MotoGP 2018: Tiada Sut Perlumbaan Berbeg Udara? Tidak Boleh Berlumba!

 

  • Musim 2018 MotoGP akan menyaksikan ke semua penunggang tetap memakai sut perlumbaan berbeg udara sekiranya mereka ingin bertanding di dalam kategori perlumbaannya.
  • Ke semua sut perlumbaan mestilah dilengkapi dengan sistem beg udara yang akan memberikan perlindungan pada bahagian bahu dan tulang selangka.
  • Ini adalah satu langkah yang baik memandangkan para pengeluar akan melabur dengan lebih lagi untuk sebuah sistem beg udara yang mana akan membuatkannya lebih tersedia untuk para pengguna.

 

Satu perkembangan yang amat menarik baru sahaja disahkan oleh badan pengelola MotoGP di mana bermulanya musim 2018, ke semua penunggang perlu memakai sut perlumbaan yang dilengkapi dengan sistem beg udara. Peraturan ini dikenakan bagi setiap penunggang untuk ketiga-tiga kategori perlumbaan (MotoGP, Moto2, dan Moto3) kecuali bagi penunggang ‘wildcard’.

Ini suda semestinya satu perubahan yang dialu-alukan dan amat dijangkakan pada masa yang terdekat ini. Di antara pengeluar sut perlumbaan yang telah membuat pelaburan yang besar dalam teknologi beg udara adalah Alpinestars dan Dainese. Jenama yang lain seperti Furygan, RS Taichi dan yang lain-lain perlulah segera bertindak sekiranya mereka ingin terus bersaing di dalam sukan permotoran dua roda di tahap tertinggi.

Menurut peraturan, sut perlumbaan berbeg udara perlu dipakai dalam setiap sesi oleh setiap penunggang tetap dan perlulah berfungsi sepenuhnya atau pun diaktifkan apabila memasuki litar. Di mana penunggang ‘wildcard’ telah dikecualikan daripada peraturan ini, penunggang gantian juga berada di dalam kategori yang sama tetapi hanya untuk dua pusingan pertama. Penunggang gantian ini kemudiannya perlu mematuhi peraturan yang sama sebaik sahaja mereka menyertai pusingan ketiga mereka dalam pertandingan ini.

Bagi sistem beg udaranya pula, Dorna dengan jelas sekali menyatakan yang ia perlu melindungi sekurang-kurangnya bahagian bahu dan tulang selangka. Selain daripada bahagian itu (yang juga termasuk bahagian penuh belakang) adalah pilihan mereka sepenuhnya. Walau bagaimana pun, jika sesebuah pengeluar itu memilih untuk menawarkan perlindungan belakang, ia perlu meliputi keseluruhan tulang belakang. Variasi yang kecil dibenarkan bagi disesuaikan dengan jenis dan saiz penunggang yang berbeza.

Kesimpulannya, ini adalah satu langkah yang baik bagi dunia sukan permotoran kerana mereka menggalakkan perlindungan pada tahap yang lebih tinggi di samping mengurangkan risiko kecederaan serius seperti patah tulang selangka. Ia juga akan memanfaatkan para pengguna kerana semakin banyak pengeluar yang akan menawarkan sistem beg udara mereka selain daripada hanya dua jenama utama, yang mana kebanyakan daripada kita pastinya setuju yang ianya agak mahal untuk bajet kita.

Sumber: MotoGP