AGV Perkenal Helmet MotoGP ‘Carbon Forged’ GP RR Futuro Baharu

Jenama AGV tidak asing lagi dalam dunia pembuatan helmet dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Jenama ini mempunyai reputasi yang baik dalam aspek aerodinamik tanpa menjejaskan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Malah, helmet buatan AGV diuji di litar lumba dan dibangunkan bersama nama besar seperti Giacomo Agostini dan legenda MotoGP Valentino Rossi.

AGV baru-baru ini memperkenalkan Pista GP RR Futuro yang diperbuat daripada ‘forged carbon fiber’ dengan kemasan matte.

Helmet edisi khas Pista GP RR Futuro ini menampilkan cangkerang baharu untuk perlindungan optimum dengan reka bentuk spoiler bermata tajam yang menyumbang kepada aspek aerodinamik.

AGV menyatakan bahawa kemasan matte “carbonio forgiato” yang terdapat pada Forturo memberikan imej perlumbaan kepada sang pemakai.

Kelebihan paling utama helmet ini adalah ianya sangat ringan dan mempunyai ciri penyerapan tenaga yang lebih baik terhadap impak.

Melihat kepada aspek keselamatannya pula, Futuro telah memperoleh pengiktirafan homologasi FIM untuk pertandingan kejohanan dunia.

AGV turut menyatakan beberapa ciri pada helmet ini yang membantu pengudaraan dan menjamin keselesaan pengguna iaitu; Integrated Ventilation System (IVS) dan Adaptive Fit System.

Berat sebuah AGV Pista GP RR Futuro adalah 1450 gram (1.4kg).

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]