Kenyataan UMW Toyota Berkenaan Isu Penggantian Beg Udara Takata


UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT), pengedar jenama Toyota dan Lexus di Malaysia telah mengumumkan sokongannya semalam terhadap kesungguhan kerajaan dalam menangani isu penggantian beg udara Takata.

Memahami akan keseriusan situasi ini, Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyekat pembaharuan cukai jalan kenderaan yang tidak menggantikan modul yang terjejas.

Penggantian modul ‘inflator’ sistem beg udara Takata perlu dilakukan kerana degradasi pemangkin yang berlaku di dalam modul yang mungkin menyebabkan beg udara berkecai sewaktu mengembang. Ini mungkin menyebabkan serpihan besi tajam berterbangan ke arah pemandu dan/atau penumpang hadapan, dan menyebabkan kecederaan serius atau pun kemalangan jiwa. Kecacatan ini telah menjejaskan jutaan kenderaan di seluruh dunia yang telah dikilangkan dalam jangka masa 15 tahun yang lalu oleh pelbagai pengeluar kenderaan berbeza.

“Sejak 2013, Toyota Motor Corporation telah bertindak aktif bagi menangani isu ini. Kenderaan-kenderaan yang terjejas telah pun dikenal pasti dan para pengedar di seluruh dunia telah pun dimaklumkan bagi memulakan Kempen Perkhidmatan Istimewa. Sewaktu kempen ini, modul ‘inflator’ beg udara ini akan digantikan secara percuma,” terang Encik Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor.

UMT telah melaporkan yang mereka telah selesai menggantikan modul inflator sebanyak 91% k pada kenderaan Lexus yang terjejas di bawah 3 tahun dan 53% kenderaan Toyota yang di bawah 6 tahun. Mereka menggesa para pemilik kenderaan Toyota dan Lexus yang lebih lama untuk tampil bagi membolehkan modul inflator beg udara yang terjejas boleh digantikan dengan segera. Rangkaian kenderaan Toyota yang terjejas adalah dari tahun 2001-2014, dan 2007-2016 untuk kenderaan Lexus.

UMWT juga turut memberi jaminan bahawa usaha telah dijalankan bagi menghubungi para pemilik untuk meminta mereka membawa kenderaan mereka ke pusat perkhidmatan rasmi untuk penggantian percuma modul dan surat pemberitahuan telah pun dihantar kepada para pemilik berdasarkan maklumat yang terdapat dalam pangkalan data mereka.

“Keselamatan adalah keutamaan kami dan kami telah melakukan segala usaha bagi menghubungi pemilik melalui pelbagai cara. Kami berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan atas perhatian beliau dan akan menyokong penuh inisiatif ini,” ujar Encik Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

UMWT menggalakkan mana-mana pihak yang terlibat dan pengguna yang mempunyai sebarang soalan mengenai isu ini supaya menghubungi mereka di mana sokongan penuh akan diberikan supaya tidak timbul isu berkaitan pembaharuan cukai jalan akibat kegagalan menggantikan beg udara.

Toyota juga telah mewujudkan satu penyemak VIN (Nombor Identifikasi Kenderaan) di laman sesawang rasmi Toyota Malaysia bagi membolehkan para pemilik Toyota untuk menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat dalam mana-mana kempen perkhidmatan istimewa mereka, termasuklah bagi penggantian modul inflator beg udara Takata. Pelanggan yang terjejas akan perlu memberikan maklumat bagi membolehkan wakil selepas jualan Toyota menghubungi mereka untuk urusan penggantian modul inflator yang terjejas.

Selain daripada menyemak di atas talian, para pemilik Toyota juga boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai mana-mana Kempen Perkhidmatan Istimewa dengan menghubungi talian bebas tol Toyota, di talian 1-800-8-TOYOTA (869682).

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]