- Pusingan 1 bagi KTM Orange Enduro 2018 adalah pusingan permulaan yang hebat bagi siri perlumbaan berkenaan.
- Ia telah diadakan pada 21 April 2018 di Amanjaya Mall di Sungai Petani, Kedah.
- Pertandingan ini menampilkan bakat-bakat yang berkebolehan besar di kalangan penunggang-penunggang Malaysia
Pusingan pertama bagi siri perlumbaan KTM Malaysia Orange Enduro 2018 telah menyaksikan penyertaan yang memberangsangkan serta
mempersembahkan kemahiran tahap tinggi dari kalangan para peserta.
Menyahut cabaran pertandingan bagi membuktikan kemahiran masing-masing, diserikan lagi dengan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 yang ditawarkan oleh KTM Malaysia, 60 orang penunggang telah hadir menyertai perlumbaan enduro ini. Kebanyaka daripada mereka berasal dari negeri-negeri utara tanah air namun ada juga yang datang dari negeri-negeri lain. Jumlah yang hadir mungkin bertambah banyak jika tidak kerana acara-acara lain yang berlangsung pada minggu yang sebelum dan juga yang akan datang, selain daripada ianya diadakan pada pertengahan bulan, namun, kehadiran tetap cukup memberangsangkan. Tambahan pula, acara ini terbuka kepada peserta menggunakan motosikal pelbagai jenama, namun, hanya motosikal KTM sahaja yang dibenarkan menyertai kategori KTM Enduro.
Trek ‘Off-Road’ Sungai Petani
- Susun atur dan pembinaan trek ini telah direka dan diselia oleh Penunggang Pengilang KTM Malaysia, Gabit Salleh.
- Sepanjang 1.5km, ia terdiri daripada 2 seksyen.
- Seksyen pertama adalah sekyen ala MX yang digabungkan dengan ciri-ciri enduro seperti lompatan ‘table top’ yang panjang di garisan penamat, batu-batu besar dan batang kayu sebagai halangan, ‘whoops’ tinggi, lompatan yang lebih kecil, selekoh dengan ‘sink holes’ dan lumpur yang dalam.
- Seksyen keduanya pula terdiri daripada trek ‘single’ atau ‘double’ merentasi hutan, diapiti pokok bagi perlumbaan gaya ‘merentas desa’.
Format Perlumbaan
- Format perlumbaan mengikut peraturan FIM.
- Setiap kategori telah ditetapkan dengan had masa tertentu, dan satu atau dua pusingan tambahan pada penghujungnya.
- Penunggang berbaris bertentangan motosikal mereka dan berlari menujunya pada permulaan perlumbaan.
- Pemenang ditentukan dengan jumlah pusingan yang telah disempurnakan dan yang pertama melintasi garisan penamat.
- KTM Malaysia telah mendapatkan khidmat syarikat pemasaan sukan bagi memasang ‘transponder’ pada setiap motosikal untuk mendapatkan catatan masa pusingan yang tepat.
Kategori
Para peserta telah dibahagikan kepada lima buah kategori:
- ED1 – Open Enduro.
- ED2 – Veteran.
- ED3 – KTM Enduro.
- ED4 – CKD Open.
- ED5 – Cubcross Open.
Keputusan ED4 CKD Open
Acara bermula dengan kategori CKD Open. Perlumbaan ini telah ditetapkan masa 30 minit +1 pusingan. Tiga belas penunggang memulakan perlumbaan ini, dengan 10 orang penamat.
Hafizudin (#46) bersaing dengan Muhammad Qusyairi (#42) di sepanjang perlumbaan sebelum Qusyairi melakukan kesilapan di penghujung perlumbaan yang menyaksikan Hafizudin merangkul kemenangan. Muhammad Qusyairi telah mencatatkan masa terpantas dengan 3m:15.516 saat berbanding 3m:25.367 saat yang telah dicatatkan oleh Hafizudin. Abdul Hanif (#34) mendapat tempat ketiga dengan jarak masa hampir seminit di belakang.
Keputusan ED5 Cubcross Open
Seperti mana nama kategori ini, Cubcross Open ini terbuka bagi motosikal kapchai yang telah diubahsuai sebagai tunggangan di atas tanah merah. Penganjur telah menetapkan masa selama 30 minit +2 pusingan untuk kelas ini. Daripada 13 orang penunggang yang menyertai perlumbaan ini, hanya 10 penunggang yang berjaya menamatkannya.
Satu persaingan yang sengit di antara empat orang peserta bermula seawal jatuhnya bendera permulaan. Bagaimana pun, mereka mengikut rentak masing-masing dan menjadi kelompok pendahulu jauh dari penunggang yang lain.
Abdul Hanif (#34), yang mendapat tempat ke-tiga dalam CKD Open, telah berjaya menduduki tangga teratas, diikuti oleh Mohd. Zulhairi (#10), dan Muhammad Adam (#3) yang berada di tempat ke-dua dan ke-tiga.
Keputusan ED3 KTM Enduro
Kategori ini eksklusif untuk motosikal dirtbike KTM dan ianya juga merupakan kelas yang paling sukar di mana para peserta perlu menunggang selama satu jam +1 pusingan di bawah mentari terik. 11 orang penunggang yang menyertai perlumbaan dengan hanya 9 orang sahaja yang berjaya menamatkannya.
Persaingan sengit bermula pada awal di ketika pertengahan perlumbaan, namun, Ahmad Danial Haikal (#9), menunjukkan kebolehannya dengan menamatkan perlumbaan jauh di hadapan pesaingnya. Lai Wai Seng (#148) menunggang pada rentak yang stabil bagi menggondoli tempat ke-dua, manakala Mohamad Kharul Afif (#11), menduduki tempat ke-tiga.
Gabit Saleh menarik diri sewaktu pertengahan perlumbaan kerana masalah teknikal yang diakibatkan oleh satu kemalangan.
Keputusan ED2 Veteran
Kategori Veteran terbuka bagi penunggang berusia 35 tahun ke atas. Peserta perlu menyempurnakan perlumbaan dalam masa 35 minit +1 pusingan.
Kategori ini menyaksikan persaingan yang sengit diantara empat orang penunggang teratas sehingga ke penghujung perlumbaan, di mana Poh Ken (#117), berjaya menjarakkan diri pada saat-saat akhir dengan penunggangan yang terkawal untuk menamatkan perlumbaan dengan jarak 40 saat di hadapan tempat ke-dua, Mohd. Sanusi (#119), dan 45 saat di hadapan Nazri Sanusi (#67).
Keputusan ED1 Open Enduro
Ini adalah acara utama siri perlumbaan ini, menampilkan penunggang handalan yang memacu jentera terbaik. Masa selama 45 minit +2 pusingan telah ditetapkan.
Ahmad Daniel Haikal (#99), bersaing dengan Gabit (#27) di awal perlumbaan, namun, kemudiannya telah ditinggalkan, di mana Gabit berjaya memenangi perlumbaan ini. Mohammad Khairul Afif (#11) berada di tempat ke-tiga, satu pusingan di belakang.
Turut hadir sewaktu acara ini adalah ahli-ahli kelab Northern Dukers KTM, yang juga turut menyaksikan perlumbaan dan menyokong para penunggang KTM.
KTM Malaysia telah merancang untuk mengadakan Pusingan 2 kejohanan Orange Enduro 2018 di Trek ‘Off-Road’ Sungai Buaya, jadi, nantikan perkembangannya. Kejohanan ini telah dianjurkan dengan kerjasama Elf Lubricants Malaysia, EDT Printing, Gracshaw Helmets, dan Bikes Republic.