Litar Antarabangsa Sepang Dan Institut Sukan Negara Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Rasmi

  • Litar Antarabangsa Sepang dan Institut Sukan Negara telah menandatangani satu perjanjian kerjasama strategik rasmi.
  • ISN akan menyediakan perkhidmatan kesukanan buat pasukan PETRONAS Sepang Racing Team dalam MotoGP dan juga untuk program pembangunan bakat SIC.
  • SIC berharap yang fasiliti ini akan membantu penunggang mereka untuk terus berkembang menjadi penunggang MotoGP pada masa yang akan datang.

Institut Sukan Negara (ISN) telah mengumumkan perjanjian mereka bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai rakan kerjasama strategik rasmi.

Kerjasama antara dua badan ini merupakan yang pertama dalam bidang perkhidmatan kesukanan berprestasi tinggi untuk sukan permotoran. Kerjasama ini juga merupakan satu satu langkah positif dalam menggalakkan sukan permotoran negara. Kerjasama strategik ini meliputi:

  1. ISN akan menyediakan perkhidmatan kesukanan berprestasi tinggi dengan merancang dan menerapkan program sains sukan dan perubatan sukan buat para penunggang pasukan PETRONAS Sepang Racing Team dan untuk para penunggang di bawah program pembangunan bakat SIC, seperti “Impian ke MotoGP”. Program “Impian ke MotoGP” ini terdiri daripada persediaan untuk pelbagai kejohanan seperti “Spanish CEV Teen Championship (CEV), “European Talent Cup, “Idemitsu Asia Talent Cup”, dan “Asia Road Racing Championship” (ARRC).
  2. ISN akan menerapkan penggunaan sains sukan yang sistematik dan komprehensif berdasarkan amalan terbaik dan kajian dalam bidang khusus seperti pemakanan, psikologi, fisiologi gimnastik, biomekanik, dan kecergasan fizikal untuk sukan permotoran.
  3. ISN akan menyediakan perkhidmatan perubatan sukan seperti saringan kesihatan, rawatan kecederaan, fisioterapi dan rehabilitasi, rawatan rehabilitasi sukan dan ujian klinikal.

Kedua-dua belah pihak berharap dengan kerjasama ini akan membuka ruang untuk pertukaran pengalaman dan kajian sukan berprestasi tinggi dalam sukan permotoran. Kerjasama in adalah satu langkah yang penting dalam perkongsian maklumat, pengetahuan, dan kajian terkini dalam pembangunan industri sukan permotoran nasional.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Dato’ Razlan Razali, berkata, “Bagi memastikan kesediaan bakat-bakat SIC dalam sukan dua dan empat roda dari segi mental dan fizikal, kami dengan berbesar hati telah menjalinkan hubungan kerjasama strategik bersama ISN. ISN merupakan tempat terbaik dengan fasiliti yang lengkap bagi melahirkan atlit bertaraf dunia dan mereka telah membuktikan dengan berbilang kejayaan yang telah dikecapi. Oleh itu, dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan untuk kegunaan bakat sukan permotoran kami, kami memiliki rangkaian ekosistem dan struktur yang lengkap bagi memastikan yang atlit sukan permotoran kami bersedia untuk bertanding dalam kejohanan masing-masing. Tiada lagi alasan buat atlit ini kerana kami telah menyediakan hampir ke semuanya untuk mereka bagi memastikan yang mereka berdaya saing dan mampu menjadi juara.”

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply