Motosikal Suzuki Hayabusa Janaan Stim?

Sumber imej: Steve McDonald Photography
  • Sebuah motosikal Suzuki Hayabusa janaan stim sedang merancang untuk memecahkan rekod kelajuan atas darat bagi motosikal janaan stim terpantas dunia pada tahun ini.
  • Dibina oleh Chris Wegewood dari Isle of Man, motosikal stim tersebut dirancang untuk mencapai kelajuan sehingga 193km/j.
  • Motosikal Hayabusa yang telah diubahsuai itu dijana oleh sebuah enjin stim kompleks yang menghasilkan sehingga 2,000psi dan suhu sehingga 510 °C.


Anda tidak tersilap lihat, tuan-tuan dan puan-puan. Seorang insan yang mengagumkan telah membina sebuah motosikal Suzuki Hayabusa janaan stim, dan ianya bukan sekadar untuk pertunjukan atau pun latihan kemahiran teknikal. Individu tersebut akan menunggangnya dan cuba memecahkan rekod dunia bagi motosikal janaan stim yang terpantas.

Chris Wedgewood, dari Isle of Man, akan cuba mencipta rekod baru yang menakjubkan itu di atas salah sebuah motosikal Suzuki Hayabusa yang paling banyak diubahsuai dalam dunia. Bagi mengatasi catatan rekod kelajuan darat yang semasa untuk motosikal janaan stim terpantas, Wedgewood perlu melebihi kelajuan 80.4bsj (124.39km/j). Rekod ini telah ditetapkan oleh penunggang dari Amerika Syarikat, Bill Barnes, pada tahun 2014.

Angka ini mungkin tampak seperti biasa-biasa sahaja bagi orang kebanyakan, namun, Chris Wedgewood bukan sekadar mahu mengatasi kelajuan tersebut. Dia ingin menetapkan penanda aras yang baru dengan cubaan bagi mencecah kelajuan sehingga 120bsj (193km/j). Dijana oleh sebuah enjin stim tekanan tinggi yang mampu menghasilkan sehingga 2,000psi dan suhu sehingga 510°C, ia menggunakan kerosin bagi membantunya menghasilkan keseluruhan tekanan dan wap sebagai hasil keluaran kuasa utama jentera Hayabusa tersebut.

Digandingkan dengan elektronik yang teramat kompleks bagi memastikan yang segalanya berjalan dengan lancar, keseluruhan kuasa stim tersebut akan dipacu ke roda belakang yang mana dipaut kepada lengan ayun yang dipanjangkan dan bahagian belakang yang berhias dan lengkap dengan peralatan. Dari pandangan kasarnya, hanya bahagian hadapan dan casisnya sahaja yang masih kelihatan seperti sebuah motosikal Suzuki Hayabusa.

Wedgewood merancang untuk membuat cubaannya itu sewaktu acara “Straightliners World Record Weekend” pada tahun ini di Elvington, York. Dia telah pun berjaya mencatat kelajuan 72.9bsj (117.4km/j) dalam satu sesi ujian. Dengan adanya motosikal Suzuki Hayabusa janaan stim ini, rekod kelajuan darat motosikal janaan stim tersebut pasti akan tergugat.

Suzuki Hayabusa 2019 Akan Menggunakan Enjin 1440cc?

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]