- Brek kerap kali disalahguna – ianya bukan sahaja untuk menghentikan motosikal.
- Sistem brek moden wujud untuk membantu penunggang dengan pelbagai cara.
- Menjadi tanggungjawab penunggang untuk menggunakkannya dengan betul.
Dalam keseluruhan input penunggang, pembrekan adalah perkara yang paling kerap sekali disalaherti atau disalahlaku.
Sebab utama ianya berlaku adalah kerana kesan penyahpecutan ketara pada badan penunggang, selain daripada tindak balas motosikal sewaktu dikenakan brek. Dan oleh kerana itu, penunggang sering kali tidak mengerti bagaimana sesuatu yang hanya sebesar jari mereka sendiri mampu menghentikan jisim seberat 300+kg (berat gabungan motosikal dan penunggang), dari kelajuan 200km/j ke 50km/j dalam satu detik.
1. GUNAKAN BREK BAGI MENCAPAI KELAJUAN SASARAN
Mulai sekarang, tetapkan dalam minda anda yang brek adalah salah satu alat yang dapat membantu anda mencapai kelajuan sasaran untuk selekoh. Sebagai contoh, jika anda melalui selekoh kegemaran anda setiap hari, brek dan perhatikan kelajuan sebelum anda memasuki selekoh. Tindakan ini membolehkan anda untuk mengubahsuai titik pembrekan, daya brek, dan kelajuan sewaktu memasuki selekoh, serta titik membelok. Terlalu perlahan di selekoh? Kerjakan brek pada detik yang lebih lambat atau lepaskannya lebih awal. Terlalu laju. Brek lebih awal atau kenakan lebih banyak tekanan pembrekan.
Setiap selekoh tidak boleh ditangani berdasarkan ‘feel’ atau ‘mood’. Lebih kerap daripada tidak, memasuki selekoh dengan terlalu perlahan akan memaksa penunggang untuk menambah pulasan pendikit di pertengahan selekoh, dan dengan itu, mengambil risiko kehilangan cengkaman tayar secara tiba-tiba. Terlalu laju memasuki selekoh akan menyebabkan penunggang menjadi panik dan memaut keras brek, menyebabkan tayar hadapan untuk sama ada hilang cengkaman dan menggelongsor (low-side), atau motosikal itu akan menegak semula dan meluru lurus ke bahagian luar selekoh (overshoot).
2. GUNAKAN KEDUA-DUA BREK
Ada satu mitos yang mengatakan penunggang tidak sepatutnya menyentuh tuil brek belakang kecuali jika dia memang hendak berhenti. Melainkan anda membrek dengan begitu keras sekali sampaikan terangkat tayar belakang seperti Marc Marquez, menggunakan brek belakang akan memastikan yang casis motosikal stabil, walaupun jika anda rasakan yang penggunaannya tidak mengurangkan jarak berhenti anda.
Sekiranya brek belakang ini betul-betul tiada kegunaannya, mengapa pengeluar melengkapinya pada motosikal mereka, atau, pada akhir-akhir ini, ditambah pula dengan bantuan elektronik penunggang, ‘rear wheel lift mitigation’ (RLM)? Tugas kelengkapan bantuan elektronik ini adalah untuk memastikan tayar belakang kekal berada di atas jalan, membolehkan penunggang untuk menggunakan brek belakang mereka. Malah, bantuan penunggang ini digunakan secara meluas dalam MotoGP (dengan kekerapan yang berbeza mengikut penunggangnya).
Menarik lembut tuil brek belakang sewaktu mengiring di selekoh membantu mengekalkan garisannya dengan kemas. Selain itu, ia memperlahankan sedikit motosikal tanpa perlu melepaskan pendikit atau menggunakan tuil brek hadapan, dan dengan itu tidak memberi gangguan atau mengacau imbangan casis atau cengkaman tayar.
3. TARIK, BUKAN CENGKAM
Brek perlulah dikenakan secara progresif (sedikit demi sedikit) dan bukannya dicengkam dengan kuat.
Pembrekan progresif mengagihkan berat gabungan motosikal dan penunggang secara progresif ke suspensi dan tayar. Sebaliknya, pembrekan mengejut akan menyebabkan tayar untuk terkunci. Tambahan pula, jisim akan terhempas ke hadapan dan memakan ruang gerak suspensi, menyebabkan tayar hadapan untuk terlompat.
Sekiranya brek mengejut itu tidak elok sewaktu motosikal masih lagi tegak, ianya lebih teruk lagi sewaktu mengiring. Tayarnya telah pun dikenakan dengan daya menyelekoh dan tidak memerlukan daya pembrekan atau muatan tambahan. Tayarnya sama ada akan tergelincir, menyebabkan ‘low-side’, atau pun berdiri tegak kembali dan meluru lurus ke hadapan.
Jadi, berhentilah menggunakan tuil brek anda seperti suis ON/OFF.
4. TUNGGANG DENGAN POSTUR SANTAI
Menggunakan lengan bagi menyokong bahagian badan sewaktu membrek akan ‘mengunci’ bahagian pergelangan tangan, lengan, siku, dan bahu. Ini bermakna penunggang tidak dapat maklumat penuh tindak balas motosikal dan akan terperdaya dan fikir yang dia telah pun membrek dengan terlalu keras.
Selain itu, dia tidak akan dapat memandu arah motosikalnya melalui selekoh atau menghindari bahaya. Pernah nampak penunggang yang membrek keras dan masih lagi tersasar dari selekohnya?
Apa yang perlu dilakukan adalah mengepit peha anda pada tangki bahanapi. Itulah sebabnya mengapa pereka motosikal mencipta lekukan lutut pada kedua-dua belah tangki. Jadi, kepit tangki dengan lutut anda, dan biarkan bahagian badan dan lengan sesantai yang mungkin. Jika anda tidak pernah melakukannya asebelum ini, anda pasti akan merasai perbezaannya nanti, di mana anda akan dapat membrek dengan lebih keras dari sebelum ini, dan masih lagi dapat memandu arah motosikal anda.
5. ABS MEMBANTU, BUKAN MENGELAK
Bercerita mengenai segala teknik-teknik pembrekan ini, bagaimana pula dengan ABS (anti-lock braking system)? Atau lebih tepat lagi, dengan adanya ABS, apa gunanya belajar asas pembrekan ini? Ya tuan-tuan dan puan-puan, saya pernah dengar orang berkata, “Motosikal ini dilengkapi ABS. Motosikal ini tidak akan terbabas.”
Mari kita lihat bagaimana ABS berfungsi. Titik terkuat pembrekan adalah sewaktu tayar hampir hilang cengkaman. Walau bagaimana pun, perbezaaan antara pembrekan penuh dan kehilangan cengkaman adalah amat tipis sekali, dan sebaik sahaja tayar hilang cengkaman, apa sahaja boleh berlaku. Apabila sebuah tayar itu hilang cengkamannya, ABS melepaskan tekanan pembrekan yang mencukupi bagi membolehkan tayar berpusing dan mengenakan semula tekanan pada omboh angkup brek (ianya berlaku berkali-kali dalam satu saat).
Sudah pasti ianya banyak membantu. Namun, penunggang yang tidak biasa dengan denyutan tuil brek sewaktu ABS berfungsi mungkin akan melepaskan terus tuil tersebut. Jadi, ianya berbalik kembali pada asasnya: Pelajari asas pembrekan tanpa sebarang bantuan.
TIP BONUS: YAKINI KOMPONEN MOTOSIKAL ANDA
Kejuruteraan kerangka, casis, tayar, dan brek kini sudah begitu canggih sekali, yang ianya mengatasi tahap kemahiran kebanyakan penunggang jalan raya.
Ini bukannya untuk menempelak kemahiran penunggangan anda, tetapi bagi mengingatkan anda yang had kebolehan komponen-komponen tersebut teramatlah tinggi, yang ianya mampu menyelamatkan anda pada waktu yang genting. Pendek kata, yakinilah kebolehan tayar, suspensi, dan motosikal anda secara keseluruhannya dan lakukanlah aksi yang betul apabila anda berhadapan dengan masalah, dan bukannya mengalah dan membiarkannya pada nasib.