- AGV telah memperkenalkan AGV Sportmodular 2018, helmet ‘flip-up’ karbon fiber sepenuhnya yang pertama di dunia.
- Dengan berat hanya 1,295 gram, helmet modular terbaru AGV ini direka dengan tahap keselamatan, rekabentuk, dan fungsi yang tinggi.
- Dengan tahap keselamatan yang setanding helmet tercanggih mereka, AGV Pista GP R, helmet ini telah ditetapkan hanrganya pada $749 (kira-kira RM2,896) di Amerika Utara.
Sempena sambutan ulang tahun ke-70 mereka, pengeluar helmet premium dari Itali, AGV, telah memperkenalkan helmet ‘flip-up’ karbon fiber sepenuhnya yang pertama di dunia. Helmet AGV Sportmodular 2018 yang telah dilancarkan bagi pasaran Amerika Utara tersebut telah direka sebagai tanda aras baru dunia bagi segmen helmet modular atau ‘flip-up/flip front’ yang menganjakkan elemen keselamatan, kefungsian, dan keselesaan ke satu tahap yang baru.
Dengan ujikaji dan pembangunan yang ekstensif dalam sukan permotoran, terutamanya dalam MotoGP, helmet modular terbaru dari AGV itu adalah di antara helmet yang paling ringan serta seimbang yang hanya seberat 1,295 gram. Rekabentuknya menonjolkan tahap keselamatan yang tertinggi dalam pakej yang teramat kompak. AGV juga mengatakan bahawa helmet tersebut ini mempunyai tahap keselamatan yang setara seperti helmet tercanggih mereka, AGV Pista GP R, yang telah digunakan oleh juara dunia MotoGP sebanyak sembilan kali, Valentino Rossi.
AGV cukup terkenal sebagai pengeluar helmet yang sering kali menguji had evolusi helmet, dan dengan helmet Sportmodular terkini mereka itu, mereka telah mencipta helmet ‘flip-up’ yang telah diperbuat daripada karbon fiber sepenuhnya, termasuklah pelindung dagunya. Ribuan jam telah dihabiskan dalam terowong angin bagi membekalkan helmet tersebut dengan ciri kalis bunyi dan pengudaraan yang menakjubkan, beserta kestabilan pada kelajuan tinggi.
Helmet modular ini lebih kerap digunakan oleh penunggang yang mengemudi motosikal kembara, namun begitu, dengan pembangunan motosikal kembara yang kini sudah cukup berkuasa bagi menandingi mana-mana motosikal lumba, helmet AGV Sportmodular ini memenuhi ciri-ciri sebuah helmet yang sempurna. Kami andaikan yang ianya cukup sesuai sekali digunakan sewaktu menunggang motosikal Kawasaki Ninja H2 SX 2018.
Ciri-ciri lain termasuklah aerodinamik yang dipertingkatkan, lapangan pandangan yang diperluaskan, kemasan dalaman bebas tekanan, cermin pelindung matahari dalaman nyah calar, dan cecincin titanium D berganda. Ke semua telah dilengkapkan dalam helmet ‘flip front’ yang amat ringan ini.
Bagi mereka yang berminat untuk memilikinya, ianya telah dijual pada harga $749 (sekitar RM2,896) di pasaranAmerika Utara dan ia datang dengan tujuh pilihan skema warna. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layarilah laman sesawang https://www.agv.com/gb_en/sport-modular/.