WorldSBK: Marco Melandri Merangkul Kemenangan Berganda Di Australia!

  • Pusingan pembukaan WorldSBK 2018 telah menyaksikan Marco Melandri merangkul kemenangan berganda dalam kedua-dua perlumbaan di Australia.
  • Melandri berjaya menangkis serangan kedua-dua penunggang pasukan Kawasaki Racing Team dalam Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 untuk memenangi perlumbaan-perlumbaan tersebut.
  • Tom Sykes dan Chaz Davies melengkapkan podium dalam Perlumbaan 1 manakala Jonathan Rea bersama dengan Xavi Fores pula melengkapkan podium bagi Perlumbaan 2.

“Otai masih berbisa”. Itulah ungkapan yang tepat sekali bagi penunggang berusia 35 tahun bagi pasukan Aruba.it Racing, Marco Melandri, yang telah berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan pada pusingan pembukaan perlumbaan WorldSBK 2018 yang telah berlangsung di Phillip Island di Australia pada hujung minggu lalu.

Di atas jentera perlumbaan Ducati Panigale R 2018-nya itu, penunggang kelahiran Itali itu telah meluru laju ke hadapan walaupun dengan hentian pit mandatori sewaktu Perlumbaan 2 akibat tekanan pada tayar yang disebabkan oleh ciri asfalt unik di Phillip Island. Melandri berjaya menangkis serangan dari kedua-dua penunggang Kawasaki Racing Team, Tom Sykes dan Jonathan Rea, dalam Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 bagi memperoleh kemenangan.

Pada Perlumbaan 1, Tom Sykes telah melintasi garisan penamat di tempat yang ke-dua dengan jarak masa yang agak besar, iaitu 1.180 saat di belakang Melandri. Di atas jentera Kawasaki Ninja ZX-10RR 2018 yang baru itu, Sykes bermula dari petak pertama, tetapi, Melandri berjaya memenangi perlumbaan tersebut bagi pengeluar dari Itali itu buat kali ini.

Teman sepasukan Melandri, Chaz Davies (Aruba.it Racing – Ducati), melengkapkan podium dalam Perlumbaan 1 di tempat yang ke-tiga. Juara dunia WorldSBK tahun lalu, Jonathan Rea, gagal menduduki tempat di atas podium apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat yang ke-lima dengan jurang yang agak besar dengan penunggang di tempat yang ke-empat, Xavi Fores (Bami Racing Team).

Perlumbaan 2 yang berlangsung semalam menyaksikan Jonathan Rea menebus kembali kesilapannya dan membuktikan yang dia masih lagi berdaya saing pada tahap yang tertinggi. Walaupun Melandri sekali lagi telah memenangi perlumbaan tersebut, ianya satu penamat ‘photo finish’ di garisan penamat, di mana dia berjaya berada di hadapan dengan jarak masa hanya sebanyak 0.021 saat sahaja di hadapan Jonathan Rea.

Xavi Fores, yang gagal menduduki podium sewaktu Perlumbaan 1 berjaya mendapat tempat podium ketiga bagi Perlumbaan 2, yang mana ianya satu petanda yang baik bagi tahun 2018 kerana ianya menunjukkan lapangan persaingan yang lebih setara bagi penunggang yang lain untuk mencabar kedua-dua pasukan pengilang Kawasaki dan Ducati.

Ianya pusingan pertama yang cukup memberangsangkan sekali bagi WorldSBK musim 2018 dan aksinya akan bersambung pada 23 Mac 2018, di mana FIM Superbike World Championship akan menuju ke Thailand untuk Pusingan 2. Teruskan setia bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan selanjutnya.

Keputusan Perlumbaan 1 WorldSBK Australia 2018
Keputusan Perlumbaan 2 WorldSBK Australia 2018

Sumber: WorldSBK

WorldSBK: Ducati Perkenalkan Jentera Perlumbaan Ducati Panigale V-Twin Terakhir!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.