Tunggang Uji: Harley-Davidson Sportster Iron 1200 – Jentera Penjarah Selekoh

  • Harley-Davidson Sportster Iron 1200 adalah tambahan baharu bagi rangkaian popular Sportster.
  • Berasaskan model Iron 883, ianya telah dilengkapi dengan enjin 1202cc yang lebih besar dan menawarkan 30% lebih kuasa.
  • Dengan palang pemegang ‘mini-ape’ yang tinggi,tempat letak kaki yang ditetapkan pada di tengah-tengah, dan roda hadapan sebesar 19 inci, Iron 1200 ini adalah sebuah jentera buas yang mampu menangani selekoh dengan cukup hebat sekali.

Harley-Davidson Sportster adalah motosikal yang dikilangkan secara berterusan tertua di dunia. Ia telah mula dihasilkan sejak tahun 1957, dan walaupun ianya telah melalui pelbagai perubahan, jika anda letak yang lama dan baru seiringan, anda pasti akan menyedari terdapatnya persamaan yang terhasil akibat evolusi bersama selama 60 tahun.

Ianya sesuatu yang digelar sebagai ‘produck continuation’, pengekalan DNA sesuatu model tertentu supaya ia boleh terus berkembang dan berevolusi, dan pada masa yang sama, tidak menyimpang dari yang asalnya. Kadang kala dari segi reka bentuk, lain masa dari segi fungsinya.

Namun, Sportster ini cukup istimewa, kerana ianya salah sebuah daripada sejumlah kecil motosikal yang mampu menyesuaikan diri dengan sempurna, menjadi pelbagai versi sebuah motosikal yang sama.

Dan atas sebab itulah motosikal ini cukup popular sekali, kerana ia boleh menjadi sebuah motosikal yang boleh mendaki bukit semudah ia menjadi sebuah jentera untuk perjalanan jarak jauh. Model ini telah melahirkan pelbagai varian yang cukup hebat menangani selekoh dan pada masa yang sama, amat mudah dikendalikan bagi seorang penunggang baru.

Populariti model Sportster berkembang pada masa yang sama seperti model Triumph Bonneville, model Norton, dan model Enfield. Kebangkitan jentera moden retro masa kini telah dianggap sebagai satu nafas baru bagi era ini, dan motosikal Sportster 1200 adalah model yang sempurna dengan gaya klasiknya itu.

Tangkas dan bergaya dengan rupa bentuk ‘chopper’ yang ranggi, model Sportster Iron 1200 ini telah kami tunggangi di Croatia dan ianya menepati intipati sebenar sebuah Harley-Davidson, pantas dan bergaya.

Bagi mereka yang kurang arif, model Iron 1200 ini mungkin tampak seperti sebuah Iron 883 dengan palang pemegang ‘mini-ape’ yang lebih tinggi berbanding dengan palang pemegang ‘flat-bend’ yang biasa ada pada sebuah model Iron. Namun, model Iron 1200 ini bukan sekadar sebuah motosikal yang sama dengan enjin yang lebih besar, ianya sebuah motosikal yang tersendiri.

Ia penuh bergaya, tidak nampak kekok sekiranya diletakkan atas kulit album ‘Achtung, Baby’ kumpulan U2, dan sudah pasti kena sekali dengan tema kulit album tersebut dengan jalur tangki era AMF-nya.

Dan seperti Sportster yang asal, Iron 1200 ini cukup seronok dikendali dalam selekoh. Ia berkongsi casis yang sama dengan Iron 883, begitu juga dengan kerangka, roda, suspensi, dan yang lain-lain. Malah, walaupun ianya merumahkan enjin yang lebih besar dan palang pemegang yang lebih tinggi, ianya lebih kurang satu kilogram lebih berat berbanding Iron 883, yang mana merupakan satu pencapaian yang hebat.

Jadi, jelas sekali kedua-dua model ini bersaudara, cuma dengan perwatakan yang berbeza. Anda melabuhkan punggun di atas pelananya, tangan mendepang menongkah arus angin, dengan tempat letak kaki di bahagian pertengahan membolehkan anda duduk dalam posisi yang paling sesuai untuk mengendalikan selekoh, dan roda hadapan sebesar 19 inci model ini menjadikan Sportster ini salah sebuah motosikal dengan pengendalian terbaik dalam segmennya. Ia juga mempunyai pelana yang amat selesa, jauh lebih selesa berbanding dengan model 48 Special.

Tetapi, pada enjinnyalah di mana ianya berbeza, di mana Sportster Iron ini mencapai potensinya. Jangan salah anggap, model Iron 883 tetap sebuah model yang hebat, namun, ianya juga lebih kepada sebuah model tahap permulaan pada satu ketika jadi ianya terasa agak terhad dari segi prestasi. Iron 1200 secara jelasnya telah dibina berasaskan pakej 883 yang menyeronokkan, tetapi jauh lebih mengujakan.

Jadi, ianya bermula dengan enjin evolusi sejukan udara baharu yang mempunyai 30% lebih kapasiti berbanding dengan 883 dan menghasilkan kira-kira 100Nm. Enjinnya dipaut pada kotak gear lima kelajuan yang sama seperti 883, namun pada nisbah gear yang berbeza. Dan seperti kebanyakan Harley-Davidson, cara terbaik untuk mengemudi enjin 1,202cc adalah dengan berada pada gear yang lebih tinggi dan pacu daya kilas yang ditawarkannya menerusi selekoh. Anda juga boleh turun ke gear lebih rendah dan memecut laju keluar selekoh. Dalam apa cara sekali pun, Iron 1200 ini sedia untuk berkhidmat.

Namun, seseronok mana pun ianya kedengaran, ada rasa yang agak menggetarkan sewaktu anda memulas pendikitnya. Sewaktu motosikal ini mula memecut laju, bahagian hadapannya akan terasa bergoyang sedikit sewaktu motosikal ini mendekam ketika pemecutan maksimum. Jarang sekali anda perasan sebenarnya, namun, ianya ada terasa setiap kali anda memecut keluar dari selekoh.

Dan menyaingi keseronokan dan kuasa yang ada pada motosikal ini adalah pengendalian yang hebat. Jangan percaya jika ada yang kata anda tidak bersuka ria di atas Harley-Davidson kerana Iron 1200 ini cukup hebat menangani selekoh. Penggemar sejati pasti akan suka dengan fakta yang ianya tidak dibebani dengan pelbagai kelengkapan elektronik seperti ABS (kelengkapan tambahan pilihan) serta kawalan cengkaman. Dan keseluruhan gugusan meter telah diringkaskan pada yang paling asas, memberikan anda hanya maklumat yang paling penting. Dan jangan pula anda terpedaya dengan penutup lampu hadapannya, ia tidak akan menempiaskan angin dari hadapan dengan baik, menjadikan Sportster Iron 1200 ini lebih kepada sebuah motosikal bandar berbanding sebuah ‘highway cruiser’.

Walupun dengan enjin besar yang baharu, brek dan suspensi pada motosikal ini tetap sama seperti yang ada pada Iron 883, iaitu angkup dwi-omboh hadapan dan belakang yang sama, dengan satu cakera brek bagi mengendalikan daya hentinya. Ini bermakna anda hanya perlu menyesuaikan gaya tunggangan anda bagi membolehkan anda menangani selekoh pada kelajuan yang lebih tinggi.

Dan disebabkan tiadanya bantuan elektronik bagi mengawal roda dari tergelincir, anda perlu berlembut dalam penggunaan pendikit, terlalu banyak memulas dan anda akan menggelongsorkan roda belakang sewaktu keluar selekoh. Seronok di tangan penunggang yang berpengalaman, tetapi menakutkan bagi mereka yang tidak.

Kami telah meluangkan sepanjang hari mendaki jalan gunung, menggeser tempat letak kaki kedua-dua model Iron 1200 dan juga model Sportster 48 Special yang baharu (yang akan kami ceritakan pada masa yang akan datang). Tidak syak lagi yang motosikal Iron 1200 ini adalah antara model Sportster terbaik setakat ini, dan sayang sekali ia belum tiba bagi pasaran Malaysia, namun, sebaik sahaja ia tiba, ambillah peluang itu untuk memilikinya kerana hanya sebilangan kecil sahaja motosikal yang kebolehannya sama tanding dengan rupa parasnya, dan motosikal Iron 1200 ini, mempunyai kebolehan yang cukup tinggi.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply