Rakaman ‘Mat Rempit’ Amerika Syarikat’ Cuba Meloloskan Diri Dari Sekatan Polis!

Sumber imej: Clevescene
  • Sebuah video YouTube yang telah dimuatnaik baru-baru ini menunjukkan sekumpulan mat rempit Amerika Syarikat cuba meloloskan diri dari sekatan polis.
  • Penunggang jalanan dari Amerika Syarikat cukup terkenal kerana aksi lagak ngeri di atas jalan raya awam menggunakan motosikal ‘dirt bike’ dan ATV mereka.
  • Ianya telah dirakam dalam sebuah kamera salah seorang penunggang tersebut yang dipaut pada helmetnya.

Sumber imej: Boston Herald

Dalam mana-mana negara sekali pun, pasti ada sekumpulan penunggang motosikal yang gemar menunggang secara semberono di atas jalan raya awam. Di Malaysia, mereka dikenali sebagai mat rempit, seringkali bergerak secara berkumpulan di atas motosikal kapchai mereka, namun, di Amerika Syarikat, jentera pilihan mereka berlainan sekali.

Sebuah saluran YouTube bergelar JustPoliceVideos baru-baru ini telah memuatnaik satu video menunjukkan sekumpulan penunggang yang menunggang secara merbahaya ini cuba meloloskan diri dari sekatan Polis Boston di atas lebuhraya. Ianya dirakam di atas sebuah kamera milik salah seorang penunggang yang telah merakamkan keseluruhan kejadian tersebut dalam kamera yang dipaut pada helmetnya. Dapat disaksikan betapa gigihnya dia cuba melarkan diri dari ditahan polis (yang mana menunjukkan sejauh mana tindakan yang akan diambil seseorang itu apabila berhadapan dengan keadaan yang terdesak).

Sumber imej: NPR

Motosikal ‘dirt bike’ dan jentera beroda empat ATV (all-terrain vehicles) adalah jentera pilihan popular mat rempit di Amerika Syarikat kerana kebolehannya melakukan aksi lagak ngeri dengan mudah. Apabila mereka berkumpul dalam jumlah ratusan (mahu pun ribuan), mereka akan membanjiri jalan raya, malah, menutup laluan di atas lebuh raya.

Sumber imej: Baltimore Sun

Jadi, apabila Polis Boston bertindak mengadakan satu operasi besar-besaran bagi menangkap mat rempit Amerika Syarikat ini, keadaan bertukar menjadi kacau-bilau apabila masing-masing cuba melepaskan diri. Dan oleh kerana kebanyakan motosikal ‘dirt bike’ dan skuter dua lejang ini ringan beratnya, mereka mengambil tindakan mengangkat motosikal mereka dan menyeberangi penghadang lebuh raya bagi melarikan diri dari pegawai polis (tetapi, tidak ke semua daripada mereka yang berjaya).

Sumber imej: Fiveprime

Di Malaysia juga telah berlaku perkara sebegini pada tahun lalu. Dalam usaha mereka melarikan diri dari sekatan jalan raya yang telah dibuat oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), sekumpulan mat rempit telah bertindak secara melulu dan membahayakan nyawa mereka (serta pengguna jalan raya yang lain) dengan merapati bahagian tengah lebuh raya dan memanjat penghadangnya bagi melepaskan diri ke arah yang bertentangan.

Kami di MotoMalaya meminta orang ramai di luar sana untuk mematuhi segala peraturan jalan raya. Kami berpesan kepada anda semua supaya memikirkan keselamatan semua pengguna jalan raya dan menegah sekeras-kerasnya sebarang penunggangan secara merbahaya. Semua orang tidak mahu disaman tetapi adakah ianya berbaloi menggadaikan nyawa anda dan orang lain hanya kerana mahu mengelaknya? Selain itu, tindakan anda sebagai penunggang mencerminkan penunggang motosikal secara keseluruhan, jadi, janganlah disebabkan “nila setitik, rosak susu sebelanga”.

Tungganglah secara berhemah, tuan-tuan dan puan-puan.

Wilayah International Motofest 2018 Menggegarkan Kuala Lumpur

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.