- 2017 merupakan satu tahun yang sukar bagi kebanyakan industri, termasuklah industri motosikal.
- Jualan bagi motosikal 500cc ke atas bagi kebanyakan jenama agak perlahan.
- Diharap industri akan bangkit semula pada tahun 2018.
2017 merupakan satu tahun yang lembab bagi jualan motosikal, lebih-lebih lagi bagi motosikal 500cc ke atas.
Kebanyakan pengedar motosikal mengatakan ianya berpunca dari kesukaran untuk mendapatkan pinjaman bagi memperolehi motosikal baharu, walaupun ada permintaan yang bertali arus. Pelbagai spekulasi telah tersebar mengenai sebab mengapa institusi kewangan agak keberatan untuk menyediakan pembiayaan.
Kami telah mendapat data mengenai jumlah jualan motosikal dari Januari hingga Disember 2017 (sila rujuk pada jadual di hujung artikel).
Dari jadual tersebut dapat dilihat jumlah jualan para pengeluar motosikal, namun, kita perlu ingat segmen manakah yang merupakan segmen tumpuan untuk setiap pengeluar.
Sebagai contoh, walaupun Kawasaki dan Yamaha mencatat jumlah terbanyak, jenama seperti BMW, Triumph, Ducati, KTM, Harley-Davidson, dan Aprilia dianggap ramai sebagai jenama premium. Ini bermakna model keluaran mereka berada pada paras harga yang lebih tinggi, berbanding jenama dari Jepun.
Sebetulnya, hanya dua jenama sahaja yang telah menunjukkan peningkatan; BMW dan Triumph.
Jualan BMW tidak syak lagi telah dimangkinkan dengan model R 1200 GS dan R 1200 GS Adventure, serta model S 1000 RR. Motosikal G 310 R dan G 310 GS juga turut mendapat sambutan, namun jumlah jualan tersebut tidak ditunjukkan dalam laporan ini. Model R 1200 GS TFT baru sahaja tiba di negara kita dan ia tampak pasti akan mendapat sambutan yang hangat.
Prestasi Triumph Motorcycles Malaysia cukup hebat sekali sejak tahun 2015. Dengan 17 buah model yang ditawarkan, akan ada sebuah model bagi setiap jenis penunggang. Dengan kehadiran rangkaian Tiger 800 baharu, model Bobber Black dan Bonneville Speedmaster, tahun 2018 bakal menyaksikan peningkatan mereka yang lebih pesat.
Ke manakah hala tujunya dari sini?
Tahun 2017 telah pun lama meninggalkan kita. Kita mempunyai satu kerajaan yang baru, yang telah berjanji untuk memudahkan permohonan pinjaman. Separuh pertama tahun 2018 bermula agak perlahan, namun, dengan kadar sifar GST yang berkuatkuasa dari 1 Jun 2018 yang mungkin akan mencetuskan kepesatan baharu dalam segmen motosikal berkapasiti tinggi. Sebagai penggemar motosikal, ianya sudah pasti amat mengujakan untuk menyaksikan motosikal terkini di atas jalan raya.
Jenama | Jualan 500cc ke atas 2017 (unit) |
Kawasaki | 2,112 |
Yamaha | 1,183 |
BMW Motorrad | 978 |
Honda | 755 |
Triumph | 272 |
Suzuki | 265 |
Ducati | 238 |
KTM | 171 |
Harley-Davidson | 107 |
Aprilia | 97 |