Panggilan Semula Brek Brembo Dikeluarkan Di Amerika Syarikat Untuk Ducati Dan Aprilia?

  • Satu panggilan semula besar-besaran untuk brek Brembo telah dikeluarkan di Amerika Syarikat yang merujuk kepada unit silinder radial utama PR16 mereka yang popular, yang sering kali digandingkan dengan angkup Brembo M50.
  • Khabarnya, omboh dalaman pada silinder utama yang diperbuat daripada plastik itu cenderung rekahan yang boleh mengakibatkan kepincangfungsian besar pada brek.
  • Panggilan semula bagi sesetengah model dari pengeluar motosikal Ducati dan Aprilia telah disahkan dan Brembo bakal menggantikannya dengan omboh silinder utama buatan aluminium yang baru.

Merujuk kepada sebuah laporan yang telah diterbitkan oleh Asphalt&Rubber baru-baru ini, peneraju teknologi pembrekan, Brembo, telah secara rasminya mengeluarkan panggilan semula besar-besaran untuk unit silinder radial utama PR16 mereka yang mana ianya merupakan silinder utama yang boleh didapati bersama dengan angkup Brembo M50.

Silinder utama tersebut adalah silinder yang amat terkenal dan telah digunakan pada pelbagai motosikal daripada beberapa buah jenama sepert Ducati, Aprilia, KTM, serta yang lain-lain. Isu utama yang telah menyebabkan pemanggilan semula ini adalah omboh dalamannya yang mungkin telah merekah yang mana mungkin mengakibatkan kepincangfungsian besar pada brek hadapan.

Omboh yang berada di dalam silinder utama tersebut, yang diperbuat daripada plastik ‘polyphenylene sulfide’, mungkin merekah akibat tekanan, terutamanya dalam situasi di mana motosikal tersebut sering digunakan di atas litar lumba, campur tangan ABS yang kerap, atau sekiranya motosikal berkenaan pernah terbabas atau terjatuh.

Disebabkan sifat fizikal dan cara omboh tersebut dihasilkan, Brembo telah memutuskan untuk mengisukan panggilan semula ini di mana ke semua motosikal yang terjejas akan perlu menggantikan omboh plastiknya dengan varian aluminium bagi memastikan prestasi optimum dan semestinya, menghindari sebarang pincang fungsi sama sekali.

Setakat ini, panggilan semula ini hanya telah melibatkan dua jenama utama, iaitu Aprilia dan juga Ducati. Model-model seperti Aprilia RSV4 tahun 2016 dan 2017, serta model Aprilia Tuono 1100 2017 yang telah diumumkan secara rasmi bagi pasaran Amerika Syarikat. Bagi Ducati pula, enam buah model telah dikenalpasti bermula dari model bertarikh empat tahun lepas, di mana Ducati North America telah memanggil semula sekitar 8,000 unit, terdiri daripada model 1299 Panigale, Panigale R, Monster 1200, Multistrada 1200 dan 1260, XDiavel S, dan Scrambler Cafe Racer.

Untuk pasaran Malaysia, tiada lagi sebarang berita sama ada motosikal-motosikal yang telah diimport masuk ke dalam negara turut terjejas. Jika motosikal-motosikal berkenaan terjejas, nantikan sebarang pemberitahuan daripada para pengeluar dalam minggu-minggu yang akan datang. Buat sementara waktu ini, tunggangilah motosikal anda dengan berhati-hati dan hubungilah pengeluar motosikal anda untuk maklumat lanjut.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]