Honda CB125M Concept – Motosikal Mini Muktamad

 

  • Motosikal Honda CB125M Concept telah dipersembahkan sewaktu acara pertunjukan EICMA 2018 di Milan baru-baru ini.
  • Motosikal supermoto mini itu telah diperkenalkan bersama dengan saudara kembaranya, model Honda CB125X Concept.
  • Antara spesifikasi yang ada pada motosikal Honda CB125M Concept ini adalah roda 17 inci Marchesini, tayar ‘slick’ Pirelli, dan ekzos SC-Project.

Pengenalan motosikal kembara 125cc Honda CB125X Concept sewaktu acara pertunjukan EICMA 2018 di Milan, Itali, telah diadakan bersama dengan saudaranya, iaitu motosikal super mini Honda CB125M Concept. Dalam usaha untuk menjadikan model asas Honda CB125R lebih menggiurkan, jabatan Kajian dan Pembangunan Honda Eropah telah tampil dengan jentera yang menakjubkan ini.

Menurut Honda, ianya merupakan visi mereka bagi masa depan motosikal supermoto berkapasiti kecil, namun dengan hanya 125cc, ia lebih kepada sebuah motosikal mini (melainkan mereka ada rancangan untuk mengeluarkan versi 250cc atau lebih besar). Sebab mengapa motosikal berkapasiti 125cc ini diketengahkan adalah kerana kelas motosikal ini semakin mendapat perhatian di Eropah dengan anggaran perkembangan sebanyak 25%.

“Jentera naked berfokuskan jalan raya” ini didatangkan dalam skema warna merah menyala dengan “bentuk futuristik yang minimalis dan amat tajam, dan bahagian pelana yang bagaikan bersatu dengan bahagian belakang yang pendek dan tinggi, serta lampu hadapan LED yang kecil”.

Di antara spesifikasi terbaik yang ada pada motosikal Honda CB125M Concept ini adalah roda tempa aluminium 17 inci ala supermoto, yang diliputi dengan tayar ‘slick’ terbaik dari Pirelli, bahagian badan yang teramat kekar (dengan bahagian hadapan yang kelihatan seperti model Honda MSX 125, atau lebih dikenali sebagai “Grom”), dan yang paling menarik perhatian, sistem ekzos SC-Project.

Secara keseluruhannya, kami ingin menyaksikan konsep ini terus dikilangkan, namun pada kapasiti yang lebih besar sedikit, yang mana sudah pasti lebih menyeronokkan untuk ditunggang atas litar mahu pun bagi tunggangan hujung minggu. Atau pun untuk berulang alik ke tempat kerja, Mahu pun ke kedai yang berdekatan dengan rumah. Pendek kata, ke mana-mana sahaja. Kami betul-betul inginkannya.

Honda CB125X Concept – Masa Depan Motosikal Adventure-Touring?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.