Mini Malaysia lancar Mini Cooper S 2018 – Dari RM226,888

  • Mini Malaysia baru sahaja melancarkan Mini Cooper S 2018 dengan varian 3 Pintu dan 5 Pintu.

  • Mereka juga telah melancarkan Mini John Cooper Works dengan 231hp dan 320Nm tork maksimum.

  • Harga generasi terbaharu Mini bermula dari RM226,888 hingga RM RM283,888.

Mini Malaysia baru sahaja melancarkan tiga model terbaharu mereka iaitu Mini Cooper S 3 Pintu dan Mini Cooper S 5 Pintu. Model ketiga yang merupakan model Mini yang paling menarik merupakan Mini John Cooper Works yang menawarkan rekabentuk yang lebih moden, ganas dan tampan.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata, “Mini Terbaharu melambangkan kecemerlangan teknologi serta reka bentuk yang terkinibagi sebuah jenama kereta yang mempunyai tarikan ikonikdan yang mampu menjangkaui generasi sejak tahun 1959. Mini generasi terbaharu ini merupakan teman yang sempurna untuk anda meneroka setiap pelosok negara baharu dan progresif ini dengan kemudahan yang tiada tandingannya, ia merupakan kesinambungan antara keperluan moden dan premium dengan penggayaan yang menawan.”

Kidd Yam, Ketua MINI Malaysia pula berkata, “Semenjak generasi ketiga Mini diperkenalkan pada tahun 2014, kita telah menyaksikan penjualan lebih daripada 1,500 unit kenderaan di Malaysia, yang merangkumi lebih daripada separuh berbanding kesemua jualan yang dicatat bagi kenderaan Mini di dalam negara. Warga Malaysia sememangnya menggemari keghairahan pemanduan ala go-kart yang merupakan antara ciri utama jenama Mini; kombinasi penambahbaikan moden dan terbaharu yang dibangunkan secara harmoni ke atas reka bentuk kompak premium jentera ikonik ini tampak lagi memikat.”

Bagi generasi Mini terbaharu ini, rekabentuk yang lebih menarik dan pengalaman pemanduan yang luar biasa ala go-kart telah digabungkan dengan asal-usul ikonik dari Mini.Mini terbaharu setia terhadap asal usulnya; namun sekarang, ia masih kekal sebagai ikon kontemporari, sekali lagi menetapkan tanda aras terbaharu melalui ciri-ciri emotif, reka bentuk premium, kefungsian pintar dan pengendalian go-kartnya.

Ketiga-tiga model Mini terbaharu ini dipasangkan dengan enjin dan transmisi terkini daripada BMW Group yang mematuhi standard Euro 6c untuk pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan di samping penggunaan kadar minyak yang lebih rendah.

Siri Mini terbaharu juga menetapkan tanda aras yang baharu bagi elemen emotif, dan reka bentuk bagi kenderaan ini seperti:

  • Projeksi Logo Mini (Mini Logo Projection)
  • Lampu Hadapan LED
  • Lampu Belakang ‘Union Jack’
  • Pencahayaan Waktu Siang (Day Time Running Lights)
  • Logo baharu Mini yang lebih moden

MINI Cooper S 3 Pintu Terbaharu dan MINI Cooper S 5 Pintu Terbaharu dikuasakan oleh Enjin Turbo TwinPower 2.0-liter 4-Silinder Mini. Kedua-duanya boleh menjana 192hp dan 280Nm tork, dengan kelajuan yang boleh mencecah 235km/j.

Dari segi prestasi, Mini 3 Pintu Terbaharu boleh mencapai kelajuan dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.7 saat serta kombinasi penggunaan minyak sebanyak 5.5l/100km. Mini 5 Pintu pula boleh memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.8 saat dengan kombinasi penggunaan minyak pula terdiri pada kadar 5.6 l/100km.

Pelindung enjin yang 13% lebih ringan berjaya dilakukan dengan teknologi terbaharu mereka iaitu Carbon Fibre Reinforced Plastic (CFRP). Tawaran enjin yang lebih ringan melalui penurunan berat sehingga 8kg berbanding berat keseluruhannya yang menyumbang kepada penambahbaikan kadar penggunaan minyak.

Fungsi peluncuran (coasting) yang sebelum ini hanya boleh dialami melalui mod ‘Green’ kini boleh diaktifkan melalui mod MID Mini generasi baharu. Fungsi tersebut mampu menukar status enjin secara pintar ke status lahu apabila tekanan dibebaskan dari pedal pemecut sewaktu kereta sedang bergerak.

Bagi Mini John Cooper Works, fungsi MSA Connected menyumbang kepada penjimatan minyak melalui sistem pintar automatik,“mula dan berhenti”—lantas membolehkan Mini yang berorientasikan prestasi ini untuk membuat keputusan samada kereta tersebut akan berada dalam keadaan yang lebih baik.

Siri terbaharu Mini juga dilengkapi dengan pakej lampu LED di hadapan dan juga belakang termasuk Pencahayaan Waktu Siang (daytime-running lights). Lampu hadapan jentera ini dijana oleh lampu Bi-LED, dan dengan membuat olahan pada indikator yang tersedia, ia boleh mengubah pencahayaan LED waktu siang ke indikator LED. Lampu belakang yang mengenakan rekabentuk menarik Union Jack juga menampilkan semangat baru serta asal-usul Mini.

Di samping itu, buat julung kalinya di rantau Asia Tenggara, Mini Malaysia telah memperkenalkan Mini Yours Customised Accessories yang pernah menggarap beberapa anugerah, dan ia membolehkan beberapa komponen untuk dihasilkan mengikut spesifikasi peribadi pelanggan seperti:

  • Ketutup sisi (side scuttles)
  • Fascia kokpit
  • Kemasan Ambang Pintu LED (LED Door Sills Finishers)
  • Projektor Pintu LED (LED Door Projector)

Keseronokan dan Keselesaan Memandu Dipertingkatkan dengan Kelengkapan Tujuh Gear.MINI Cooper S 3 Pintu Terbaharu dan MINI Cooper S 5 Pintu Terbaharu merupakan antara MINI yang pertama dalam famili kenderaan ini yang akan dilengkapi dengan Transmisi Dwi-Klac 7-Kelajuan dan penukar gear elektronik.

Mini Cooper S 3 Pintu 2018 tampil dengan tujuh warna – Merah (Chili Red), Putih (Pepper White), Oren (Solaris Orange), Perak (White Silver), Biru (Starlight Blue), Kelabu (Thunder Grey) dan Hijau (British Racing Green) dipadankan dengan Bumbung Hitam. Alternatifnya, Merah (Chili Red) juga boleh dipadankan dengan Bumbung Putih.

Bagi Mini Cooper S 5 Pintu pula, terdapat enam pilihan warna iaitu Merah (Chili Red), Putih (Pepper White), Kelabu (Emerald Grey), Perak (White Silver), Biru (Starlight Blue) dan Hijau(British Racing Green) dipadankan dengan Bumbung Hitam. Merah (Chili Red) juga boleh dipadankan dengan Bumbung Putih.

Anda inginkan sesuatu yang lebih berkuasa? Mini John Cooper Works dengan warna Hitam (Piano Black) menampilkan rekabentuk luaran yang agresif dipadankan dengan prestasi yang luar biasa. Mini John Cooper Works dikuasakan oleh Enjin Turbo TwinPower 2.0-liter 4-Silinder Mini yang berupaya untuk menjana 231hp dan 320Nm tork maksimum. 0 hingga 100km/j? 6.1 saat sahaja!

Ciri-ciri lain termasuk:

  • Roda John Cooper Works Cup Spoke 2-Tone 18”
  • Jaluran Bonet (John Cooper Works Bonnet Stripes)
  • Bumbung Matahari Panoramik (Panoramic Sunroof)
  • Transmisi Automatik 8-Kelajuan Steptronic Sports
  • Suspensi Adaptif
  • Tempat Duduk Kereta Lumba John Cooper Works dengan Dinamica Leather
  • Skrin Sentuh yang lebih besar (8.8 inci)dengan sSistem navigasi
  • Pengenalpastian Bahasa Natural (Natural Language Recognition)
  • Paparan Head Up (Head Up Display)
  • Pengecasan Tanpa Wayar bagi Telefon Pintar

Mini John Cooper Works disediakan dengan empat warna menarik iaitu Hijau (Rebel Green), Hitam (Midnight Black) dan Putih (Pepper White) dengan Bumbung Merah, serta Merah (Chili Red) dengan Bumbung Hitam.

Mini Malaysia akan menawarkan siri Mini terbaharu dengan harga atas jalan (tidak termasuk insurans) tertera dibawah:

Mini Cooper S 3 Pintu – RM226,888

Mini Cooper S 5 Pintu – RM236,888

Mini John Cooper Works – RM283,888

MINI Malaysia Perkenalkan Kereta MINI Countryman Plug-in Hybrid Yang Baru! [+Video]

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]