ads

Langkah Seterusnya Jenama Aprilia Di Malaysia

  • Piaggio Group dan Naza Premira baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka telah mencapai kata sepakat dalam menghentikan hak pengedaran Aprilia di Malaysia. Baca mengenainya DI SINI.
  • Hari yang berikutnya, Piaggio Group telah mengumumkan pelantikan syarikat baharu yang akan mengambil alih tugas pengedaran Aprilia di Malaysia. Baca mengenainya DI SINI.
  • Syarikat baharu tersebut adalah Didi Resources Sdn. Bhd., pengedar bagi jenama Moto Guzzi dan Harley-Davidson.
    Kami telah berbual dengan warga Didi Resources bagi mengetahui perancangan mereka buat Aprilia di Malaysia.

Sebaik sahaja diumumkan bahawa Naza dan Piaggio telah bersetuju untuk menghentikan kontrak pengedaran Aprilia di Malaysia, kami telah menghubungi syarikat yang mengambil alih tugas pengedaran jenama Itali tersebut untuk pasaran negara – Didi Resources Sdn. Bhd. (DRSB).

Pasti ada di antara yang sudah sedia maklum bahawa DRSB merupakan syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan sebuah lagi jenama di bawah Piaggio Group – Moto Guzzi.

DRSB memperoleh hak pengedaran jenama Moto Guzzi pada tahun lalu dan sejak itu telah melakukan tugas yang cukup memberansangkan. Rangkaian motosikal Moto Guzzi telah mendapat sambutan yang hangat dan dengan pengenalan beberapa buah model yang baharu, seperti model V7 III Carbon yang baru diperkenalkan, telah memberikan para peminat dan bakal pemilik satu pilihan yang cukup luas, dengan sekurang-kurangnya tiga buah model lagi bakal diperkenalkan pada tahun ini.

Selain itu, DRSB telah membuktikan yang mereka bukan hanya sekadar penjual motosikal yang hebat, tetapi juga mampu memberikan pengalaman pemilikan yang hebat dengan perkhidmatan selepas jualan bertaraf dunia melalui bengkel khusus yang dianggotai oleh juruteknik terlatih. Bengkelnya juga telah dilengkapi dengan kelengkapan “Piaggio Advanced Diagnostics System” tercanggih dan ke semua mekaniknya telah dilatih menggunakan komputer dan perisiannya, yang diperlukan bagi menyelenggara ke semua model di bawah naungan Piaggio, termasuklah Aprilia.

Selain itu, pasukan DRSB juga turut bergerak aktif dengan aktiviti bersama kelab pemilik motosikalnya dengan konvoi yang dianjurkan khas seperti tunggangan hujung minggu ke Melaka (tontoni videonya DI SINI), dan konvoi malam pertama ke Pulau Pinang untuk Sahur pada bulan Ramadan yang lalu.

Jadi, dari segi jualan, penyelenggaraan dan perkhidmatan pelanggan, DRSB telah membuktikan kemampuan mereka. Dan ianya bukanlah satu kejutan memandangkan ianya dihuni oleh individu-individu yang cukup berbakat dan berpengalaman dalam industri ini. Mengetuai syarikat ini adalah Encik Rewi Hamid Bugo, seorang usahawan berjaya dengan pelbagai perusahaan dan bertindak sebagai Pengerusi DRSB. Pengarah Urusan DRSB pula diisi oleh Encik Juan Chow Wee, yang berpengalaman luas, antaranya menguruskan jenama Ducati pada zaman awalnya di Malaysia, dan juga pernah berkhidmat untuk jenama Aprilia sebelum ini. Dan tidak lupa juga nama yang cukup popular, Encik Idon Pang, yang berkhidmat sebagai ketua jabatan selepas jualan DRSB. Dia juga pernah berkhidmat sebagai ketua jabatan selepas jualan Aprilia dan juga jenama-jenama lain, dan dengan itu cukup sesuai bagi mengendalikan jenama yang ikonik ini.

Saya masih belum sempat bersembang dengan mereka selepas pengumuman yang DRSB akan mengambil alih pengurusan pengedaran jenama Aprilia, namun, cukup jelas sekali keterujaan syarikat berkenaan mengenai jenama Aprilia ini.

“Pertama sekali, kami ingin meyakinkan ke semua pemilik Aprilia di seluruh Malaysia yang kami akan menjaga mereka dengan baik dan memenuhi keperluan pemilikan mereka. Tidak kiralah di mana mereka membeli motosikal mereka, asalkan ianya sebuah motosikal Aprilia, mereka boleh datang berjumpa kami,” ujar Juan Chow Wee.

Pengedar yang baru ini mengatakan yang mereka komited dalam memenuhi ke semua waranti bagi ke semua motosikal baharu yang dijual, dan mereka juga akan menawarkan pakej penyelenggaraan dan akan membawa masuk alat ganti untuk motosikal Aprilia. Selain itu, mereka mahu menjadikan jenama Aprilia lebih berdaya saing dalam pasaran dan dengan itu akan ada penyelarasan harga bagi menarik minat lebih ramai pelanggan.

“Kami bukan sekadar mahu menjual motosikal Aprilia, tetapi kami ingin menawarkan kepada pemilik lama dan baru keseluruhan gaya hidup Aprilia, yang bermakna kami akan menganjurkan pelbagai aktiviti buat para pemilik, termasuklah hari litar dan juga tunggangan hujung minggu. Kami mahu mendekati pemilik dalam cara yang belum pernah mereka rasai sebelum ini,” tambah Juan.

Jadi, apa yang boleh pemilik Aprilia jangkakan dari pengedar baharu jenama ini? Pertama sekali, bilik pameran utama mereka akan dibuka di The Gasket Alley menjelang bulan November ini, jadi ia bakal menjadi tempat tumpuan para pemilik. Pusat perkhidmatan rasmi mereka juga akan terletak di The Gasket Alley, dan syarikat ini menjangkakan yang mereka akan dapat memenuhi stok alat ganti mereka menjelang September ini.

Buat para pemilik yang tinggal di negeri-negeri lain, DRSB mengatakan bahawa mereka akan menilai semula jaringan wakil pengedar dan sama ada akan terus mengekalkan wakil pengedar yang sama yang menunjukkan kesungguhan dalam mengangkat jenama Aprilia, atau mereka akan melepaskan sebahagian mereka dari kontrak dan menandatangani wakil pengedar yang lebih sesuai bagi memenuhi keperluan para pemilik Aprilia di seluruh negara.

Terang Juan, “Memiliki sebuah motosikal Aprilia bukannya sekadar memiliki sebuah motosikal yang hebat, tetapi ia juga membuka ruang kepada satu gaya hidup yang eksklusif. Para pengedar kami perlu mampu menawarkan kepada ke semua pelanggan mereka capaian pada pengalaman pemilikan yang hebat ini.”

“Kami ingin menghidupkan semula komuniti Aprilia, dan kami ingin mendekati mereka dan menawarkan kepada mereka pengalaman pemilikan yang menakjubkan dengan bengkel yang lengkap dengan alat ganti dan peralatan, acara bulanan, serta kami ingin mengangkat jenama yang telah lama tenggelam ini ke aras yang lebih tinggi lagi. Kami komited dalam mengembalikan kegemilangan Aprilia ke nilai sebenarnya.”

Syarikat ini telah merancang untuk menawarkan model-model serba baharu selepas pelancaran pusat perkhidmatan dan bilik pameran utamanya. Dan berdasarkan kejayaan syarikat ini dengan jenama Moto Guzzi, kami berasa cukup teruja dengan perkembangan masa depan jenama Aprilia di Malaysia. Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.

 

Leave a Reply