- Andrea Iannone telah mengesahkan tempatnya bgi MotoGP musim 2019 setelah menandatangani perjanjian dua tahun dengan Aprilia.
- Penunggang berusia 28 tahun dari Itali berkenaan akan menadi teman sepasukan penunggang Aprilia semasa, Aleix Espargaro.
- Ini juga bermakna yang Scott Redding tidak akan berada dengan pasukan pengilang dari Itali berkenaan sesudah tamatnya musim 2018.
Penunggang bagi pasukan pengilang Suzuki Ecstar, Andrea Iannone, telah mengumumkan yang dia akan menunggang bagi pasukan pengilang Aprilia bagi musim 2019 dan 2020. Berita ini bukannya satu kejutan memandangkan terdapat pelbagai khabar angin yang telah tersebar buat sekian lama dan semakin marak selepas pengumuman tentang tamatnya kontrak bersama Suzuki pada hujung musim ini.
Penunggang berusia 28 tahun dari Itali tersebut akan menyertai Aleix Espargaro dalam pasukan Aprilia Racing Team Gresini di atas jentera MotoGP Aprilia RS-GP. Pengumumannya tentang meninggalkan pasukan Suzuki mungkin telah mengejutkan sesetengah pihak memandangkan dia telah pun merangkul tempat di atas podium dalam dua perlumbaan berturut-turut bagi pasukan pengilang dari Hamamatsu itu sejak kembalinya mereka dalam siri perlumbaan MotoGP ini.
Menurut Pengurus Aprilia Racing, Romana Albesiano,”Dengan Iannone, kami ada seorang lagi penunggang yang amat berkebolehan dan pantas yang telah menunjkkan kebolehannya pada musim ini. Ketibaannya adalah satu petanda komitmen Piaggio Group dan Aprilia terhadap program MotoGP, di mana jentera kami telah pun membuktikan yang ianya mampu bersaing dengan asas teknikal yang kukuh.”
Pengumuman ini juga bermakna yang penunggang dari Britain, Scott Redding akan meninggalkan pasukan pengilang Aprilia pada hujung musim 2018 ini. Setakat ini, dia masih belum dapat mengesahkan tempatnya di MotoGP musim 2019, namun, masih ada beberapa pilihan yang ada dengan beberapa buah pasukan satelit.
Dapatkah gabungan Iannone-Espargaro mengembalikan semula kegemilangan nama Aprilia? Apa yang pasti, musim 2019 nampak semakin jelas dari bentuk barisan penunggangnya, yang ianya satu barisan pasukan dan penunggang yang amat menarik sekali dengan perpindahan bersejarah di antara penunggang dan pasukan. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini MotoGP.
Sumber imej: MotoGP
MotoGP: Danilo Petrucci Sertai Pasukan Pengilang Ducati Bagi Musim 2019