Modenas Dominar 400 2018 Bakal Dilancarkan; Diramal Berharga Sekitar RM18,000

  • Modenas akan melancarkan motosikal Modenas Dominar 400 pada 18 April 2018.
  • Pelancaran ini berikutan sambutan hangat model Pulsar RS200, NS200, dan V15.
  • Kehadiran motosikal Modenas Dominar 400 ini bakal menggegarkan lagi segmen di bawah 400cc.

Pengeluar motosikal negara, Modenas (Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd.), bakal melancarkan sebuah lagi motosikal yang hadir atas kerjasama mereka berama dengan Bajaj Auto Limited. Bergelar Dominar 400, ia menandakan kemunculan semula Modenas dalam kancah motosikal berkapasiti besar selepas motosikal Jaguh pada tahun 1999.

Dianggap sebagia sebuah motosikal sport-tourer oleh Modenas, motosikal Dominar 400 ini dijana oleh enjin satu silinder, 373cc, tiga palam pencucuh, sejukan cecair yang menghasilkan sehingga 32hp dan 35Nm tork. Ini memberikan motosikal ini daya gerak yang besar serta kebolehan untuk mengekalkan kelajuan bersiar yang tinggi. Transmisi enam kelajuan motosikal ini disertakan dengan klac ‘slipper’ untuk kemasukan selekoh yang lebih lancar.

Tekan sini untuk mendapatkan tanggapan pertama kami sewaktu kami menunggang ujinya di Pune, India.

Posisi duduknya lebih menegak untuk keselesaan sepanjang hari. Suspensinya pula telah ditetapkan dengan lebih lembut bagi menyerap segala bonggolan dan cela jalan, juga menyumbang kepada keselesaan keseluruhannya. ABS didatangkan sebagai kelengkapan standard bagi bahagian hadapan dan juga belakang.

Ciri-ciri terkininya yang lain termasuklah dua skrin LCD, yang lebih kecil di antara kedua-dua skrin tersebut telah diterapkan pada tangki bahanapi motosikal berkenaan.

Saksikanlah video tanggapan pertama kami di bawah ini.

Namun, apa yang lebih menarik mengenai motosikal Dominar 400 ini adalah harga yang akan ditetapkan dalam negara, apabila ia tiba nanti. Menurut sumber kami yang boleh dipercayai, ianya akan ditetapkan di bawah paras RM18,000.

Harganya itu sudah pasti akan menggemparkan lagi pasaran di bawah 400cc. Tidak ada motosikal 400cc yang berharga sedemikian pada waktu ini. Berdasarkan sambutan yang menggalakkan bagi model Pulsar RS200, NS200, dan V15, kami jangkakan yang model Dominar 400 ini juga bakal mendominasi segmen tersebut. Siapa tahu, kita mungkin akan melihat lebih banyak motosikal berkapasiti besar menakluki jalan raya negara berbanding kapchai pada masa yang akan datang.

Jadi, adakah motosikal Modenas Dominar 400 bakal merubah landskap permotosikalan negara? Sudah pasti! Motosikal ini akan dilancarkan secara rasmi pada 18 April 2018, jadi, teruskan bersama kami untuk perkembangan selanjutnya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.