- Wilayah International Motofest 2018 telah berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada hujung minggu lalu.
- Dianjurkan oleh DBKL dan Kepala Kuasa Motorcycle Group (KKMG), ribuan penunggang motosikal telah berhimpun untuk acara dua hari tersebut.
- Acara tahun ini boleh dianggap jauh lebih besar dan hebat dari acara extravaganza tahun lalu.
Acara Wilayah International Motofest 2018 (WIM2018) telah berlangsung pada hujung minggu yang lalu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dan seperti yang telah dijanjikan, ianya merupakan perhimpunan peminat motosikal pada skala yang amat besar sekali. Dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama dengan Kepala Kuasa Motorcycle Group (KKMG), ribuan peserta dari seluruh negara dan juga negara-negara jiran telah membanjiri Dataran Merdeka yang bersejarah.
Walaupun kami masih belum pasti berapakah jumlah kelab motosikal dan juga penunggang yang telah menghadiri acara tersebut, jumlah mereka yang hadir pada acara Wilayah International Motofest buat kali kedua ini jauh lebih besar dan juga meriah berbanding dengan perhimpunan tahun lalu di mana sekitar 70,000 orang penunggang motosikal telah hadir untuk menikmati keriangan pada hujung minggu itu.
Acara ini telah diadakan dengan penyertaan serta sokongan dari DBKL bersama dengan pelbagai industri yang lain dari bidang pelancongan, sektor swasta dan juga kerajaan, dan semestinya dari industri permotoran. Terdapat pelbagai pertandingan motosikal, persembahan, aksi lagak ngeri, dan bermacam-macam lagi bagi menghiburkan ribuan yang telah berkumpul di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Terdapat terlalu banyak perkara yang menarik perhatian sewaktu perhimpunan tersebut hingga ianya sukar bagi meliputi kesemuanya dalam satu artikel, dan kesemuanya cukup menyeronokkan bagi seisi keluarga. GIVI Malaysia telah membawa bas persiaran mereka bagi memperagakan barangan mereka, dari kotak bagasi hinggalah ke helmet, manakala pengeluar seperti BMW Motorrad tampil dengan rangkaian motosikal mereka untuk tatapan orang ramai.
Ramai pembina motosikal buatan khas telah tampil dengan jentera kesayangan mereka, tetapi, salah sebuah yang paling menarik perhatian adalah motosikal buatan khas oleh Eastern Bobber, bergelar “Bone-X”. Dibina oleh Jumiran Omar, motosikal tersebut serta beberapa buah motosikal yang yang lain telah dipamerkan bagi peragaan dan untuk mendapatkan sokongan bagi menghantar mahakarya tersebut ke Jerman pada bulan Oktober yang akan datang sebagai wakil dari Malaysia yang pertama dalam “AMD World Championship of Custom Bike Building”.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Omar Jumiran, Eastern Bobber, Bone-X dan rancangan mereka bagi tahun 2018, tekan pautannya yang berada di bawah ini.
Mari Kita Bantu Eastern Bobber Bersedia Untuk Ke INTERMOT Jerman Dengan Penuh Bergaya!
Tahniah diucapkan kepada penganjur kerana berjaya mengelola acara sebesar ini bagi mempromosikan arena motosikal negara sebagai sebahagian daripada budaya negara yang sihat, positif dan menyeronokkan. Berdasarkan pada jumlah kehadiran pengunjungnya, kami yakin bahawa acara tahun yang akan datang pasti akan lebih besar dan lebih hebat lagi.