HTC MC Dermakan Sebuah Mesin Dialisis Untuk Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia

  • Kelab Motorsikal Helang Malaysia (HTC MC) dikenali ramai atas usaha amal kebajikannya
  • Baru-baru ini, mereka telah mendermakan sebuah mesin dialisis serba baru kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).
  • Kelab motosikal ini mempunyai ahli yang terdiri daripada ahli-ahli perniagaan dan juga golongan profesional yang amat meminati motosikal Harley dan juga usaha kebajikan.

Segerombolan penunggang motosikal Harley-Davidson telah menderu di atas jalan raya Petaling Jaya pada hari Sabtu yang lalu menuju ke ibu pejabat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), untuk satu tujuan yang mulia. Kelab Motorsikal Helang Malaysia, yang juga lebih dikenali sebagai HTC MC, cukup terkenal sebagai penyokong kerap sebarang kerja amal, telah mengumpul sejumlah RM38,500 bagi membeli sebuah mesin dialisis untuk NKF. Encik Chua Hong Wee, Ketua Pegawai Eksekutif NKF telah sedia menanti menerima mesin berkenaan daripada salah seorang ahli jawatankuasa pengasas, Encik Tou G.

Selama lima tahun sebagai sebuah kelab motosikal Harley-Davidson, kelab tersebut telah meneruskan usaha amal mereka dengan sumbangan sebuah mesin dialisis untuk NKF, yang mana pasti dapat membantu mereka yang memerlukan. Kelab motosikal ini telah diasaskan oleh sekumpulan rakan sepenunggangan yang amat gemar akan menunggang motosikal Harley-Davidson. Dengan pelbagai tunggangan bersama serta acara-acara amal, ikatan persahabatan dan setiakawan di antara ahli HTC MC kekal teguh.

Sejak tahun 1969, NKF berusaha bagi mempertingkatkan lagi tahap penjagaan pesakit dengan masalah buah pinggang yang memerlukan bantuan. Yayasan ini telah membelanjakan lebih daripada RM30 juta setiap tahun untuk pengsubsidaan rawatan dialisis bagi 1,600 pesakit dengan menggunakan 477 buah mesin dialisis yang terletak di 26 pusat yayasan berkenaan di seluruh negara. Setiap rawatan menelan belanja RM163.00, yang mana pesakit hanya membayar sebanyak RM40.00 sahaja. Kerajaan Malaysia telah memberi subsidi sebanyak RM50.00 dan NKF akan melunaskan baki RM73.00 bagi setiap pesakit. Purata jangka hayat bagi setiap mesin berkenaan adalah sekitar 7 sehingga 10 tahun dan pada tahap kecekapan 75 peratus ia akan membantu sebanyak 822 pesakit kronik setiap tahun.

HTC juga mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan syarikat korporat yang bersesuaian bagi sebarang program dan projek Tanggungjawab Sosial Korporat di masa yang akan datang. Untuk maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Alvin Seah di talian +60127827787, atau Lim Joon Seong di talian +60123813122.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply