Triumph Bonneville Bobber Black, Speedmaster Dan Tiger 800 2018 Dilancarkan! Dari RM56,900

 

  • Triumph Motorcycles Malaysia (Fast Bikes Sdn. Bhd.) baru sahaja melancarkan Triumph Bonneville Bobber Black, Speedmaster dan Tiger 800 2018.
  • Lapan buah motosikal baru yang terdiri dari model Bobber Black, Speedmaster, dan enam buah varian Tiger 800 kini boleh didapati secara rasmi.
  • Model-model terkini Triumph 2018 ini boleh didapati bermula dari harga RM56,900 hingga RM81,900.

Triumph Motorcycles Malaysia secara rasminya telah melancarkan model terkini mereka bagi tahun ini, iaitu Triumph Bonneville Bobber Black, Speedmaster, dan rangkaian motosikal Tiger 800. Motosikal-motosikal ini telah diperkenalkan pada awal malam ini (3 Mac 2018) di Bukit Tinggi, Pahang. Terdapat sejumlah lapan buah motosikal yang baru telah diperkenalkan untuk permulaan tahun ini di mana rangkaian motosikal Tiger 800 sahaja telah memperkenalkan enam varian yang baru.

Diimport oleh Motoradic Sdn. Bhd. dan diedar secara rasmi oleh Fast Bikes Sdn. Bhd., model-model terbaru ini telah dipersembahkan di hadapan lebih daripada 350 orang tetamu yang terdiri daripada ahli kelab motosikal RatPack Triumph dan warga media permotoran negara.

Menurut Dato’ Razak Al-Malique, Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn. Bhd., Kami ingin meraikan pelancaran motosikal-motosikal terbaru ini bersama mereka yang telah setia bersama jenama ini dari setahun ke setahun, dari pelanggan yang pertama kami hinggalah yang yang baru sahaja memiliki motosikal Triumphnya dan kini merupakan ahli kelab RatPack. Kami menginginkan motosikal-motosikal ini untuk dialu-alukan oleh mereka yang paling bersemangat mengenai jenama ini.”

TRIUMPH BONNEVILLE BOBBER BLACK 2018 – RM79,900 (Harga asas beserta GST)

Tawaran terkini dalam keluarga Bobber ini telah dilengkapi dengan kelengkapan terbaik dari pengeluar British tersebut. Sebagai motosikal Triumph yang paling laris setakat ini, motosikal Black ini membawakan perwatakan yang lebih ‘jahat’ dengan adanya beberapa kelengkapan tambahan apabila dibandingkan dengan motosikal Bobber standard.

Spesifikasi seperti roda hadapan 16 inci yang besar dan dilitupi dengan tayar Avon Cobra, yang disuaikan dengan fork kartrij Showa 47mm telah dipertingkatkan lagi dengan kehadiran cakera brek berganda 310mm bersama dengan angkup Brembo. Ciri-ciri yang lain termasuklah lampu hadapan LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang (DRL – Daytime Running Lights), kawalan bersiar satu butang, serta perincian pada palang, enjin, hab, tuil, ekzos yang dilegapkan yang amat ranggi sekali, dan bermacam-macam lagi.

“Motosikal Bonneville Bobber telah melonjakkan jenama Triumph ke satu aras yang baru. Ianya merupakan sebuah motosikal yang menarik minat sesiapa sahaja dan cukup sesuai untuk mereka yang gemarkan penggayaan motosikal bobber yang klasik. Dan kini, motosikal Bobber Black ini telah sedia untuk melengkapkan lagi pakej Bonneville Bobber dengan gaya ‘custom’ yang ketara, kejuruteraan yang elegan, dan yang lebih penting lagi, tunggangan serta bunyian sebuah ‘hot rod’ yang mengujakan,” ujar Dato’ Razak.

Enjin berkembar selari, sejukan cecair, 1200cc tersebut mampu menghasilkan sehingga 77hp pada 6,100rpm dan 106Nm tork maksima pada 4,000rpm. Spesifikasinya yang lain mirip kepada motosikal Bobber yang standard. Triumph Motorcycles Malaysia telah menetapkan harga bagi Bonneville Bobber Black 2018 yang baru ini pada harga RM79,900 (harga asas beserta GST).

TRIUMPH BONNEVILLE SPEEDMASTER 2018 – RM79,900 (harga asas beserta GST)

Motosikal Speedmaster telah membuat kemunculan semula dan ianya amat MENAKJUBKAN. Mengambil ciri-ciri yang terbaik dari apa yang telah ditawarkan oleh keseluruhan rangkaian Bonneville, motosikal Speedmaster 2018 yang baru ini telah menawarkan sesuatu yang luar biasa untuk pasaran peminat motosikal moden klasik yang lebih luas di seluruh dunia.

Berbanding dengan motosikal Bobber Black, motosikal Speedmaster ini menawarkan pengalaman menunggang yang lebih santai dan digabungkan dengan praktikaliti, serba boleh, dan dengan lagak yang ‘angkuh’. Di mana motosikal Bobber Black dengan selesanya mampu membawa seorang penunggang dengan penuh gaya, motosikal Speedmaster menawarkan pilihan sama ada untuk menunggang berseorangan atau pun bersama pembonceng.

“Motosikal Bonneville Speedmaster memberikan satu tahap keselesaan, praktikaliti, dan keserbabolehan dalam keluarga Bonneville yang amat berkebolehan. Ia sesuai sekali bagi mereka yang inginkan jentera kembara yang bergaya klasik, atau untuk mereka yang inginkan kebolehan membonceng pada motosikal mereka,” Kata Dato’ Razak.

Ciri-ciri seperti ‘beach bars’ dan ‘forward pegs’ menambahkan lagi rupa paras klasiknya, termasuklah roda berjejari 16 inci dan ‘swing cage’ bagi memberikannya rupa ‘hard tail’. enjin berkembar selari, 1,200cc sama seperti pada motosikal Bobber Black telah dirumahkan Speedmaster terbaru ini, namun, dengan adanya tangki bahanapi sebesar 12 liter, motosikal Speedmaster 2018 boleh merentasi jarak yang lebih jauh.

Bonneville Speedmaster 2018 ini ditetapkan harganya pada harga RM79,900 (harga asas dengan GST) dan dengan segala spesifikasi moden seperti kawalan cengkaman yang boleh dimatikan, ‘Ride-by-Wire’, mod penunggangan, klac bantuan-tork dan bermacam-macam lagi, varian Bonneville terbaru pasti akan menarik minat ramai penggemar.

TRIUMPH TIGER 800 XR, XRx, XRT, XCx & XCa – dari RM56,900 hingga RM81,900

Bagi tahun 2018, terdapat enam buah varian berbeza untuk motosikal Triumph Tiger 800 yang baru telah diperkenalkan untuk pasaran tempatan, yang mana ianya akan memenuhi sebarang keperluan mana-mana penunggang kembara. Model-model ini diasaskan daripada motosikal jalan raya, Tiger 800 XRx, dan motosikal yang berkebolehan ‘off-road’, Tiger XCx.

Generasi terkini Tiger datang dengan lebih daripada 200 kemaskini untuk enjin dan casisnya sahaja, yang mana telah mengangkat enjin tiga selari 800ccnya itu ke satu tahap yang baru. Ia mampu menghasilkan sehingga 93hp dan 79Nm pada 8,050rpm yang menjadikannya sebuah jentera dengan kuasa enjin dan agihan tork yang lebih responsif. Keseluruhan sistem transmisinya telah dirombak secara keseluruhan di mana gearnya lebih disuaikan untuk keseronokan ‘off-road’, pemecutan dan kelincahan yang dipertingkatkan.

Ciri yang paling menonjol, yang boleh dilihat sudah semestinya panel berwarna penuh TFT yang boleh laras sepenuhnya, di mana penunggangnya boleh membelek sebarang maklumat penting motosikal, semuanya di hujung jari mereka. Ciri baru yang lain termasuklah enam mod penunggangan, pencahayaan LED, kawalan bersiar yang dikemaskini, skrin boleh laras, brek Brembo tercanggih, dan suspensi yang dikemaskini, beserta perincian baru yang lain.

“Motosikal Triumph Tiger 800 XCx dan XRx telah menempa namanya sebagai antara motosikal kembara paling laris dalam segmennya. Kedua-dua motosikal ini mudah untuk ditunggang, menawarkan kawalan dan keselesaan yang hebat, dan kini, dikemaskini bagi menawarkan lebih banyak lagi teknologi, mempertingkatkan enjin tiga selari Tiger yang tersohor itu” kata Dato’ Razak.

Harga bagi rangkaian motosikal Triumph Tiger 2018 yang baru ini adalah seperti berikut (harga beserta GST):

Tiger 800 XR – RM56,900
Tiger 800 XRx/XRx Low – RM69,900
Tiger 800 XRT – RM77,900
Tiger 800 XCx – RM74,900
Tiger 800 XCa – RM81,900

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai model-model terbaru Triumph bagi tahun 2018, layarilah laman sesawang rasmi Triumph Motorcycles Malaysia.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.