ETCM Lancarkan Nissan Serena S-Hybrid Baru! – RM135,500!


Ada antara kami tersenyum sinis sewaktu nama timangan “Highway Star” mula diumumkan oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) untuk model MPV Serena beberapa tahun yang lalu, dan sudah semestinya ianya adalah di antara kami wakil media permotoran yang lebih senior, dan sesiapa sahaja yang mengetahui muzik tahun 70-an pasti akan mengenali lagu ikonik oleh Deep Purple. Dan sekiranya anda ingin tahu bagaimana bunyinya lagu tersebut, saya telah sertakan pautan video lagu tersebut di bawah….

Highway Star terbaru telah tiba baru-baru ini dalam bentuk Nissan Serena baru, disediakan dalam varian S-Hybrid 2.0 Highway Star dan S-Hybrid 2.0 Premium Highway Star, berharga RM135,500 dan RM147,500. Kedua-duanya dijana oleh enjin 2.0 liter yang sama digandingkan XTRONIX-CVT (continously variable transmisi/transmis boleh ubah berterusan) yang menghasilkan 150hp dan 200Nm.

Kehadiran apa yang Nissan namakan sebagai ECO Motor dengan Penjana Semula Kuasa Elektrik, bateri tambahan dan bantuan tork yang membolehkan pemecutan yang lebih hebat dari kedudukan pegun, namun, Serena ini tidak akan dijana oleh kuasa elektrik semata-mata. Bayangkan sistem ini sebagai pek kuasa tambahan untuk MPV yang menggalakkan kuasanya dan membantu dalam kecekapan bahanapi dengan membantu enjin pembakaran dalaman; bagaikan sebuah bank kuasa untuk telefon pintar anda.

Sewaktu acara pelancaran medianya, Encik Christopher Tan (di atas) Pengarah Jualan dan Pemasaran ECTM, berkata; “Pada tahun 2013, ECTM merupakan pengedar yang pertama yang memperkenalkan MPV hibrid di Malaysia. Hari ini, Malaysia adalah negara pertama di luar Jepun yang memasang dalam negara Nissan Serena S-Hybrid terbaru. Ini bagi mendokong tahap kepopularan tempatan model Nissan Serena S-Hybrid; dan hingga kini, kami telah pun menerima sebanyak 1,300 buah tempahan.”

Turut hadir sewaktu pelancaran tersebut adalah Encik Vincent Wijnen (di atas), Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran, Asia dan Oceania, Nissan Motor Asia Pacific Co., Ltd. ” Dari pelbagai segi, Nissan Serena adalah wakil hebat jenama Nissan. Tidak menghairankanlah yang Serena secara konsistennya merupakan salah sebuah kereta penumpang paling popular. Malah, dalam tahun kalendar ini, ianya berada di tempat pertama dalam segmennya di Jepun, dengan lebih daripada 33,000 unit terjual setakat ini.” ujarnya.

Nissan Serena S-Hybrid serba baru ini menerapkan reka bentuk global generasi baru Nissan yang menampilkan penggayaan yang lebih dinamik dan sporty. Ciri utama padanya adalah ‘V-Motion Strut Grille‘, ‘Dual Layer LED Projector Headlamp‘, serta rekaan ‘Floating Roof‘ yang menonjolkan ruang kabin yang luas, dan lampu belakang LED yang digayakan dengan reka bentuk berbentuk ‘S’ yang mudah dikenali.

Ciri-ciri “Nissan Intelligent Mobility” (NIM) telah disertakan bagi memberikan pemanduan yang lebih mengujakan, berkeyakinan dan bertindak balas. Tarikan utamanya termasuk:

  • Sistem S-Hybrid dengan ECO Motor yang dipertingkatkan yang mengawal sistem ‘Idling Stop’, dan memberikan bantuan tork tambahan sewaktu pemecutan mulaan. Ia juga bertindak sebagai pengulang-alik (alternator) bagi membolehkan penjanaan semula tenaga sewaktu pembrekan dan penyahpecutan.
  • Pertama dalam kelasnya menggunakan Intelligent Around View Monitor (I-AVM), menggunakan empat buah kamera yang memberikan penglihatan 360 darjah kenderaan untuk pemanduan arah yang lebih mudah;
  • Intelligent Moving Object Detection (I-MOD), mengesan dan memberi amaran kepada pemandu tentang objek bergerak di sekeliling kenderaan;
  • Intelligent Driver Alertness (I-DA), membantu memberi amaran mengenai potensi kelesuan pemandu (pemanduan dalam keadaan mengantuk) dan tidak memberi perhatian;
  • Pautan telefon pintar dengan Apple CarPlay™ dan Android Auto™, supaya pemandu dapat kekal fokus di atas jalan raya dan masih lagi dapat menerima pemanduan arah selekoh-ke-selekoh, membuat dan menerima panggilan, mendengar dan menjawab pesanan, dan memainkan muzik menggunakan arahan suara.

Nissan Serena S-Hybrid dijana oleh enjin 2.0L (MR20DD) Twin CVCT (Continuously Variable-valve Timing Control), digandingkan dengan XTRONIC CVT (Continuously Variable Transmission) dengan Adaptive Shift Control (ASC); keluaran kuasa maksimum kini pada 150PS pada 6,000rpm dan 200Nm tork pada 4,400rpm. Penggunaan Dual Arm Tensioner (DAT) yang baru bagi mengekalkan daya ketegangan optimal pada tali sawat bagi mengurangkan geseran, kehilangan kuasa dan meningkatkan kecekapan bahanapi.

Penambahbaikan pada enjin telah menghasilkan peningkatan sebanyak 2.8% dalam nisbah kuasa-ke-berat dan merupakan yang terbaik dalam segmen dalam kecekapan bahanapi sebanyak 14.2km/L (NEDC R101), yang mana merupakan peningkatan kecekapan bahanapi sebanyak 13% berbanding pendahulunya, membolehkan Serena S-Hybrid terbaru ini memperolehi status Kenderaan Cekap Bahanapi (Energy Efficient Vehicle – EEV).

Selain daripada penambahbaikan pada ‘powertrain’nya, Nissan Serena S-Hybrid terbaru ini juga telah mempertingkatkan kemudahan pemanduan dan pengendaliannya. Nissan Serena S-Hybrid serba baru ini menggunakan pelapik penyerap bunyi dalam perumah rodanya bagi mempertingkatkan kesenyapan ruang kabin. Meningkatkan lagi nisbah gear rak stereng untuk pembelokan yang lebih pantas melalui pengurangan pusingan kunci-ke-kunci roda stereng. Stereng kuasa bantuan elektrik boleh ubah membolehkan sterengnya terasa lebih ringan pada kelajuan rendah (atau sewaktu diparkir) dan terasa lebih teguh sewaktu kelajuan yang lebih tinggi untuk kestabilan yang dipertingkatkan. Pemaut suspensi hadapan dan belakang yang lebih keras, beserta dengan adanya injap berprestasi tinggi dalam penyerap hentakan memastikan pemanduan yang lebih stabil dan selesa.

Nissan Serena S-Hybrid terbaru ini juga turut menawarkan teknologi terbaru yang pertama dalam segmennya dalam membekalkan kemudahan bermakna. Bermula dengan ‘Hands-Free Dual Power Sliding Door‘ yang berfungsi dengan satu tendangan mudah di bawah pintunya bagi membuka atau menutup pintunya sewaktu tangan anda penuh dengan barangan, ‘Dual Back Door‘ yang boleh dibuka dengan mudah walaupun dalam ruangan parkir yang sempit, ‘Capless Fuel Filler‘ yang membolehkan isian semula yang mudah, dan 7 buah port kuasa USB untuk keperluan setiap peranti elektronik penumpang.

Bahagian dalaman Nissan Serena S-Hybrid yang moden dan mewah sudah pasti akan menjadi kegemaran pemandu serta penumpang. Panel Instrumen Berpad Lembut yang menonjolkan reka bentuk ‘gliding wing’ Nissan menzahirkan keterbukaan panoramik, manakala paparan berwarna 7 inci ‘Advance Drive Assist Display’ (ADAD) membekalkan maklumat kenderaan dan pemanduan. Roda Stereng kulit ‘flat bottom’ dengan Kawalan Bersiar, gugusan tengah asimetrikal merumahkan Paparan Audio Skrin Sesentuh 6.75 inci Clarion yang premium, Penghidup Tekan Hidup dengan Kunci Pintar bagi operasi tanpa kunci dan ‘Dual-Zone Auto Climate Control System‘ dengan panel kawalan digital belakang beserta lohong penghawa dingin untuk ke semua tiga barisan, melengkapkan ruang dalaman yang canggih teknologinya itu.

Ruang dalaman Nissan Serena S-Hybrid serba baru juga adalah yang terbesar dan paling fleksibel dalam segmennya. MPV 7 tempat duduk itu dilengkapi dengan kepanjangan ruang dalaman yang dipanjangkan sebanyak 180mm, beserta tambahan 20mm dan 65mm untuk ketinggian dan kelebarannya, menawarkan lebih banyak ruang antara barisan tempat duduk dan dengan itu mempertingkatkan keselesaan perjalanan buat ke semua penumpang. ‘Zero Gravity Inspired Seats‘ yang pertama dalam segmennya memberikan sokongan tulang belakang bagi mengurangkan kelesuan penumpang sewaktu perjalanan panjang kini tersedia bagi tempat duduk barisan pertama dan kedua.

Nissan Serena S-Hybrid terbaru dilengkapi dengan ‘Captain Seats‘ dengan ‘dual armrest‘ di barisan kedua, dan meja peribadi yang menawarkan kemewahan tempat duduk individu. Dengan atur cara tempat duduk yang baru, para penumpang memperolehi ruang ‘walkthrough’ yang selesa dari barisan pertama hingga ketiga. MPV 7 tempat duduk ini mengikut pendahulunya dengan pelbagai kombinasi tempat duduk dan kargo, menawarkan 13 tatarajah tempat duduk yang berbeza bagi memenuhi pelbagai keperluan.

Kebiasaannya, penumpang di barisan ketiga paling sukar untuk keluar dari kenderaan. Nissan Serena S-Hybrid menyelesaikan masalah ini dengan mereka bentuk semula ‘C-pillarke arah belakang sebanyak 50mm, bagi menjadikan bukaan pintu gelongsor lebih luas dan dengan penambahan ‘Power Sliding Door Switch‘ (pintu gelongsor sebelah kiri sahaja) di barisan ketiga, dan juga ‘step-release’ yang baru yang membolehkan barisan kedua untuk ditolak ke hadapan dengan mudah, penumpang boleh keluar dari barisan ketiga secara selesa dan mudah.

6 buah beg udara SRS didatangkan sebagai standard untuk Nissan Serena S-Hybrid, dan ciri-ciri keselamatan yang lain, termasuk Kawalan Dinamik Kenderaan (Vehicle Dynamic Control – VDC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), ABS, Bantuan Brek (BA), ‘Electronic Brake Force Distribution (EBD), Hill Start Assist (HSA), serta sistem ‘ISOFIX Child Seat Restraint’ untuk tempat duduk baris kedua.

“Sebagai salah sebuah MPV paling menarik rupa parasnya di Malaysia, Nissan Serena S-Hybrid terbaru ini telah dilengkapi dengan pelbagai teknologi pintar baru dan juga ciri pintar yang akan membawakan kegembiraan yang tidak terhingga buat banyak keluarga. Nissan Serena S-Hybrid terbaru ini sememangnya amat menakjubkan,” tambah Encik Christopher Tan.

Nissan Serena S-Hybrid terbaru ini datang dalam kemasan warna baru yang segar, Cashmere Gold beserta dengan tiga piliha warna yang sedia ada, Diamond Black, Brilliant White, dan tungsten Silver. Varian Premium Highway Star menawarkan rekaan warna luaran dua tona dengan Brilliant White (badan) dan Diamond Black (bumbung), Tungsten Silver (badan) dan Diamond Black (bumbung), dan Cashmere Gold (badan) dan Imperial Umber (bumbung).

Tambahan pula, varian Premium Highway Star menawarkan lebih banyak pilihan dengan kombinasi kerusi kulit dengan pilihan warna dua tona Truffle Brown dan Chestnut atau pun warna Hitam, panel LCD pautan bumbung 10.1 inci, ‘Tech-on Tray Mat‘ (sebagai meja peribadi), Perakam video pemanduan (DVR), lampu dalaman LED, ‘V-KOOL 4Mil Security Film Tinting‘, Roda aloi ‘Diamond Cut’ 16 inci, dan ‘Door Visor‘.

Nissan Serena S-Hybrid terbaru telah ditetapkan harganya pada RM147,500 untuk varian Premium Highway Star dan RM135,500 bagi varian Highway Star (harga di atas jalan termasuk GST, tidak termasuk insurans untuk Semenanjung Malaysia), beserta Waranti Tanpa Had Perbatuan 5-tahun.

Promosi Perkhidmatan Penyelenggaraan 3 tahun / 60,000km (yang mana dahulu) ditawarkan sebagai sebahagian daripada kempen pelancaran ini. Selain itu, 500 kenderaan yang pertama didaftarkan juga akan menerima ‘Terzo Portable Cooler Box’ dari PIAA secara percuma (bernilai RM500).

NISSAN SERENA 2.0L S-HYBRID PREMIUM HIGHWAY STAR (RM) HIGHWAY STAR (RM)
Peninsular Malaysia 147,500 135,500
Sabah & Sarawak 150,200 138,200

Untuk maklumat lanjut, layarilah laman sesawang rasmi Nissan Malaysia, atau hubungi Talian Pusat Perkhidmatan Pelanggan Nissan di talian 1800 88 3838.

Dan seperti yang telah dijanjikan, saksikanlah video di bawah.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]