- Ducati Monster akan menyambut ulang tahun ke-25nya pada tahun ini dan kami telah terdengar khabar bahawa Ducati Monster 821 2018 akan tiba pada bulan Jun ini.
- Motosikal Ducati Monster yang pertama telah dihasilkan pada tahun 1993 sewaktu motosikal Monster 900 dikeluarkan dari kilangnya.
- Tahun ini, mereka akan meraikan motosikal Monster ini dengan motosikal lumba naked mereka yang terbaru dan tercanggih setakat ini.
25 tahun telah berlalu sejak motosikal Ducati Monster yang pertama dikeluarkan dari kilang mereka di Borgo Panigale, yang mana ianya telah mencetuskan fenomena sedunia. Diperkenalkan secara rasmi pada tahun 1993 sebagai Ducati Monster 900, Ducati telah berjaya mencipta satu pasaran baru dalam dunia motosikal, iaitu kategori motosikal lumba naked.
Setelah melalui pelbagai kemaskini dan evolusi, motosikal Monster kekal sebagai salah sebuah jentera kegemaran ramai dalam komuniti permotosikalan. Bagi menandakan ulang tahun ke-25 jenama Monster ini, sudah pasti akan ada pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pengeluar dari Itali tersebut di seluruh dunia. Sama ada tunggangan atau pun perarakan, kami pasti Ducati Malaysia akan turut serta menyertai keraian ini.
World Ducati Week 2018 yang akan berlangsung pada bulan Julai yang akan datang juga adalah sesuatu yang dinantikan oleh semua penggemar Ducati. Berlangsung dari 20 hingga 22 Julai 2018 di Litar Dunia Marco Simoncelli Misano, ianya perhimpunan Ducati terbesar dunia di mana ribuan peminat dari segenap pelusuk dunia dan pelbagai latar belakang berkumpul bagi meraikan pengeluar tersebut.
Bagi warga Malaysia yang ingin memiliki motosikal Monster anda sendiri, anda boleh melawat mana-mana pengedar sah di seluruh negara. Jika anda mampu bertahan dengan lebih lama, pasti lebih baik lagi kerana kami telah terdengar khabar bahawa motosikal Ducati Monster 821 2018 yang baru akan dilancarkan di Malaysia pada bulan Jun ini dan ianya dikatakan sebagai motosikal Monster yang terbaik setakat ini.
Diperkenalkan secara rasmi pada hujung tahun lalu, motosikal Ducati Monster 821 2018 ini adalah sebuah gabungan klasik penggayaan yang malar segar dan teknologi penunggangan tercanggih. Diilhamkan daripada motosikal Monster 900 yang pertama dan diterapkan dengan spesifikasi tercanggih dari Monster 1200, motosikal 821 ini dilengkapi dengan skrin berwarna penuh TFT dan Ducati Safety Pack, yang terdiri daripada ABS, kawalan cengkaman, dan mod penunggangan boleh pilih, di samping pelbagai kelengkapan yang lain.
Enjin V-Twin 11 darjah Testastretta 821cc yang ikonik menghasilkan sejumlah 109hp dan 86Nm tork maksimum. Bagi menjadikannya lebih mengujakan, Ducati turut menawarkan DQS (Ducati Quick Shift up & down) sebagai kelengkapan pilihan tambahan bagi motosikal 821 yang baru ini.
Ulang tahun ke-25 Ducati Monster menjanjikan sesuatu yang hebat dan menjelang bulan Jun ini, motosikal Ducati Monster 821 2018 sudah pasti akan menyerikan lagi keraian bersejarah ini.
Ducati Monster 821 2018 Diperkenalkan – Kini Dengan Paparan TFT!