Perhimpunan Mega Panigale Kingdom Tahunan Kali Ke-3 2018

  • Perhimpunan Mega Panigale Kingdom Tahunan Kali Ke-3 2018 telah diadakan semalam (7 April 2018) di Gold Coast Morib International Resort.
  • Lebih daripada 50 orang pemilik motosikal Panigale dari seluruh negara telah berkumpul di Putrajaya sebelum menuju ke Banting, Selangor untuk menghadiri hari keluarga tersebut.
  • Ducati Malaysia turut memeriahkan acara istimewa ini dengan mengadakan pratonton khas motosikal Ducati Panigale V4 dan Panigale R Final Edition.

Lebih daripada 50 orang pemilik Ducati Panigale telah berkumpul di acara tahunan Perhimpunan Mega Panigale Kingdom 2018 pada hari Sabtu (7 April 2018) di Gold Coast Morib International Resort di Banting, Selangor. Perhimpunan kali ke-tiga tersebut telah ditaja oleh Ducati Owners Club Malaysia (DOCM), Ducati Malaysia (DCM), Madani Bikes (Ducati Kuala Lumpur), dan pelbagai lagi penaja yang lain.

Hari bermula dengan ahli kelab Panigale Kingdom berkumpul di Putrajaya untuk sarapan pagi dan sesi bergambar. Konvoi kemudiannya menuju ke pantai Morib untuk makan tengah hari sebelum mendaftar masuk ke bilik masing-masing di resort berkenaan. Sebelah petangnya pula telah diisi dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan buat seluruh keluarga sebelum acara finalenya, makan malam BBQ.

Selain daripada segala aktiviti ria dan cabutan bertuah, Ducati Malaysia telah memeriahkan acara yang bersejarah ini dengan membuat satu pratonton khas motosikal Panigale V4 bersama dengan Ducati 1299 Panigale R Final Edition 2018 untuk para penggemar dan peminat mereka sebagai tanda penghargaan untuk sokongan sejak sekian lama.

Motosikal Ducati Panigale V4 2018 telah pun tiba di tanah air kita dan tidak syak lagi, ianya salah sebuah motosikal Ducati yang paling dinanti-nantikan. Motosikal Panigale V4 telah dipratontonkan secara rasminya malam semalam bersempena dengan Perhimpunan Mega Panigale Kingdom, di mana Naib Presiden Ducati Malaysia, Encik Fazli Hisham telah menjamu telinga para ahli kelab dengan nota bunyi motosikal Panigale V4 ini di hadapan mata mereka sendiri.

Bagi motosikal 1299 Panigale Final Edition pula, terdapat hanya dua buah unit sahaja yang telah dibawa masuk secara rasmi oleh Ducati Malaysia, dan salah sebuah daripadanya telah pun berpunya hatta sebelum ia sempat turun dari kapal lagi. Berharga RM339,900 (harga asas beserta GST), ianya merupakan model Ducati Panigale terakhir yang dijana oleh enjin V-Twin Superquadro.

Panigale V4 generasi terbaru ini dijana oleh enjin 1,103cc Desmosedici Stradale V4 serba baru, yang dikatakan mampu menghasilkan sehingga 210hp pada 13,000rpm dan 120Nm tork maksimum pada 12,250rpm. Langkah ini dikatakan bagi mematuhi peraturan baru WorldSBK di mana kapasiti maksimumnya adalah 1,000cc.

Terdapat tiga varian yang boleh dipilih; model asas Ducati Panigale V4, rangkaian tengah Ducati Panigale V4 S dan edisi teramat terhad Ducati Panigale V4 Speciale (Nota: Hanya dua buah unit Speciale yang akan disediakan di Malaysia). Berkenaan harganya pula, Ducati Malaysia telah menyatakan bahawa bagi varian Panigale V4 yang baru ini, ianya akan bermula dari RM133,900, RM173,900, dan RM359,900 (harga asas beserta GST).

Ekzos Termignoni Buat Ducati Panigale V4 2018

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.