MotoGP: Repsol Honda Lancarkan Honda RC213V 2018 Di Indonesia!

  • Pasukan Repsol Honda MotoGP telah berada di Indonesia bagi melancarkan kemasan grafik terbaru jentera Honda RC213V 2018.
  • Upacara tersebut telah berlangsung di Jakarta International Expo 2018.
  • Dani Pedrosa dan Marc Marquez juga turut hadir untuk acara pelancaran tersebut untuk beramah mesra dengan peminat mereka di Indonesia.

Beberapa hari selepas sesi ujian pra musim rasmi MotoGP di Thailand, pasukan Repsol Honda telah menuju terus ke Indonesia bagi memperkenalkan secara rasminya kemasan grafik bagi jentera Honda RC213V 2018 mereka yang terkini. Upacara berkenaan telah diadakan bersempena dengan Jakarta International Expo, di mana kedua-dua penunggang pasukan berkenaan, Marc Marquez dan Dani Pedrosa telah menghangatkan suasana dengan kehadiran mereka.

Walaupun kemasan grafik tersebut tampak agak serupa seperti apa yang telah mereka gunakan pada tahun lalu, jentera bagi tahun 2018 itu hadir dengan beberapa kemaskini utama setelah diperiksa dengan lebih teliti. Berdasarkan gambar-gambar rasmi yang disediakan oleh MotoGP, motosikal Honda RC213V 2018 ini mempunyai aerofairing yang dikemaskini, tuil ibu jari untuk brek belakang, serta ekzos sisi SC Project yang lebih kemas, di samping beberapa kemaskini yang lain.

Menurut juara dunia MotoGP 2017, Marc Marquez, “Ianya satu penghormatan untuk sekali lagi datang ke Indonesia bagi pelancaran pasukan kami kerana ianya sebuah negara yang penting bagi Honda dan juga MotoGP. Kami telah banyak kali datang ke Jakarta, jadi ianya sudah cukup saya kenali! Terdapat begitu ramai peminat yang membuatkan kami rasa seperti dialu-alukan, dan ianya cukup menggembirakan bagi kami untuk membalas balik sokongan mereka dengan datang ke sini dan meluangkan sedikit masa bersama mereka.”

“Kami telah pun menjalankan dua ujian pada musim sejuk ini, dan kedua-duanya berjalan agak lancar. Kami juga akan terus bekerja keras di Qatar, bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan sedia untuk musim yang akan datang. Kami ingin terus bersaing di hadapan untuk tahun ini, dan juga memberikan persembahan yang terbaik untuk para peminat kami di sini dan juga serata dunia,” tambah Marquez lagi.

Penunggang terpantas semasa ujian pra musim di Buriram, Pedrosa, pula berkata,”Apabila anda melihat betapa ramainya orang yang meminati MotoGP di Jakarta, pasti mudah untuk memahami mengapa kami datang ke sini sekali lagi untuk pelancaran pasukan kami. Dari sudut pandangan penunggang, ianya cukup mengagumkan untuk menyaksikan betapa gemarnya mereka akan sukan yang kami ceburi ini, dan berkongsi semangat kami.”

“Kami juga turut mendapat sambutan yang cukup hebat di Thailand beberapa hari yang lalu, di mana kami telah melalui ujian yang cukup memberangsangkan. setakat ini, segala-gala berjalan dengan cukup lancar, walaupun kami pasti akan lebih mengetahui di mana kedudukan kami apabila kami berada di Qatar nanti, di mana keadaannya akan lebih berbeza. Saya berasa bangga untuk memulakan satu lagi musim bersama pasukan Repsol Honda, dan saya bersedia untuk memberikan 100% usaha dan bersaing di hadapan kelompok,” ujar Pedrosa lagi.

Penunggang-penunggang handalan ini akan perlu bersedia untuk ujian pra musim terakhir di Qatar pada 1 Mac 2018 di mana mereka akan menyempurnakan persiapan bagi jentera perlumbaan bagi tahun 2018 mereka di bawah lampu limpah Litar Antarabangsa Losail. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini.

Sumber: MotoGP

MotoGP: Repsol Honda Sedang Menguji Lengan Ayun Karbon Fiber?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.