PGM V8 – Motosikal Naked 2000cc V8 Raksasa Dari Australia

  • Motosikal PGM V8 adalah motosikal naked 2000cc V8 raksasa terbaru yang telah dicipta di negara yang gila akan kuasa V8, Australia.
  • Pat Maloney telah mencipta motosikal PGM V8 ini setelah bersara dari kerjaya yang mengagumkan dalam Kejohanan Dunia Superbike (WorldSBK) dan Formula 1.
  • Enjinnya itu telah direka dengan menggabungkan dua enjin Yamaha YZF-R1 yang menghasilkan kuasa sebanyak 334hp dan 214Nm tork maksimum.

Di dalam sebuah negara yang mana populasi am serta penggemar permotorannya tergila-gilakan tatarajah enjin V8, ianya tidak menghairankan apabila ada yang memutuskan untuk memuatkannya dalam casis motosikal. Itulah yang telah terjadi beberapa tahun yang lalu di mana Pat Maloney telah mencipta motosikal PGM V8 yang mana ianya tidak dapat dinafikan merupakan salah sebuah motosikal pengeluaran paling berkuasa di dalam dunia.

Pat Maloney dikenali ramai sebagai seorang mekanik yang hebat sewaktu zaman kegemilangannya dalam Kejohanan Dunia Superbike dan juga Formula 1. Apa yang lebih menakjubkan adalah fakta bahawa Maloney merupakan salah seorang daripada mereka yang bertanggungjawab dalam memberi nafas kepada motosikal tiga silinder yang buas, Petronas FP1,

Kini menguruskan bengkel Maloney’s Maltec Performance Engineering miliknya di Victoria, ianya hanya munasabah untuknya memulakan pembinaan raksasa miliknya sendiri. Di Australia, motosikal PGM V8 bukanlah motosikal janaan V8 pertama yang telah dibina. Kehormatan itu jatuh kepada Drysdale V8 dan Aurora Hellfire OZ26, namun rasa sayang pada enjin V8 tidak pernah malap di negara berkenaan.

Melihat pada rupa paras keseluruhannya, ianya bukanlah motosikal yang paling cantik sekali di dunia tetapi rupa paras karbon fibernya itu cukup membuatkannya sedap dipandang mata. Tetapi, enjin yang menjana raksasa ini, tidak dapat dinafikan keindahannya. Maloney telah mengambil dua bank silinder dari motosikal Yamaha YZF-R1 yang telah dikeluarkan di antara tahun 2000 hingga 2010 dan menghasilkan enjin V8 90 darjah 2.0 liter yang dipaut kepada aci engkol ‘flat-plane’ di dalam bekas enjin yang berhias.

Hasilnya, motosikal PGM V8 ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 334hp pada 12,800rpm dan sekitar 214Nm tork maksimum. Keseluruhan kuasanya itu dipacu ke roda belakang melalui kotak gear buatan khas yang perlu direkabentuk bagi disesuaikan dengan tatarajah enjin yang unik itu.

Bagi memastikan beratnya agak ringan (berat basah bagi motosikal PGM V8 ini adalah 242kg), sepasang roda aloi tempa Marchesini dan ekzos sistem penuh titanium Akrapovic telah diterapkan. Bagi bahagian suspensinya pula, satu set suspensi Ohlins tercanggih telah digunakan bersama dengan kelengkapan Brembo bagi memastikan segalanya kekal terpaut dan stabil bagi mengendalikan keseluruhan kuasanya itu.

Ingin memiliki raksasa ini? Bersedialah untuk mengeluarkan belanja yang besar kerana harganya telah ditetapkan pada $180,000 (kira-kira RM718,380 selepas pertukaran matawang). Jika ditanya akan kelajuan tertingginya, kami ajukan pula soalan ini, “Sejantan manakah anda?” Bagi bunyinya pula, anda boleh dengar sendiri di videonya di bawah.

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.