Skuter Sym Cruisym 250i Dan SYM Jet 14 2018 Diperkenalkan – Dari RM6,688

  • Sym Malaysia juga telah memperkenalkan skuter Sym Cruisym 250i 2018 dan Sym Jet 14 2018.
  • Dua skuter terbaru itu dilengkapi dengan reka bentuk yang ‘sporty’ dan agresif yang terkini yang digandingkan dengan enjin 125cc dan 250cc yang mematuhi piawaian Euro4.
  • Skuter Cruisym 250i yang baru telah ditetapkan harganya pada RM18,888 dan bagi skuter Jet 14 pula pada harga RM6,688 (harga asas tidak termasuk GST).


Bersama dengan pelancaran rasmi motosikal Sym VF3i, Sym Malaysia juga telah memperkenalkan dua buah skuter terbaru dalam rangkaian semasa mereka dalam bentuk skuter Sym Cruisym 250i 2018 dan Sym Jet 14. Skuter generasi terbaru ini didatangkan dengan reka bentuk terkini beserta dengan enjin yang dikemaskini dan mematuhi piawaian Euro4.

Sym Cruisym 250i 2018 – RM18,888 (harga asas tidak termasuk GST)

Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk skuter maxi, Sym Malaysia telah melancarkan tawaran terkini mereka dalam kategori ini dalam bentuk skuter Sym Cruisym 250i 2018 terbaru mereka. Model revolusinari ini bertemakan keagresifan dan ‘sportiness’. Ianya ditampilkan dengan reka bentuknya yang moden dan ranggi beserta dengan enjin sejukan cecair, satu silinder, 250cc, yang patuh Euro4.

Sym Malaysia telah mengumumkan bahawa skuter 250cc terbaru mereka itu mampu menghasilkan 21.2hp pada 7,500rpm dan 23.5Nm tork paa 5,500rpm. Mereka juga menyatakan bahawa skuter tersebut juga mampu mencecah kelajuan maksimum 150km/j.


Ciri-ciri yang lain termasuklah tangki bahanapi 12 liter, cakera brek keseluruhan dengan ABS (260mm pada bahagian hadapan, 240mm di belakang), ruangan simpanan bawah pelana yang besar, yang mampu memuatkan dua helmet ‘fullface’, pengecas 12V, palam USB, dan bermacam-macam lagi.

Sym Malaysia telah menetapkan harga bagi skuter Sym Cruisym 250i 2018 terbaru mereka ini pada RM18,888 (harga asas tidak termasuk GST). Anda juga boleh model Special Edition pada harga RM19,188.

Sym Jet 14 2018 – RM6,688 (harga asas tidak termasuk GST)

Bagi mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan skuter, skuter Sym Jet 14 2018 yang baru ini sesuai untuk anda. Memiliki DNA yang sama dengan skuter Cruisym 250i 2018 dari segi reka bentuk, ia juga tampak sama segak seperti saudaranya yang lebih besar itu.

Skuter masa kini ini dilengkapi dengan reka bentuk terkini yang telah dihiasi lagi dengan spesifikasi seperti lampu hadapan berkembar, papan pemapar tiga tiga permukaan, lampu belakang LED 3D, dan bermacam-macam lagi.

dilengkapi dengan enjin sejukan udara, satu silinder, 125cc yang mematuhi piawaian Euro4, skuter Jet 14 yang baru ini mampu menghasilkan sehingga 10hp pada 8,500rpm dan 9.2Nm tork pada 7,000rpm. Ini membolehkannya mencapai kelajuan tertinggi sehingga 110km/j.

Ciri-ciri yang lain termasuklah tangki bahanapi 7.5 liter, roda 14 inci (yang mengilhamkan namanya, Jet 14), transmisi automatik CVT, ruangan simpanan bawah pelana yang mampu memuatkan sebuah helmet fullface’, dan bermacam-macam lagi.

Ingin memiliki skuter yang menarik ini? Sym Malaysia telah menetapkan harganya pada RM6,688 (harga asas tidak termasuk GST) dan ianya akan disediakan dalam tiga pilihan warna; Merah, Biru, dan Putih.

 

Leave a Reply