketara bagi memberikan persaingan yang cukup mengujakan. Jenteranya juga tampak jauh lebih bersedia berbanding Pusingan 1.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga turut memperketatkan protokol keselamatan mereka bagi Pusingan 2, dengan mengurangkan bilangan orang yang boleh ada di kawasan paddock. Paddock yang kurang sesak membolehkan pasukan menumpukan perhatian pada tugas yang ada.

Ianya satu hujung minggu yang hebat, di mana cuacanya cukup sesuai sekali untuk berlumba. Pusingan 3 Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 akan berlangsung dari 14-16 September 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Jumpa anda di sana!

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]