Suzuki Hayabusa 2019 Akan Dilengkapi Dengan Transmisi Separa Automatik?

  • Motosikal Suzuki Hayabusa 2019 dikatakan akan dilengkapi dengan sebuah sistem transmisi separa automatik yang baru.
  • Paten-paten baru telah difailkan oleh pengeluar Jepun tersebut di Jepun, Amerikan Syarikat, dan Jerman baru-baru ini.
  • Sistem baru ini menggunakan penggerak (actuator) bagi mengawal klac dan penukar gear di samping menggabungkannya dengan penukar gear kawalan kaki tradisional.

Khabar angin terbaru berkenaan motosikal Suzuki Hayabusa 2019 serba baru telah menjadikan jentera hebat itu lebih menggiurkan. Berdasarkan sebuah laporan terbaru dari Motorcycle.com, Suzuki telah memfailkan paten untuk sebuah sistem transmisi separa automatik yang mungkin sekali akan digunakan bagi mengendalikan keseluruhan kuasa ‘burung pemangsa’ yang baru itu.

Beberapa buah paten telah difailkan di Jepun, Amerika Syarikat, dan Jerman oleh Suzuki baru-baru ini dan ianya kelihatan amat mengagumkan. Orang yang bertanggungjawab terhadap paten-paten ini adalah Hideaki Takakashi, yang juga telah terlibat dalam penghasilan sistem transmisi yang lain bagi pengeluar Jepun tersebut.

Rekabentuk sistem tersebut berkisarkan pada penggunaan penggerak (actuator) tercanggih bagi mengawal klac dan penukar gear dengan kombinasi yang lebih mirip kepada penukar gear kawalan kaki tradisional. Dengan erti kata lain, ianya sebuah transmisi manual automatik (automated manual transmission – AMT) yang lebih kompak, cekap, dan mempunyai ruang permukaan yang lebih luas yang terdedah untuk sejukan udara.

Sistem ini berfungsi dengan menghantarkan isyarat elektrik ke ECU bagi menukar gear sewaktu pedal penukar gear dikerjakan. Mekanisma pengklikan telah diterapkan pada keseluruhan sistem bagi memastikan penunggang terasa bagaikan menunggang sebuah motosikal tradisional tanpa terasa canggung dengan segala kelengkapan canggih yang ada di atas motosikal tersebut. Anggap sahaja ianya sebagai satu versi canggih sebuah quickshifter dua arah.

Walaupun paten yang telah difailkan tersebut tidak tertera sama ada ianya akan digunakan pada motosikal pengeluaran, kami percaya bahawa Suzuki mungkin sekali akan melengkapkan segala kelengkapan terkini mereka pada motosikal terkini Hayabusa mereka itu kerana model tersebut bakal menyambut ulang tahun ke-20nya pada tahun hadapan. Selain daripada sistem transmisi yang baru ini, khabar angin yang lain juga telah mengatakan bahawa ianya bakal dilengkapi enjin 1,440cc yang lebih besar, malah, mungkin sekali, aruhan paksaan.

Walau apa pun jua kesudahannya nanti, motosikal Suzuki Hayabusa ulang tahun ke-20 2019 pasti akan dinanti-nantikan oleh peminatnya. Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.

Suzuki Hayabusa 2019 Akan Menggunakan Enjin 1440cc?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.