Nitrogen vs. Udara: Mana Lebih Sesuai Untuk Tayar Kereta Anda?

Sumber imej: autoguide.com
  • Tayar isian udara vs. tayar isian nitrogen; apakah kelebihan dan kekurangannya?
  • Udara adalah isian yang murah dan mudah didapati,
  • Nitrogen adalah isian pilihan pemandu profesional.

Sumber imej: practicalmotoring.com.au

Dalam masa sepuluh tahun yang lalu, telah muncul satu trend baru, di mana tayar kenderaan diisi dengan nitrogen. Bengkel-bengkel di seluruh negara sudah mula menghebahkan perkhidmatan isian nitrogen untuk tayar, sebagai alternatif kepada isian udara termampat yang biasa. Turut tidak melepaskan peluang ini adalah pengedar kereta yang memberikan perkhidmatan mengisi angin tayar dengan nitrogen. Namun begitu, apakah perbezaan di antara penggunaan nitrogen dan udara yang sudah biasa kita gunakan? Adakah penggunaan nitrogen ini dapat memperbaiki prestasi dan juga tahap ketahanan tayar kenderaan kita?

 

Pertama sekali, mari kita kenal dengan lebih rapat kedua-dua bahan ini. Nitrogen adalah gas lengai (tidak mudah terbakar) yang tidak mempunyai bau, rasa, warna, dant idak bertindak balas dengan sebarang bahan atau bendasing. Udara pula terdiri daripada 78 peratus gas nitrogen, lebih kurang 21 peratus gas oksigen, dan selebihnya adalah gabungan wap air, gas karbon monoksida, serta gas-gas nadir seperti argon dan neon.

Jadi, apakah perbezaannya di antara nitrogen berbanding udara yang biasa sekiranya sebahagian besar udara itu sendiri terdiri daripada gas nitrogen? Secara ringkasnya, oksigen. Kedua-dua gas nitrogen dan oksigen ini mempunyai pelbagai sifat yang berbeza yang memberi kesan yang berbeza pada tayar kereta.

Oksigen yang wujud dalam udara adalah perbezaan yang utama di antara kedua-dua bahan ini, di mana gas oksigen itu sendiri merupakan punca utama kelemahan utama udara berbanding nitrogen sebagai isian tayar.

Perbezaan yang paling ketara adalah saiz molekulnya, di mana saiz molekul oksigen adalah satu per empat lebih kecil daripada nitrogen. Dan oleh kerana saiznya yang kecil itu, oksigen lebih mudah untuk meresap keluar dari tayar berbanding nitrogen, penyebab utama kekurangan tekanan udara tayar. Tayar yang kekurangan tekanan udara boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti tayar lebih cepat haus, membazirkan bahanapi, dan lebih malang lagi, kecelakaan. Saiz molekul nitrogen yang lebih besar menghindarkan ia daripada meresap keluar secepat oksigen, dan dengan itu, mengekalkan tahap tekanan udara tayar pada jangka masa yang lebih panjang, memastikan tayar tahan lebih lama serta memperlahankan kemerosotan kecekapan bahanapi.

via GIPHY

 

Selain daripada kebolehannya untuk mengekalkan tahap tekanan udara tayar pada jangka masa yang lebih lama, nitrogen juga digunakan bagi mengurangkan kesan perubahan suhu tayar terhadap tekanan udara tayar. Berbanding oksigen, nitrogen tidak begitu terkesan dengan perubahan suhu. Ini berbalik semula kepada sifat nitrogen sebagai gas lengai. Atas sebab ini jugalah nitrogen digunakan oleh para pelumba dan pasukan profesional, seperti dalam siri perlumbaan F1. Tidak dinafikan, ianya satu perbezaan yang kecil sahaja (memandangkan udara juga turut mengandungi 78 peratus gas nitrogen), namun, ianya menjadi berlipat ganda apabila digandingkan dengan sifat udara yang mengandungi wap air.

 

Wap air (serta oksigen yang boleh menghasilkan lembapan) lebih cenderung kepada perubahan tekanan udara akibat perubahan suhu. Lembapan dan air (sama ada dalam bentuk wap atau cecair), juga mempunyai kesan menghakis ke atas tayar dan juga komponen keluli dan besi roda. Ianya lebih ketara apabila tayar diisi menggunakan pemampat udara kerana udara yang melalui mesin pemampat ini sering kali diiringi dengan kotoran minyak dan puing, beserta wap air, bergabung untuk mengarat, menghakis, dan secara amnya, menjejaskan keutuhan tayar dan komponen rodanya. Tayar yang diisi dengan nitrogen tulen tidak akan berdepan dengan masalah ini, kerana wap air tidak terkandung dalam nitrogen.

 

Namun begitu penggunaan nitrogen ini bukannya tanpa sebarang cela. Untuk mendapatkan manfaat sepenuhnya, tayar yang ingin diisi dengan nitrogen perlu dikempiskan sepenuhnya terlebih dahulu bagi membuang segala udara yang ada di dalamnya. Kemudiannya nitrogen dipam dan dilepaskan keluar berulang kali (tidak melebihi tiga kali, bagi mengelakkannya bercampur dengan udara) bagi mendapatkan kandungan nitrogen sebanyak 95 peratus (saranan paras isian tayar ialah 93 peratus). Satu tugas yang memakan masa dan semestinya, perlu dilakukan oleh mereka yang pakar. Ini kerana, jika pengisian ini tidak dilakukan dengan betul, udara boleh masuk ke dalam tayar dan menjejaskan ketulenan nitrogen, dan dengan itu, mengurangkan keberkesanannya.

Dan ini membawa kita kepada perkara yang berikutnya; kos. Untuk mengisi empat biji tayar dengan nitrogen, secara puratanya di dalam negara kita ianya menelan belanja sekitar RM12 hingga RM15. Bukan satu jumlah yang amat besar, namun jika dibandingkan dengan udara yang boleh didapati di stesen-stesen minyak secara percuma, ianya satu lagi perbelanjaan tambahan.

Namun begitu, segala perkara yang telah disebutkan di atas, boleh diseimbangkan dengan potensi manfaat jangka panjangnya. Perlu diingatkan, ianya bukannya penyelesaian hakiki, yang memberikan anda sebab untuk mengabaikan penyelenggaraan tayar sama sekali, tidak. Jadi, penyelenggaraan tayar secara berkala masih perlu dilakukan. Dan yang lebih penting lagi, pastikan tayar anda berada pada tahap tekanan udara tayar yang disarankan. Jika tekanan udara tayar kurang atau melebihi tahap yang disarankan, ianya akan menjejaskan prestasi dan jangka hayat tayar. Dengan penggunaan nitrogen ini, senggang masa antara pengisian semula atau pertukaran tayar berkemungkinan boleh dijarakkan.

Sumber imej: formula1.com

Jadi, antara dua pilihan ini, yang mana satu lebih sesuai untuk kereta anda? Di sebelah pihak, ialah udara, yang telah sekian lama terbukti keberkesanannya, murah, dan mudah didapati. Tetapi, dengan kandungan wap air, lembapan, dan oksigennya boleh mendatangkan masalah. Di pihak yang satu lagi, adalah nitrogen, gas lengai yang sempurna dari kecacatan yang ada pada oksigen, namun, menelan sedikit belanja tambahan dan perlu diisi dengan sempurna oleh pakar bagi mendapatkan manfaat sepenuhnya. Kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Terpulang kepada kita untuk menilai yang mana satu menjadi pilihannya. Tepuk dada, tanya selera

via GIPHY

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]