MotoGP: Marc Marquez Akan Bersama Repsol Honda Hingga 2020!

  • Marc Marquez telah menandatangani perjanjian baru dengan Repsol Honda yang akan menyaksikannya berlumba bagi pasukan tersebut sehingga hujung musim 2020.
  • Juara dunia MotoGP empat kali itu telah bersama dengan pasukan Repsol Honda sejak tahun 2013 dan hanya gagal memenangi satu kejohanan pada tahun 2015.
  • Pembaharuan kontrak ini telah melenyapkan segala gosip mengenai perpindahan Marquez ke pasukan lain untuk musim 2019.

Juara dunia MotoGP empat kali, Marc Marquez, telah mengumumkan bahawa dia akan terus bersama pasukan Repsol Honda sehingga penghujung musim 2020. Penunggang berusia 25 tahun dari Sepanyol itu telah menandatangani perjanjian selama dua tahun bersama pasukan pengilang Honda yang bermakna dia telah menjamin tempatnya di atas jentera pengilang Honda RC213V untuk sejumlah lapan musim sehingga penghujung kontraknya nanti.

Memasuki musim ke-enamnya pada tahun 2018 ini, penunggang muda yang amat berbakat ini telah menyertai kelas MotoGP pada tahun 2013 dan telah memenangi empat daripada lima kejohanan dalam lima musim pertamanya dalam kelas premier ini. Dia hanya gagal memenangi kejohanan sekali sahaja pada tahun 2015, kepada Lorenzo yang pada ketika dalam tahun terakhirnya bersama pasukan Movistar Yamaha sebelum berpindah ke Ducati.

Menurut Marc Marquez, “Saya berasa amat teruja untuk meneruskan kerjaya perlumbaan bersama pasukan pengilang Honda dalam kelas MotoGP. Saya merasa amat berbangga untuk berlumba sebagai ahli keluarga Honda, dan saya menghargai kesungguhan Honda dan pasukan ini dalam melakukan yang terbaik dalam memberikan segala yang saya perlukan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada saya selama ini.”

“Dua ujian rasmi yang pertama berjalan lancar dan dengan pembaharuan kontrak saya, saya boleh menumpukan perhatian kepada perlumbaan pada musim ini. Saya akan terus berlumba, berkongsi keterujaan saya dengan semua, dan melakukan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat kita bersama. Terima kasih!” tambah Marquez lagi.

Konvoi MotoGP kini telah pun menuju ke Qatar pada waktu ini bagi ujian pra musim terakhir di mana para pasukan dan penunggang akan membuat persiapan terakhir pada jentera perlumbaan 2018 mereka sebelum pusingan pembukaan musim ini. Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.

Sumber: MotoGP

MotoGP: Repsol Honda Lancarkan Honda RC213V 2018 Di Indonesia!

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]