- SIC dan Hafizh Syahrin telah mengesahkan tempat penunggang berkenaan dengan pasukan Monster Yamaha Tech3.
- Sesi ujian pertama Hafizh di atas jentera Yamaha YZF-M1 di Litar Antarabangsa Buriram cukup memberangsangkan.
- Tinggal satu lagi sesi ujian pra musim MotoGP di Qatar bermula dari 1 hingga 3 Mac sebelum bermulanya musim pada tahun ini.
21 Februari 2018, Petaling Jaya – Dalam banyak-banyak perkara yang menaikkan lagi semangat patriotisma di kalangan rakyat tanah air kita, sukan adalah salah satu perkara yang paling menyemarakkan semangat bagi rakyat Malaysia. Kita tidak ketandusan bakat-bakat hebat dalam sukan perlumbaan motosikal namun kurang mendapat perhatian ramai, sehinggalah baru-baru ini.
Persoalan yang berkisar berkenaan Hafizh Syahrin, atau nama timangannya, “Pescao 55”, telah pun terjawab di mana wira negara yang disenangi ramai ini telah mengesahkan tempatnya bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 bagi MotoGP 2018, pada jam 4 petang hari ini.
Bercakap sewaktu sesi minum petang bersama para wartawan tempatan, Dato’ Ahmad Razlan Razali dan Hafizh Syahrin telah membuat pengumuman tersebut, yang mana ianya disambut dengan sorakan padu, semangat patriotik membara di jiwa mereka yang hadir.
Apabila ditanya, Hafizh menjawab, “Saya mencuba sebolehnya sewaktu Ujian Musim Sejuk di Buriram. Kebanyakan penunggang yang baru berpindah ke kelas premier (MotoGP) pasti akan mencatat masa sekurang-kurangnya 3 atau 4 saat lebih perlahan dari pendahulu.”
Walaupun saya tidak dapat janjikan keputusan yang hebat secara serta merta, kerana masih banyak lagi yang perlu saya pelajari, apa yang dapat saya janjikan kepada peminat saya dan juga rakyat Malaysia ialah saya akan sentiasa meneruskan perjuangan bagi mendapat keputusan yang paling baik,” ujarnya lagi.
Dan sudah semestinya ianya terbukti, di mana Hafizh sering kali menunjukkan semangat tidak pernah mengalahnya pada perlumbaan-perlumbaan yang lalu.
Berpindah dari satu pasukan ke pasukan yang lain sentiasa sukar dan sudah pasti ada sesetengah penunggang yang telah menghadapi masalah apabila mereka bertukar pasukan. “Keadaan di pasukan Monster Yamaha Tech3 cukup bersahaja dan mereka banyak memberi sokongan. Mereka telah memberi banyak sokongan dalam memberikan tunjuk ajar dan nasihat. Johann Zarco juga turut memberikan beberapa buah nasihat.”
Bercakap mengenai ujian dan pembangunan lanjutan, “Saya perlu membiasakan diri dengan motosikal dengan pantas. Dari satu sudut, kebanyakan bantuan elektronik penunggang dalam MotoGP lebih banyak membantu berbanding dalam Moto2. Bagaimanapun, pasukan akan menghantar saya keluar untuk melakukan lebih banyak pusingan pada ujian yang akan datang (Qatar). Dengan cara itu, pasukan boleh melakukan simulasi perlumbaan, membolehkan saya lebih banyak belajar mengenai pengendalian motosikal apabila prestasi tayar mulai menurun dan juga mengenai elektroniknya.”
Terdapat juga bunyi-bunyi di media sosial mengenai bagaimana Hafizh mendapat tempat dengan pasukan Tech3 itu, dan bukannya penunggang-penunggang lain seperti juara Moto2, Franco Morbidelli, mahu pun Thomas Luthi, Xavier Simeon, dan Takaagi Nakagami. Dengan kata lain, ada yang mengatakan bahawa SIC telah membayar untuk tempat Hafizh. Padahal, jawapannya cukup mudah sekali; mereka telah pun menandatangani perjanjian dengan pasukan masing-masing sebelum pengumuman yang telah dibuat oleh Jonas Folger, membuka ruang tersebut buat Hafizh.
Dato’ Razlan menerangkan, “perjanjian penajaan bagi pasukan tersebut telah pun dimuktamadkan, jadi, tiada ruang bagi SIC untuk meletakkan penjenamaan kami. Tetapi, Insya Allah, kami boleh melakukannya pada tahun 2019.”
“Ianya merupakan impian SIC untuk meletakkan seorang penunggang negara dalam setiap kelas. Bagaimana pun, penyertaan Hafizh dalam MotoGP adalah satu tahun lebih awal dari apa yang kami jangkakan dan ini telah menjimatkan wang kami. Pada masa ini, kami akan menaja kos peribadi Hafizh pada musim ini.”
Hafizh akan bertapak di Sepanyol pada tahun ini, “SIC telah menyediakan fasiliti latihan untuk saya, Adam Norrodin, dan Zulfahmi Khairuddin di sana. Saya telah pun bersaing di siri CEV Sepanyol sebelum menyertai Moto2 jadi ianya tidak menjadi masalah bagi saya.”
Jadi, adakah penyertaan Hafizh dalam MotoGP akan menarik minat ramai ke MotoGP Malaysia? “Sudah pasti,” kata Dato’ Razlan, “Kami menjangkakan untuk melihat peningkatan sebanyak 200% bagi jumlah hadirin.”
“Kami berharap dengan penyertaan Hafizh dalam MotoGP, ianya akan menjadi inspirasi, terutamanya bagi penggemar sukan permotosikalan negara, untuk mengasahkan bakat mereka menggunakan saluran yang betul. Dengan kesungguhan dan tumpuan, lihat sahaja di mana seseorang itu boleh berada,” Tambah Dato’ Razlan lagi.
Tidak lama lagi, warganegara Malaysia boleh mengibarkan Jalu Gemilang dengan penuh bangga di SIC. Dan mana tahu, mungkin sekali kita akan dengar berkumandangnya Negaraku di kaca TV nanti.