Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018: Jentera Pengilang Yamaha Terpantas Pada Hari Kedua

  • Hari Kedua  Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018 melabuhkan tirai dengan kedua-dua penunggang pasukan pengilang Yamaha mendahului gerombolan.
  • Penunggang pasukan pengilang Ducati dan Honda menamatkan hari di kelompok belakang.
  • Catatan masa dari tempat pertama sehingga ke-lima jauh lebih pantas berbanding catatan masa kelayakan perlumbaan tahun lalu.

Peminat pasukan pengilang Yamaha MotoGP boleh menarik nafas lega mengenai prestasi pasukan tersebut setelah berakhirnya Hari Kedua Ujian MotoGP Rasmi Sepang 2018, apabila kedua-dua penunggangnya, Maverick Viñales dan Valentino Rossi telah mencatatkan masa terpantas sepanjang sesi setakat ini.

Sekali lagi, menjelang sejam yang terakhir sesi hari ini, para penunggang mula berpusu-pusu melakukan sesi ujian yang terakhir. Andrea Dovizioso telah berjaya mencatatkan masa terpantasnya sebaik sahaja selepas waktu tengah hari dengan Rossi di tempat ke-dua dan Marquez di tempat ke-tiga. Ketiga-tiga penunggang tersebut merupakan satu-satunya kelompok penunggang yang telah berjaya mencatat masa di bawah paras 2 minit pada awal sesi hari ini dan telah dipisahkan dengan jarak masa kurang dari 0.2 saat.

Marquez yang memulakan langkah dengan mencatatkan masa yang lebih pantas, dengan catatan masa 0.002 saat lebih pantas berbanding Dovizioso, diikuti oleh Johann Zarco (1:59.702), dan kemudiannya oleh Cal Crutchlow (1:59.443). Dan sewaktu semua orang cuba untuk memperbaiki masa mereka, Rossi mengorak langkahnya dan mencatatkan masa terpantas (pada waktu itu), 1:59.390.

 

Namun, teman sepasukan penunggang dari Itali itu, Maverick Viñales, mempunyai rancangan yang berbeza, di mana dia telah mengatasi catatan masa Rossi dengan catatan masa 1:59.355.

Melihat pada waktu sektor bagi kedua-dua Yamaha, ianya agak rapat di antara mereka, yang bermakna sama ada kita sedang melihat perwatakan jentera tersebut, atau mereka menggunakan aturcara yang sama. Mereka juga telah berjaya mendapatkan kuasa tambahan, di mana kelajuan tertinggi bagi kedua-dua jentera tersebut hampir dengan kelajuan tertinggi pada jentera Dovizioso. Selain itu, desas desus di ‘paddock’ mengatakan bahawa jentera Yamaha berkenaan telah menggunakan tayar kompaun sederhana, yang bermakna jentera berkenaan mampu untuk pergi lebih laju dengan kompaun lembut dalam ‘trim’ kelayakan.

Jack Miller sedang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan pasukan Alma Pramac Racing Ducati di mana dia merangkul tempat ke-lima terpantas dengan catatan masa 1:59.509. Catatan tersebut jauh lebih pantas berbanding catatan masa terbaik sewaktu kelayakan bagi pusingan MotoGP Malaysia 2017.

Walaupun masih banyak pemboleh ubah yang ada sewaktu mana-mana sesi ujian, masa yang telah direkodkan setakat ini, dari masa terpantas sehingga tempat ke-lima, semuanya telah mengatasi catatan masa kelayakan terpantas tahun lalu.

Lima Teratas pada hari merupakan satu gabungan yang lebih majmuk berbanding semalam, di mana dua jentera pengilang Yamaha menduduki tangga teratas, diikuti jentera pasukan satelit Honda (Crutchlow), sebuah jentera pengilang Ducati (Lorenzo) di tempat ke-empat (1:59.498), dan sebuah jentera pasukan satelit Ducati di tempat ke-lima (Miller).

Juara bertahan, Marquez menamatkan harinya di tempat ke-tujuh (1:59.730). Seperti yang telah didedahkannya semalam, dia telah menguji jentera 2017 dengan enjin yang berbeza semalam, dan jentera bagi tahun 2018 pada hari ini.

Dovizioso turut serta sewaktu sesi terakhir tetapi tidak berjaya memperbaiki masanya sebelum ini (1:59.732) dan telah jatuh ke tempat ke-lapan.

Danilo Petrucci, yang menunggang jentera Ducati GP18 dan teman sepasukan Jack Miller, berada di tempat ke-sembilan dengan masa terbaiknya, 1:59.747.

Di tempat ke-sepuluh adalah Andrea Iannone dari Team Suzuki ECSTAR, dengan masa terpantasnya, 1:59.917.

Litar kekal kering di sepanjang hari dengan suhu tertingginya di sekitar 40 °C, sebelum turun ke sedikit sekitar 30 lebih kerana tiupan angin yang kuat.

Kami tidak sabar menantikan sesi esok, kerana sudah pasti mereka akan lebih pantas lagi.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.