MotoGP Mugello, Itali 2018: Jorge Lorenzo Menangi Perlumbaan Pertamanya Bersama Ducati!

  • Setelah berusaha dengan gigih selama 18 bulan, Jorge Lorenzo akhirnya berjaya memperoleh kemenangan MotoGP-nya yang pertama di atas jentera Ducati.
  • Kini berasa amat selesa dengan jentera Ducati Desmosedici GP18, Lorenzo telah menunjukkan aksi terbaiknya dan berjaya memenangi perlumbaan MotoGP Mugello, Itali 2018.
  • Andrea Dovizioso (Ducati Team) dan Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) melengkapkan kedudukan podium.

Ianya merupakan satu perlumbaan yang cukup menakjubkan semalam di Mugello, Itali. Ratus ribuan penonton telah berkumpul untuk menyaksikan Gran Premio D’Italia Oakley pada hari Ahad, bagi menyokong hero tempatan mereka, Valentino Rossi (Movistar Yamaha MotoGP) yang telah memulakan perlumbaan dari Petak Pertama.

Namun begitu, Jorge Lorenzo (Ducati Team) ada rancangannya tersendiri, di mana dia telah berjaya merampas kedudukan pendahulu sewaktu memasuki Selekoh 1 pada pusingan yang pertama dan berjaya mengekalkan kedudukannya bagi keseluruhan perlumbaan. 18 bulan telah berlalu sejak kali terakhir kita melihat kemenangan gaya klasik dari Lorenzo ini dan dengan tiada sesiapa pun yang dapat mencabarnya, dia telah berjaya merangkul kemenangan MotoGP-nya yang pertama di atas jentera Ducati Desmosedici GP18.

Beraksi cemerlang, Lorenzo berlumba dengan sempurna sekali bagi memperoleh kemenangan sementara para penunggang yang lain telah bersaing sesama mereka bagi tempat di belakangnya. Rossi telah didesak oleh beberapa orang penunggang yang lain seperti Marc Marquez (Repsol Honda), Andrea Dovizioso (Ducati Team), Danilo Petrucci (Alma Pramac Ducati), dan Andrea Ianone (Team Suzuki Ecstar).

Berbaki 19 pusingan, Marquez hilang kawalan jentera Honda RC213V-nya di Selekoh 2 namun telah menyertai semula perlumbaan ini dan telah melintasi garisan penamat di tempat ke-16. Menjelang penghujung perlumbaan ini, ia kelihatan seperti podium bakal dipenuhi dengan para penunggang Ducati dengan Dovizioso dan Petrucci telah berjaya meraih tempat ke-dua dan ke-tiga, namun, Rossi berjaya mengatasi mereka sewaktu kedua-dua Petrucci dan Iannone berhadapan dengan masalah cengkaman tayar.

Iannone dan rakan sepasukannya, Alex Rins, sekali lagi berjaya memperoleh tempat lima teratas bagi pasukan Suzuki, yang mana sekali lagi telah membuktikan bahawa jentera GSX-RR MotoGP mereka semakin berdaya saing. Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol), berjaya mendapat tempat ke-enam, di hadapan Petrucci di P7, diikuti oleh Maverick Viñales (Movistar Yamaha MotoGP), Alvaro Bautista (Angel Nieto Team), dan Johann Zarco (Monster Yamaha Tech 3), melengkapkan 10 penunggang teratas.

Bagi wira negara kita pula, Hafizh Syahrin, dia telah berjaya memenangi persaingan sebagai penunggang rookie terbaik, di mana penunggang berusia 23 tahun itu telah berjaya melintasi garisan penamat di P12, di hadapan para penunggang rookie yang lain dan juga di hadapan penunggang seperti Tito Rabat (Reale Avintia Racing), dan Bradley Smith (Red Bull KTM Factory Racing). Hafizh kini merupakan pendahulu bersama kutipan mata bagi penunggang rookie, terikat dengan Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) dengan masing-masing sebanyak 17 mata.

Pusingan yang berikutnya akan berlangsung dalam masa dua minggu dari sekarang di Barcelona, di Gran Premi Monster Energy de Catalunya dari 15 hingga 17 Jun 2018. Dapatkah Jorge Lorenzo meneruskan kemaraannya di hadapan penyokongnya? Firasat kami mengatakan dia telah mendapat semula rentaknya dan telah bersedia membawa cabaran untuk musim ini!

Sumber imej: MotoGP

MotoGP: Andrea Iannone Sah Bakal Berpisah Dengan Suzuki

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]