Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah
- Motosikal Honda CRF250L dan CRF250 Rally adalah motosikal off-road dan adventure-tourer tahap permulaan.
- Kedua-dua model berkenaan menggunakan enjin yang sama namun dengan kadar suspensi yang berbeza.
- Harganya telah ditetapkan pada RM24,378.94 (harga asas beserta GST) bagi CRF250L, dan RM28,618.94 (harga asas beserta GST) bagi motosikal CRF250 Rally.
Merekabentuk motosikal untuk kegunaan orang ramai bukanlah satu tugas yang mudah pada masa dan ketika ini, walaupun pada zaman ini, semakin banyak motosikal yang telah dikhususkan mengikut kegunaan yang disasarkan.
Walaupun begitu, terdapat juga motosikal yang mempunyai tugas utama, dan disertakan dengan satu atau pun dua peranan tambahan dengan baik sekali, meraih gelaran sebagai motosikal serba boleh. Sebaliknya, ada juga motosikal yang mana pengeluarnya berusaha terlampau bersungguh-sungguh menjadikannya motosikal yang boleh memainkan pelbagai peranan sehinggakan ia tidak menonjol langsung dalam mana-mana peranannya.
Boon Siew Honda telah melancarkan Honda CRF250L dan CRF250 Rally ketika majlis berbuka puasa istimewanya bersama dengan para wartawan permotoran di Litar Antarabangsa Sepang (TEKAN SINI untuk mengetahui dengan lebih lanjut).
Sebagai seorang penggemar jentera ‘dirt bike’, saya berasa agak teruja untuk hadir sewaktu pelancarannya. Kedua-dua buah motosikal ini tampak hebat – CRF250L dengan pasti sekali ada iras-iras sebuah motosikal motocross CRF250R dan kelihatan seperti sebuah motosikal enduro sejati, manakala model CRF250 Rally pula tampak bak sebuah motosikal kembara yang sebenar, seperti baru lepas menyertai perlumbaan Dakar Rally.
Dan seperti mana-mana motosikal keluaran Honda, motosikal-motosikal berkenaan tampil dengan kualiti yang sukar untuk ditandingi oleh mana-mana pengeluar yang lain. Kemasan warnanya, kekemasan panelnya, suis gear, lampu hadapan dan juga belakang, kerangka, enjin, lengan ayun, dan lain-lain, semuanya dihasilkan dengan penuh teliti dan berkualiti.
Panel instrumennya ringkas, namun, Honda berjaya melengkapkannya dengan pelbagai maklumat yang penting, termasuklah tolok bahanapi, serta palang pengira putaran di atas meter kelajuan.
Enjin satu silinder, empat lejang, DOHC, 249cc, PGM-Fi motosikal berkenaan dapat dihidupkan tanpa sebarang kerenah. Dan, tanpa sebarang bunyi dari ekzosnya. Amatlah senyap.
Kami pun menuju ke sekolah MX Sifu kami, Most Fun Gym (MFG)
Seperti yang dijangkakan, di atas jalan raya CRF250L terasa agak terawang. Tetapi, motosikal dirt bikes memang agak ‘torquey’ dan menawarkan hiburan dalam bentuk yang lain di atas jalan raya, kan? Kan?
Kemudiannya, saya dikelilingi sekumpulan mat rempit yang memulas-mulas pendikit mereka. Saya fikirkan ianya masa yang sesuai untuk sekolahkan mereka mengenai motosikal dirt bike. Saya masuk gear pertama, kerjakan klac, saya pulas sehingga 6,000rpm, lepaskan klac sambil menggerakkan berat badan ke belakang untuk melakukan ‘wheelie’. Motosikal CRF berkenaan berbunya ‘brrrrrrrrr’, dan palang pemegangnya mulai terhenggut-henggut ke hadapan dan belakang. Sedar-sedar, mat-mat rempit itu telah meninggalkan saya jauh di belakang.
Baiklah, mari kita lihat aksi selebihnya di atas jalan raya.
Ruang gerakan suspensi yang panjang menyerap kebanyakan hentakan, namun apabila bertembung dengan lubang, ianya terhentak kuat pada bahagian keras ruangannya itu dengan serta merta. Terlalu lembut.
Okay, okay. Mari kita lihat pula aksinya di atas tanah merah.
Motosikal CRF250L kemudiannya disertai oleh model CRF250 Rally di MFG, di mana Oh Kah Beng, anak muridnya Ryan, Ahirine, Sep dan saya bergilir-gilir menunggangi kedua-dua motosikal berkenaan di atas tanah merah.
CRF250L
OH Kah Beng (OKB) telah menungganginya mengelilingi keseluruhan litar di MFG. Motosikal berkenaan dapat tampak agak bergelut untuk mendaki curam yang tajam, memaksa OKB menggunakan gear pertama. ” Motosikal ini mempunyai ‘powerband’ lembut dan perlu dipulas bagi memanaskannya,” ujar legenda GP itu. “Tengok gegancu belakangnya,” sambungnya sambil menuding padanya, “ia tampak lebih dikhususkan untuk jalan raya.”
OKB juga telah melompatkan motosikal tersebut sekali. Dan hanya sekali. Sewaktu memerhati dan menangkap gambar dari bahagian tepi litar, saya sempat nampak sewaktu suspensi belakangnya tersentak habis dengan dentuman yang kuat. ” Saya tidak melompat lagi selepas itu. Terlalu cepat dan senang ia tersentak,” kata OKB.
Saya mengambil alih sementara OKB menunjuk ajar pelajarnya. Melepasi bonggol dan selekoh, bahagian belakangnya mendap dengan nyata sekali. Tiada sebab untuk kami terus mendesaknya kerana kami telah mendapati yang model CRF250L ini lebih sesuai untuk ‘bersiar’ di atas denai tanah merah.
Apabila ditunggang dengan kelajuan yang amat santai tanpa sebarang lompatan mahu pun pusingan tajam, motosikal ini terasa selesa dan bersahaja. Sayang sekali kerana CRF250L ini mempunyai sebuah enjin yang ligat, digandingkan dengan kerangka dan badan yang hebat namun dikecewakan oleh suspensinya yang terlalu lembut di kedua-dua bahagian.
CRF250 RALLY
Seperti yang telah disebut sebelum ini, motosikal CRF250 Rally ini tampak seiras sebuah motosikal adventure-tourer.
Ia dilengkapi dengan penghadang angin, lampu hadapan LED yang amat terang (yang kelihatan seperti sepasang pelindung mata – cun!), bahagian hadapan badan yang besar, bagaikan ada tangki bahanapi tambahan, dan juga seksyen belakan yang besar. Gabungan warnanya juga tidak jemu mata memandang.
OKB pada mulanya menunggang motosikal ini bersama seorang pelajar sebagai pembonceng bagi membiasakan pelajarnya dengan kawasan-kawasan berbeza di atas litar berkenaan. Dia kemudiannya mengujinya dengan bersungguh-sungguh setelah menurunkan pelajarnya itu.
Motosikal Rally berkenaan tampak lebih keras suspensinya berbanding CRF250L dan ianya tidak tersentak. Ianya barangkali kerana motosikal berkenaan perlu membawa berat yang lebih pada badannya dan juga muatan sewaktu pemiliknya menunggangnya untuk mengembara.
Walau bagaimana pun, tindak balas enjinnya sama seperti model CRF250L, yang memerlukan lebih pulasan pendikit pada bahagian yang lebih sukar. Gegancu belakangnya juga telah dikhususkan untuk penunggangan di atas jalan raya berturap. “Ia memerlukan lebih kuasa,”kata OKB.
“Tetapi secara keseluruhannya, saya lebih suka akan Rally kerana ia lebih meyakinkan di atas litar. Ia juga nampak lebih menggiurkan.” tambaha OKB lagi.
“Sebaliknya, prestasinya kurang memberangsang di atas jalan raya, jadi ianya bermakna yang motosikal ini adalah untuk pengembaraan di atas jalan tanah merah.”
Benar kata Sifu. Saya telah menunggangnya di atas jalan raya dan pengendaliannya kurang baik. Namun begitu, ianya cukup hebat menangani selekoh. Tidak kiralah sama ada menggunakan gaya jalan raya (‘lean in’), mahu pun gaya di litar tanah merah (‘push down’).
Kesimpulan
Hati saya berbelah bahagi mengenai pasangan Honda ini.
Kami faham bahawa pegas belakang yang lembut pada model CRF250L dibuat demikian supaya ianya lebih landut dengan adanya penunggang di atasnya bagi tidak menakutkan penunggang dengan ketinggian pelananya yang tinggi itu, tetapi mereka mungkin boleh menggunakan pegas yang lebih progresif untuk menjadikannya lebih baik? Alang-alang ia menggunakan aturcara ‘Pro-Link’ milik Honda yang hebat itu. Untuk agihan kuasanya pula, ianya cukup hebat untuk penunggang yang baru kerana kuasanya tidaklah terlalu menakutkan. Saya kira anda mungkin sahaja boleh menggantikan gegancu belakangnya ke saiz yang lebih besar apabila kemahiran anda sudah meningkat.
Untuk Rally pula, kami cukup terpesona dengan kecantikannya, tetapi ia juga perlu sedikit penambahan bagi menjadikannya sebuah motosikal serba boleh yang sempurna. Ia boleh dipertingkatkan lagi bagi menjadikan pengendaliannya lebih baik di atas jalan raya dan juga di atas tanah merah. Namun, sebagai sebuah motosikal penunggang baru, ianya elok-elok sahaja.
GALERI GAMBAR