Replika MotoGP Suzuki GSX-R1000 2018 Diperkenalkan!

  • Suzuki telah mengumumkan bahawa motosikal replika MotoGP Suzuki GSX-R1000 2018 bersama dengan Suzuki GSR-R1000R.
  • Pelancaran tersebut adalah bersempena dengan pelancaran kemasan grafik terbaru bagi jentera MotoGP mereka, Suzuki GSX-RR 2018 di Sepang.
  • Harganya di pasaran UK telah ditetapkan pada £13,599 (kira-kira RM74,281) dan £16,099 (kira-kira RM87,937).

 

Bersempena dengan pelancaran jentera MotoGP Suzuki GSX-RR terkini beserta dengan kemasan grafik terbaru beberapa hari yang lalu, pengeluar dari Jepun tersebut juga turut mengumumkan bahawa motosikal Suzuki GSX-R1000 2018 dan GSX-R1000R mereka akan disediakan dalam warna replika MotoGP yang terbaru.

Pelancaran tersebut telah dibuat sebaik sebelum bermulanya ujian pra-musim MotoGP 2018 di Sepang di mana ianya telah berlangsung sejak 28 Januari (Ahad) dan akan berakhir pada hari ini. Bagi tahun 2018, kedua-dua jentera MotoGP Suzuki GSX-RR dan motosikal replika jalan rayanya akan dihias dengan kemasan grafik serba baru yang mengandungi warna ‘trademark’ biru dan kuning neon Suzuki serta kemasan garisan ‘stealth black’.

Persamaan di antara jentera MotoGP dan motosikal jalan raya tersebut bukan sekadar warnanya sahaja, tuan-tuan dan puan-puan. Motosikal Suzki GSX-R1000 2018 dan GSX-R1000R telah mewarisi teknologi VVT yang sama seperti jentera yang akan dikemudi oleh Andrea Iannone dan Alex Rins pada tahun ini. Ianya memastikan prestasi yang hebat dari jangkauan rendah hingga sederhana di samping membolehkan agihan kuasa yang hebat pada paras yang tinggi.

Ciri sama yang lain termasuklah ‘finger-follower valve train’, corong masukan bertingkat, pakej elektronik pelbagai peringkat, sistem kawalan cengkaman sensitif darjah condong dan kawalan mulaan, bersama dengan ABS menyelekoh dan quickshifter dua arah dan ‘auto-blipper’. Pendek kata, ianya amat menyeronokkan!

Tiada lagi sebarang berita mengenai bila jentera 2018 ini akan tiba di tanah air kita, tetapi untuk pasaran UK, motosikal Suzuki GSX-R1000 2018 ini telah ditetapkan pada £13,599 (sekitar RM74,481), manakala motosikal GSX-R1000R didatangkan dengan harga £16,099 (sekitar RM87,937). Kami andaikan yang harganya akan lebih hampir kepada jumlah RM100,000 sebaik sahaja ianya tiba di Malaysia.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.