- Ke semua 11 pasukan telah pun mengesahkan diri bagi menyertai siri perlumbaan MotoE World Cup 2019 sewaktu pusingan MotoGP Qatar semalam.
- Wakil dari pasukan Tech3, LCR, Marc VDS, Pramac Racing, Angel Nieto, Reale Avintia, dan Gresini telah bertemu untuk satu taklimat semalam.
- Sky Racing VR46, Pons Racing, Dynavolt Intact GP, dan SIC Squadra Corse dari Moto3 dan Moto2 juga akan turut serta dalam siri perlumbaan ini.
Dorna dan MotoGP akhirnya telah memuktamadkan senarai pasukan yang akan bersaing dalam siri perlumbaan MotoE World Cup 2019 kali yang akan diadakan buat kali pertamanya pada tahun hadapan. Setelah mengumumkan motosikal superbike elektrik Energica Ego sebagai jentera perlumbaan rasmi siri perlumbaan tersebut pada bulan lalu, pasukan yang akan menyertai kejohanan ini telah dipilih untuk bertanding dalam piala dunia yang julung kali diadakan itu.
Pihak atasan Dorna telah berjumpa dengan beberapa buah pasukan satelit semalam di Qatar, di mana wakil dari pasukan Tech3, LCR, Marc VDS, Pramac Racing, Angel Nieto, Reale Avintia dan Gresini semua telah duduk bersama untuk satu taklimat rasmi dengan pengarah siri perlumbaan, Nicholas Goubert.
Ianya juga telah dimaklumkan bahawa beberapa pasukan dari Moto2 dan Moto3 juga akan turut serta dalam kejohanan motosikal elektrik ini yang akan bermula pada tahun ini. Pasukan-pasukan ini adalah Sky Racing VR46, Pons Racing, Dynavolt Intact GP, dan SIC Squadra Corse.
Menurut Goubert, “Kami telah mengadakan pertemuan pertama dengan ke semua pasukan yang akan bertanding dalam MotoE pada tahun hadapan. Akan ada 11 buah pasukan, yang mengendalikan 18 buah motosikal. Ke semua motosikal adalah motosikal Energica yang sama, jadi ianya adalah sebuah kejohanan. Kami akan mengadakan lima pusingan pada tahun hadapan di Eropah.”
“Kami masih belum menentukan litar manakah yang akan kami tujui, namun, seperti yang telah saya katakan, ianya adalah pertemuan permulaan jadi segala-galanya perlu diaturkan. Secara asasnya, ianya bermula sekarang. Ianya amat penting untuk bertemu dengan ke semua pasukan kerana kini mereka ada maklumat yang cukup untuk mengaturkannya; untuk mula mencari para penunggang dan juga kakitangan,” tambah Goubert lagi.
Walaupun pasukan-pasukan tersebut telah bersedia untuk membentuk pasukan mereka berdasarkan pada motosikal superbike 174hp dan 200Nm, Energica Ego, tiada penunggang yang telah disahkan untuk siri ini buat masa ini. Apa yang kita tahu adalah penaja utamanya adala syarikat pengeluar tenaga multinasional dari Itali, Enel, dan setiap pusingan adalah perlumbaan 10 pusingan.
Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.
Memperkenalkan Motosikal Lumba Elektrik MotoE World Cup 2019!