HLYM Perkenalkan Yamaha Y15ZR 2018 Edisi GP – RM8,588

  • Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan motosikal Yamaha Y15ZR 2018 Edisi GP.
  • Pemilik motosikal super cub edisi terhad yang baharu ini juga akan menerima sebuah model miniatur Yamaha Y15ZR serta gelung pergelangan tangan kecergasan.
  • HLYM telah menetapkan harga bagi motosikal edisi GP terkini mereka pada harga RM8,588 (harga asas dengan 0% GST).

Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah pun memperkenalkan model Yamaha Y15ZR 2018 Edisi GP terbaharu mereka. Model Edisi GP keempat mereka ini bukan sahaja dilengkapi dengan skema warna yang menakjubkan, malah, ia juga didatangkan dengan beberapa hadiah tambahan buat pemilik model edisi terhad ini.

Bagi meraikan usaha berterusan Yamaha dalam siri perlumbaan MotoGP, mereka tampil dengan skema warna yang tidak asing lagi buat para peminat pasukan MotoGP mereka. Skema grafik terkini telah direka berdasarkan pada jentera Yamaha terkini yang dikemudi oleh Valentino Rossi dan Maverick Viñales.

Untuk kali ini, mereka yang mendapatkan model Yamaha Y15ZR Edisi GP generasi keempat ini akan menerima dua hadiah tambahan unik yang melengkapi motosikal super cub Yamaha baharu mereka itu. Ianya adalah:

  • Model miniatur Yamaha Y15ZR Edisi GP.
  • Gelung pergelangan tangan kecergasan Yamaha Y15ZR.

Barangan ini hanya boleh didapati dengan pembelian motosikal Yamaha Y15ZR Edisi GP yang baharu dan tidak akan dijual secara berasingan. Yang paling menakjubkan adalah harganya tidak jauh berbeza berbanding model standard yang ditawarkan oleh HLYM.

Yamaha Y15ZR Edisi GP 2018 telah ditetapkan harganya pada RM8,588 (harga asas dengan 0% GST), yang mana ianya hanya RM700 lebih berbanding harga model standard. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, kunjungilah mana-mana wakil pengedar sah Yamaha yang berada di seluruh negara, atau layarilah http://www.yamaha-motor.com.my/.

SIC, Angel Nieto Team, Dan Yamaha Bergabung Tenaga Membentuk Pasukan Untuk MotoGP Musim 2019!