Tayar Perlumbaan Pirelli Diablo Supercorsa SC1 Untuk Motosikal Berkapasiti Kecil

  • Tayar perlumbaan Pirelli Diablo Supercorsa SC1 kini boleh didapati untuk motosikal berkapasiti kecil.
  • Saiznya adalah 110/70-ZR17 untuk bahagian hadapan dan 140/70-ZR17 untuk bahagian belakang.
  • Ianya akan boleh didapati menjelang Pusingan 1 kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship 2019.

Jenama tayar perlumbaan berprestasi tinggi kegemaran ramai, Pirelli telah melancarkan tayar model Pirelli Diablo Supercorsa SC1 V3 untuk motosikal berkapasiti kecil.

Kelas perlumbaan motosikal berkapasiti kecil cukup popular di seluruh dunia. Di rantau Asia Tenggara ianya dikenali sebagai cub prix, atau pun dengan nama kelas ‘underbone’, yang mana ianya dituruti dengan kelas 250cc, 300cc, dan kini, 400cc. Namun, salah satu cabaran terbesarnya adalah memperolehi tayar dengan saiz yang sesuai.

Pirelli sedar akan masalah ini dan telah memperkenalkan tayar perlumbaan Supercorsa dalam saiz 110/70-ZR17 untuk bahagian hadapan, dan 140/70-ZR17 bagi bahagian belakang. Tayar baharu ini diperbuat daripada kompaun SC1 yang amat likat. Tayar ini dihasilkan untuk motosikal 300cc dan 400cc, namun, ianya juga berguna untuk motosikal berkapasiti 250cc. Pirelli juga merupakan penaja utama dan pembekal tayar bagi kejohanan World Superbike Championship yang turut mempertandingkan kelas SuperSport 300.

Mengapa kita memerlukan tayar yang berbeza? Mengapa tidak guna sahaja rim yang lebih besar untuk memuatkan saiz tayar yang lebih besar?

Motosikal yang lebih kecil mungkin sekali tidak mempunyai berat dan kelajuan yang mencukupi bagi mencipta daya seperti sebuah motosikal berkapasiti besar. Dan oleh kerana itu, tayarnya mungkin tidak mencapai haba yang diperlukan dan mungkin tidak mampu mengekalkan haba bagi memberikan prestasi yang optimum. Tayar yang direka untuk motosikal yang lebih ringan mungkin mempunyai kompaun yang sama seperti saudaranya yang lebih besar tetapi ia mempunyai binaan yang agak berbeza.

Tayar baharu ini telah mula dijual di Eropah dan Amerika Syarikat dan kami telah menghubungi Pengedar Rasmi Pirelli Malaysia, Southeast Asia Parts, untuk mendapatkan pengesahan tentangnya. Menurut mereka, tayar baharu ini akan boleh didapati menjelang pusingan pertama kejohanan Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2019.

Siap sedialah untuk menyaksikan catatan masa yang lebih pantas dalam kategori Super 250!

NOTA: Model ini merupakan model tayar perlumbaan dan hanya sesuai di atas litar perlumbaan. Jangan salah anggap dan pasangnya pada motosikal kegunaan jalan raya!

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply