Video Usikan Triumph Street Triple 2018 Ditayangkan – “Motosikal Hooligan Terhebat?”

  • Triumph Motorcycles telah menayangkan sebuah video usikan motosikal Triumph Street Triple 2018 terbaru mereka.
  • Dibintangi Carl Fogarty dan Gary Johnson, motosikal Speed Triple terbaru telah dibayangkan sebagai “motosikal hooligan terbaik”.
  • Skrin TFT yang serba baru telah kelihatan di dalam video tersebut dan maklumat tambahan akan disampaikan sewaktu pelancarannya pada 29 Januari 2018.

2017 merupakan tahun yang amat baik sekali bagi Triumph Motorcycles setelah berjaya merekodkan peningkatan hasil jualan dengan lebih daripada 63,000 buah motosikal terjual di seluruh dunia. Untuk tahun ini, mereka akan cuba untuk mempertingkatkan lagi usaha mereka dan video usikan terkini yang menampilkan sebuah motosikal yang kelihatan seperti motosikal Triumph Speed Triple 2018 yang serba baru adalah hanya permulaannya bagi tahun 2018.

Triumph Motorcycles Menyaksikan Peningkatan Jualan Pada Tahun 2017 -Lebih Daripada 63,000 Unit Terjual!

Dan video usikan tersebut telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran dua bintang ternama dunia perlumbaan iaitu tidak lain dan tidak bukan, juara WorldSBK sebanyak tujuh kali, Carl Fogarty, serta pemenang Isle of Man TT sebanyak dua kali, Gary Johnson. Triumph Motorcycles berasa teramat yakin dengan model yang akan datang ini, dan ianya terpancar dari permulaan video berkenaan apabila mereka bertanyakan “Siapakah yang terhebat?”

Selepas kedua-dua legenda berkenaan melakukan aksi “burnout” secara berhadapan di atas motosikal terkini itu, soalan berikutnya telah terpapar menanyakan “Siapakah ‘hooligan’ terhebat?” Kami pasti di sini mereka bukan sahaja merujuk kepada para legenda tersebut, jadi, motosikal Speed Triple terbaru ini tampak seperti sebuah jentera yang berprestasi hebat pada ketika ini.

Bahagian yang paling mengujakan pada video berkenaan adalah bayangan motosikal itu sendiri di mana perubahan yang paling ketara adalah skrin TFT serba baru. Setakat ini, paparan TFT hanya boleh didapati pada motosikal Triumph Street Triple 765 2017. Nampaknya, motosikal Speed Triple yang telah dilancarkan pada kira-kira 24 tahun yang lalu akan mendapat pengemaskinian terbesar setakat ini bagi tahun 2018.

Masih terlalu awal untuk kami berikan pendapat kami mengenai motosikal ini, namun, satu perkara yang pasti, memilih motosikal Triumph pada tahun ini pasti akan lebih sukar lagi dengan pelbagai model yang hebat telah mereka bawa masuk pada tahun lalu dan yang telah mereka rancang untuk bawa masuk pada tahun ini. Anda pasti akan rambang mata sewaktu membuat pilihan tetapi kami yakin sebarang motosikal Triumph yang anda pilih sekali pun, ianya pasti tidak akan mengecewakan anda.

Teruskan setia bersama MotoMalaya di mana kami akan bawakan sebarang perkembangan terkini mengenai pelancaran global motosikal Speed Triple terbaru ini pada 29 Januari 2018.

GALERI TRIUMPH SPEED TRIPLE 2016

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.