Sistem Brek (Bahagian 3): Pad Brek

  • Terdapat pelbagai kompaun pad brek yang berbeza tersedia di dalam pasaran.
  • Setiap satu memberikan gaya pembrekan yang berbeza.
  • Dapatkan jenis yang sesuai dengan gaya penunggangan serta kegunaan motosikal anda.

Pad brek sering kali dipandang mudah oleh kebanyakan penunggang motosikal. “Asalkan ianya boleh menghentikan motosikal, sudah cukup baik.” Atau kita hanya menggantikan pad apabila dikhabarkan oleh mekanik yang ianya waktu itu menukarnya. Bagaikan kita tiada pilihan mengenainya, kecuali sewaktu bertanyakan, “Berapa?”

Mungkin, ianya tidak perlu sehingga ke tahap begitu, dengan sedikit kefahaman, kita boleh menentukan apa yang kita perlukan, dan bukannya menanti apabila disuruh.

KADAR GESERAN PAD BREK

Sebelum kita meneruskannya, sila ambil maklum bahawa pada waktu kini, terdapat dua kadar geseran untuk pad brek, GH dan HH.

Kedua-dua huruf tersebut melambangkan pekali geseran (Coefficient of Friction pad brek; GH sebagai CoF pada suhu operasi normal, dan HH pada suhu melampau 650 °F (343 °C). Oleh itu, kadar tersebut menunjukkan berapa banyak geseran yang ada sewaktu suhu pengoperasian yang tertentu. Perkadaran-G menawarkan di antara 0.45 sehingga 0.55, manakala perkadaran-H CoF adalah dari 0.55 ke atas. Perkadaran ini selalunya dicopkan pada bahagian luar plet belakang pad, walaupun ada pengeluar yang tidak menggunakan cara ini tetapi menandakannya pada bahan pembungkus pad brek.

BAHAN PAD BREK

Mempunyai bahan pad dari jenis yang sesuai menentukan rasa atau perasaan sewaktu brek digunakan dan bagaimana untuk menghentikan motosikal.

ORGANIK

Pad organik mungkin kedengaran seperti yang ianya sesuatu yang tumbuh tanpa sebarang penggunaan bahan kimia, tetapi dalam subjek ini ianya bermaksud yang bahan tersebut tidak mengandungi logam. Sebaliknya, ianya adalah gabungan getah, kaca, karbon, aramid, Kevlar (kandungannya berbeza bergantung kepada pengeluar), yang digabung menggunakan resin.

Pad organik adalah popular di kalangan penunggang oleh sebab perasaan pembrekan yang progresif, yang tidak mencengkam secara agresif. Tambahan pula, ianya lebih lembut dan tidak mencalarkan cakera brek. Walau bagaimanapun, disebabkan kelembutannya itu, ianya haus dengan lebih pantas.

‘SINTERED’

Bahan pad, yang selalunya dari zarah tembaga/kuprum, dilakurkan pada plet sokongan di bawah tekanan dan haba melampau (proses ini dinamakan “sintering”) bagi membentuk bahan geseran yang tahan haus. Ia dapat menangani pelbagai jenis keadaan, dan oleh kerana itu, sesuai untuk pelbagai jenis penunggangan termasuklah hari di litar.

Pad ‘sintered’ menawarkan CoF yang stabil sama ada ketika panas atau sejuk, dan ia mencengkam dengan serta merta. Selain daripada itu, ianya tahan ‘fade’, berfungsi dengan baik dalam keadaan hujan mahu pun dalam lumpur, dan selalunya tahan lebih lama.

Namun begitu, ia akan menghauskan cakera brek dengan pantas. Kebanyakan, jika tidak semua, motosikal menggunakan cakera brek keluli tahan karat yang lebih keras pada masa ini. Tetapi, sekiranya anda terjumpa alur yang dalam atau “blueing” pada cakera brek anda, anda mungkin perlu mengantikan pad brek anda kepada pad yang menggunakan bahan yang kurang agresif.

SEMI-METALIK/SEMI-SINTERED

Pengeluar telah menyeduh pad organik dengan bahan logam bagi meningkatkan lagi cengkamannya, ketahanannya, serta rintangan ‘fade’nya, dan pada masa yang sama mengekalkan rasa pembrekan yang progresif dan kehausan cakera yang rendah sebuah pad brek organik. Ini mungkin satu tolak ansur yang baik untuk kebanyakan penunggang.

KOMPOSIT SERAMIK

Ianya diperbuat dengan melakurkan gentian seramik berkekuatan tinggi dengan filamen logam tanpa besi yang mulur di bawah tekanan dan haba melampau. Filamen logam ini akan memberikan cengkaman mulaan manakan kompaun seramik pula ketahanan suhu tinggi bagi mengelakkan ‘brake fade’.

Selain itu, filamen logam tersebut akan menepis keluar haba dengan pantas bagi mengurangkan kehausan dan kecacatan rotor (cakera melengkung).

NOTA

1. Yang pertama sekali, anda tidak sepatutnya menggunakan sebarang pad brek atau pelapik brek yang mengandungi asbestos. Ianya telah disahkan berdekad dahulu bahawa asbestos bersifat karsinogenik dan boleh menyebabkan barah paru-paru sekiranya anda menyedut asbestos. Walaupun penggunaan asbestos telah pun diharamkan, anda mungkin akan berjumpa dengannya dalam pelapik brek drum yang tersangat-sangat murah.
2. Jika anda menggantikan pad brek anda untuk kegunaan harian, sila pilih dari jenis “STREET” atau “ROAD”. Pad brek perlumbaan memang mencengkam namun ia perlu mencecah suhu pengoperasian tertentu bagi memberikan pembrekan optimum.
3. Ambil sedikit masa untuk “menyesuaikan” pad baru (selalunya di antara 300 hingga 500km). Pad memerlukan masa bagi ‘mengenali’ setiap kecelaan yang ada pada cakera brek anda, dan tidak akan mencengkam pada tahap maksimumnya ketika masih baru. Jadi, beringatlah sewaktu menunggang dengan satu set pad yang baru.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]